Telefon Honor pertama yang ada GMS selepas konflik Huawei-AS akan tiba tahun ini

Huawei dan subjenamanya, Honor mereka kini tidak lagi menawarkan telefon yang ada Google Mobile Services (GMS) sejak pengeluarnya disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat dalam tahun sudah.

Namun, telah ada sinar di hujung terowong, sekurang-kurangnya untuk Honor. Walaupun Huawei masih lagi berada dalam senarai hitam, Honor katanya akan melancarkan produk beserta GMS untuk pasaran global seperti yang dilaporkan Honor Jerman.

Tangkap layer Tweet yang sudah dipadamkan – sumber

Ia selepas saluran Twitter Honor Jerman berbalas Tweet dengan individu lain yang bertanyakan tentang siri Honor 50 yang bakal dilancarkan kelak. Hal ini sudah tentu berita baik buat peminat jenama itu dan juga jenama Huawei.

Kali terakhir telefon Honor dengan GMS dijual di Malaysia ialah Honor 8S dan Honor 9X.

Maklumat spesifikasi siri Honor 50 masih lagi samar-samar. Namun daripada sumber yang boleh dipercayai, ia diperkasa Snapdragon778G, paparan AMOLED 120Hz dengan trikamera belakang dan dwikamera depan.

Jenama Honor secara teknikalnya bukan lagi milik Huawei. Ia selepas satu perjanjian jualan antara Huawei dengan sebuah konsortium yang terdiri daripada pelbagai entiti berkepentingan dimeterai di China.