Polis telah menumpaskan sekumpulan peragut yang menyamar sebagai penghantar makanan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Kumpulan peragut yang dikenali sebagai Geng Ashmer itu, aktif melakukan kegiatan ragut di sekitar kawasan Sentul sejak lima bulan lalu.
Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyamar sebagai penghantar makanan. Suspek akan mengesan mangsa menggunakan dua motosikal, salah seorang daripadanya bertindak sebagai penjaga line manakala seorang lagi sebagai peragut. Barangan yang diragut seperti rantai emas akan dijual kepada seorang individu dan wang hasil jualan akan dibahagi sesama ahli kumpulan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, empat suspek telah ditahan dalam tiga serbuan berasingan antara 23 Oktober hingga 28 Oktober lepas. Dari hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas pelbagai barang dipercayai hasil ragut dan samun antaranya 36 rantai emas, beg penghantar makanan dan telefon pintar pelbagai jenama. Semua rampasan barang kemas dianggarkan bernilai RM50,000.
Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkenaan kegiatan ragut boleh menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.
Ini merupakan satu isu yang sangat berbahaya. Siapa sangka, penjenayah boleh menyamar sebagai penghantar makanan untuk menjayakan agenda mereka. Namun persoalannya, bagaimana suspek boleh mempunyai beg penghantar makanan itu? Ia sememangnya boleh mengelirukan orang awam.
Adakah mereka dapatkannya secara sah, dengan cara mendaftar sebagai penghantar makanan? Jika ya, mungkin selepas ini mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-hailing perlu meneliti latar belakang penunggang, sebelum benarkan mereka sertai perkhidmatan tersebut. Kerana berdasarkan kes ini, semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Sebagai langkah berjaga-jaga, apabila anda menggunakan perkhidmatan penghantar makanan atau e-hailing, anda dinasihatkan untuk sahkan dahulu maklumat penghantar atau pemandu. Anda gambar, nama dan nombor pendaftaran kenderaan di dalam aplikasi untuk anda lihat. Hubungi pihak berkuasa atau individu yang anda percayai jika anda rasa ragu-ragu.