Realme GT Explorer Master Edition, menampilkan rekaan beg bagasi & prestasi lebih rendah

Salah satu keunikan telefon pintar Realme adalah edisi istimewa yang dihasilkan dengan kerjasama pereka popular. Hari ini Realme meneruskan tradisi ini dengan pelancaran Realme GT Explorer Master Edition dan Realme GT Master GT Edition di China.

Kedua-dua model telefon pintar ini mendapat sentuhan Naoto Fukasawa, pereka industri terkenal dari Jepun. Kali ini ia menampilkan rupa beg bagasi dilapisi kulit vegan dengan beberapa pilihan warna. Pelancaran ini tidak menyebut tentang Kodak, sekaligus menepis khabar angin kerjasama Realme dan Kodak.

BACAAN LANJUT: Adakah kerjasama Realme dan pakar fotografi Kodak akan menjadi nyata?

Menurut Realme, mereka akan menggunakan siri GT sebagai barisan peranti flagship selepas ini. Kedua-dua telefon pintar Master Edition ini juga dilaporkan akan dijual di pasaran antarabangsa kelak.

Di China, telefon pintar ini dijual mulai 29 Julai pada harga berikut:

Realme GT Explorer Master Edition

  • (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB 2,899 (~RM1,896)
  • (RAM 12GB + Storan 56GB) – RMB 3,199 (~RM2,092)

Realme GT Master Edition

  • (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB 2,399 (~RM1,569)
  • (RAM 12GB + Storan 56GB) – RMB 2,599 (~RM1,700)

Spesifikasi Realme GT Explorer Master Edition (EME)

Sayangnya edisi khas ini tidak sehebat Realme GT asal kerana ia tidak lagi menggunakan cip terbaik, Qualcomm Snapdragon 888. Bagi Realme GT EME, ia dikuasakan cip Snapdragon 870, cip yang hampir serupa dengan Snapdragon 865 tetapi lebih pantas. Pendek kata, ia lebih hebat daripada Snapdragon 865 tetapi masih di bawah Snapdragon 888.

BACAAN LANJUT: Realme GT, pembunuh flagship terbaru dengan harga lebih rendah

Skrin pula sebesar 6.55-inci melengkung di kedua belah sisi, dari jenis Super AMOLED 120Hz HD Penuh. Kapasiti baterinya 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W.

Kamera di belakangnya ada 3, gandingan kamera utama 50MP menggunakan sensor Sony IMX766, kamera ultra lebar 16MP Sony IMX481 dan kamera makro 2MP. Di hadapan, ia menggunakan kamera 32MP yang terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.

Telefon ini turut dilengkapi sistem penyejukan wap cecair, pembesar suara stereo Dolby Atmos dan penggetar taktil 4D.

Terdapat empat warna dihasilkan untuk Realme GT EME iaitu Voyager Grey, Voyager Apricot, Luna White dan Daybreak Blue.

Spesifikasi Realme GT Master Edition (ME)

Telefon ini dilengkapi kuasa yang lebih rendah iaitu cip Snapdragon 778 5G, bersama RAM sehingga 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB. Bateri pula 4,300mAh dengan kuasa mengecas sehingga 65W. Skrin juga kecil sedikit dan rata, seluas 6.43-inci Super AMOLED 120Hz HD Penuh.

Di belakang, ia dilengkapi kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Di hadapan, ia menggunakan kamera 32MP di dalam lubang di atas skrin. Tiada speaker stereo di telefon ini, hanya mono.

Untuk realme GT ME, ada tiga warna diperkenal iaitu Voyager Grey, Luna White dan Daybreak Blue.