Perkembangan Vaksin COVID-19 #10: tempahan AstraZeneca pusingan kedua bermasalah

Antara isu yang diketengahkan pada video minggu ini ialah, apa terjadi dengan sesi tempahan AstraZeneca pusingan kedua untuk 18 tahun ke atas? Apa berlaku dengan isu individu mendapat kurang dos vaksin? AstraZeneca sesuai untuk ibu menyusukan anak? dan banyak lagi isu lain yang dikupaskan.

1. AstraZeneca Pusingan 2 ditempah sepenuhnya

Pusingan 2 vaksin AstraZeneca secara sukarela yang dibuka pada Ahad 23 Mei lalu telah ditempah sepenuhnya dan kini ditutup. Pada mulanya, pusingan kedua ini dibuka untuk penduduk di Selangor, KL, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak hanya untuk warga emas. Kemudian pada hari Rabu, 26 Mei 2021 jam 12 tengah hari, tempahan vaksin dibuka semula kepada semua individu dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Menurut Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF,) sejumlah 275,208 dos telah ditempah oleh warga emas. Pada hari Rabu, 956,609 dos ditempah dalam masa satu jam setelah dibuka kepada semua orang dewasa di bawah 60 tahun.

2. Gagal menempah? Periksa aplikasi MySejahtera

Sebahagian individu mengalami kejutan yang menggembirakan apabila mereka diberitahu bahawa mereka mendapat tempahan AstraZeneca itu sehari selepas gagal menempahnya. Beberapa pengguna telah menulis tweet bahawa mereka mendapat janji temu di aplikasi MySejahtera.

3. Juruvaksin perlu tunjuk jarum suntik sebelum dan selepas prosedur berjalan

Berikutan kebimbangan mengenai kekurangan dos vaksin, KKM menetapkan arahan tambahan dalam SOP kepada semua juruvaksin, untuk menunjukkan jarum suntik yang diisi dengan vaksin sebelum dan sesudah memberi suntikan.

4. AstraZeneca sesuai untuk ibu menyusukan anak

Dalam perkongsian terbaharu JKJAV, ibu yang sedang menyusukan anak kini boleh mengambil Pfizer ataupun AstraZeneca. Namun sekiranya individu sedang hamil, satu-satunya vaksin yang boleh mereka ambil hanyalah Pfizer.

5. Jumlah suntikan harian vaksin meningkat

Malaysia telah mencapai rekod baru dengan jumlah 99,552 dos vaksin diberikan dalam satu hari pada 25 Mei 2021. Kadar vaksinasi harian dijangka meningkat dengan peningkatan bekalan vaksin di Malaysia. JKJAV menyasarkan untuk melakukan 150,000 vaksinasi setiap hari dalam bulan Jun.

6. Lebih banyak Vaksin Sinovac untuk Malaysia

Setelah vaksin Sinovac versi fill and finish keluaran Pharmaniaga mendapat kelulusan NPRA untuk digunakan dalam negara kita, pengeluarnya itu kini menyasarkan dari pengeluaran 2 juta dos kepada 4 juta dos sebulan menjelang bulan Ogos 2021.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Pharmaniaga telah mengumumkan bahawa ia akan mengimport 10 juta lagi dos Sinovac.

7. Status vaksinasi dan Pendaftaran

Setakat 26 Mei jam 11.59 malam, Malaysia telah memberikan 2,605,036 dos vaksin dan 937,756 individu telah selesai melakukan vaksinasi dengan 2 dos.

Dari segi pendaftaran pula, seramai 11,314,494 individu telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin yang merupakan 46.6% dari populasi yang disasarkan. Secara keseluruhan, Selangor mempunyai jumlah pendaftaran terbanyak dengan 3,003,753 pendaftaran.