Leica hasilkan telefon sendiri, harga sekitar RM7,000

Jenama kamera terkemuka dunia mengumumkan sebuah telefon hasilan sendiri yang dinamakan Leitz Phone 1. Sebelum anda teruja, setakat ini ia cuma boleh dibeli dalam pasaran Jepun melalui telco Softbank. Daripada segi spesifikasi, ia mewarisi segala-galanya daripada Sharp Aquos R6.

Memang Leica memaklumkan yang dalamannya ialah sebuah Aquos R6, namun perubahan fizikal dilakukan di bahagian luar dengan menerapkan falsafah-falsafah rekaan Leica. Misalnya bonjolan kamera belakang telefon ini terletak dalam kluster berbentuk bulat, seperti yang boleh anda temui pada siri Huawei Mate 30.

Berbalik kepada spesifikasi, Leitz Phone 1 diperkasa SoC Snapdragon 888 bersama-sama RAM 12GB dan storan 256GB. Ia dilengkapi paparan 6.6” IGZO OLED dengan refresh rate 240Hz. Ini adalah telefon kedua selepas Aquos R6 yang dilengkapi sensor pengimejan 1”. Kalau di versi Sharp, bonjolan kameranya nampak seperti sebuah kamera aksi.

Dengannya, pengguna boleh merakam gambar pada resolusi 20MP ataupun untuk selfie, mereka boleh manfaatkan 12.6MP.

Tangki bateri yang diberikan agak luas, pada 5000mAh dengan pengecasan pantas. Kalau anda berminat untuk dapatkannya, ia dijual pada harga JPY 182,920 (~RM7,000).

[Sumber: Engadget]