Realme GT, pembunuh flagship terbaru dengan harga lebih rendah

Realme kini memperkenalkan peranti flagship terbaru mereka ke pentas antarabangsa, Realme GT yang mereka gelarkan sebagai Pembunuh Flagship. Nama GT padanya diilhamkan daripada kereta lumba yang sering dikaitkan sebagai terpantas dan berkuasa tinggi.

Nama pembunuh flagship adalah satu perkara yang digunakan oleh OnePlus semasa melancarkan peranti pertama mereka. Ini kerana ia bukan sahaja menyediakan perkakas berkuasa tinggi, tetapi pada harga yang luar biasa rendah.

Realme membuktikan bahawa peranti ini boleh membunuh flagship lain dengan memberikan harga berikut di pasaran Eropah:

  • Realme GT (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR 449 (~RM2,242)
  • Realme GT (RAM 12GB + Storan 256GB) – EUR 599 (~RM2,991)

Harga ini lebih rendah daripada Realme X50 Pro ketika dilancarkan tahun lepas. Maka tidak hairanlah jika Realme mahu menggunakan tema pembunuh flagship bagi Realme GT kali ini.

Spesifikasi

Kuasa tertinggi yang terdapat di Realme GT dihasilkan dengan penggunaan pemproses Snapdragon 888 5nm, bersama RAM LPDDR5 6,400Mbps sehingga 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB. Bagi menyejukkan peranti, Realme menggunakan sistem penyejukan wap cecair bersama besi tahan karat dan tembaga. Dikatakan ia mampu melepaskan haba lebih baik daripada yang lain.

Skrinnya berukuran 6.43-inci, jenis Super AMOLED HD Penuh serta kadar penyegaran 120Hz. Terdapat lubang kecil di sudut atas skrin yang menempatkan kamera hadapan. Pengimbas capjari juga terdapat di dalam skrin ini.

Ia dilengkapi bateri berkapasiti 4,500mAh di dalam, yang menyokong pengecasan pantas SuperDart Charge 65W melalui USB-C. Menurut Realme, pengecas mereka ini lebih pantas daripada pengecas 65W yang lain, mengambil masa hanya 35 minit untuk mengecas dari 0-100%. Bagaimanapun, masih tiada pengecasan wayarles di Realme GT.

Kamera di belakangnya ada 3, menggandingkan kamera utama 64MP F1.8 dari sensor Sony IMX682, kamera ultra lebar 8MP F2.3 serta kamera makro 2MP F2.4. Kamera hadapan pula 16MP F2.4.

Sistem bunyi stereo turut terdapat di Realme GT. Ia menyokong teknologi Dolby Atmos, untuk memberikan bunyi sekeliling yang lebih semulajadi. Jika mahukan bunyi lebih menarik, jek audio 3.5mm masih terdapat padanya, membolehkan pengguna mencucuk fon kepala berwayar.

Realme turut melengkapi telefon ini dengan WiFi 6, Bluetooth V5.2, NFC serta dwi-sim untuk kad nano 5G. Tiada kad mikroSD boleh dipasang di dalamnya.

Melengkapi nama GT padanya adalah mod GT. Ia merupakan tetapan satu sentuhan di mana pengguna boleh memaksimakan prestasi terutama untuk bermain permainan video. Bagi sistem operasi, Realme GT dilengkapi Realme UI 2 berasaskan Android 11.

Sebagai rakan kerjasama Google, Realme juga mengumumkan bahawa Realme GT menyertai ujian beta Android 12. Pengguna yang berani dan mahu mencuba awal, boleh memasang versi Beta ini ke dalam Realme GT mereka kelak.

Pilihan warna

Terdapat tiga warna dihasilkan untuk Realme GT dengan pilihan kemasan kaca atau kulit vegan di belakangnya. Bagi kemasan kaca, dua warna disediakan iaitu perak dan biru.

Lebih eksklusif adalah kemasan kulit vegan di mana ia menampilkan dua tona warna, kuning dan jalur hitam untuk rupa seperti kereta lumba. Realme menyatakan, kemasan kulit vegan ini tahan lasak dan kalis capjari.

Ketibaan di Malaysia

Dalam pengumuman ini, ia tidak menyatakan sama ada Realme GT akan dijual di Malaysia. Tetapi kedatangannya ke pasaran Eropah adalah petunjuk besar ia akan dibawa ke Malaysia.

Untuk harga pula, kita boleh menjangka dengan membandingkan harga pelancaran Realme X50 Pro di Eropah dan Malaysia tahun lepas. Realme X50 Pro (12+256GB) dilancarkan di Eropah berharga EUR749 (~RM3,740). 5 bulan selepas itu, Realme X50 Pro tiba di Malaysia pada harga RM2,999.

Jadi, anggaran kami untuk harga Realme GT di Malaysia adalah:

  • Realme GT (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM1,999
  • Realme GT (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM2,499

Adakah jangkaan kami ini tepat? Kita nantikan pengumuman daripada Realme Malaysia, pastinya tidak lama lagi.