Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat yang dilantik untuk membangun dan menguruskan 5G di Malaysia, hari ini mengumumkan kejayaan mereka dalam ujian integrasi dengan rangkaian tempatan. Menurut DNB, ini adalah ujian integrasi Radio Access Network (RAN) 5G pertama di dunia, dengan lebih daripada dua penyedia perkhidmatan mudah alih (MNO). DNB berjaya menggabungkan sebanyak 5 rangkaian, dengan rangkaian ke-6 akan dintegrasi di masa akan datang.
Tambah DNB, mereka kini dalam jadual untuk menyiapkan 500 tapak 5G menjelang penghujung 2021. Pengguna di Malaysia dengan peranti serasi 5G, akan dapat menikmati kelajuan sekurang-kurangnya 100Mbps di liputan terlemah 5G. Perkara ini dijayakan dengan penggunaan model Multi-Operator Core Network (MOCN), di mana perkongsian infrastruktur rangkaian dan spektrum 5G dilaksanakan.
Menerusi konsep rangkaian pemborong-tunggal, DNB menyatakan perkhidmatan 5G akan boleh digunakan oleh syarikat telekomunikasi dengan kos lebih rendah untuk setiap GB, berbanding rangkaian 4G sekarang. Sebagai hasilnya, pengguna akan boleh menikmati internet berkelajuan tinggi, berkualiti tinggi dan mampu milik. Dengan integrasi MOCN, MNO boleh melanggan perkhidmatan borong 5G daripada DNB dan menyediakan perkhidmatan 5G mampu milik kepada pengguna mereka.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, “Hari ini kita melihat showcase integrasi radio rangkaian 5G antara DNB dan setiap platform MNO, ia akan menghapuskan kos duplikasi dalam pelaburan infrastruktur dan dijangka akan merendahkan lagi harga 5G kepada pengguna akhir. Ini akan mempercepatkan lagi penggunaan perkhidmatan 5G di Malaysia dan mengurangkan jurang digital.”
Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro, berkata, “Integrasi MOCN 5G dengan lebih daripada dua MNO di rangkaian DNB adalah sejarah penting, bukan sahaja untuk industri telekomunikasi mudah alih Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.”
Beliau menambah, integrasi MOCN 5G setakat ini melibatkan dua MNO dan kemampuan lebih daripada dua rangkaian MNO berkongsi RAN dan jalur lebar membuktikan kepakaran Ericsson dalam pembangunan 5G. Ia juga menjadi sejarah penting untuk Ericsson dalam membangunkan rangkaian 5G di Malaysia dan menyediakan pengalaman 5G optimum untuk pengguna dan perniagaan.
DNB menjelaskan bahawa model MOCN adalah standard telekomunikasi antarabangsa yang ditetapkan oleh 3GPP dan ia membenarkan infrastruktur rangkaian tunggal atau RAN dikongsi dan berhubung kepada pelbagai rangkaian MNO. Dalam cara tradisional, setiap MNO perlu membangunkan infrastruktur sendiri berdasarkan pembahagian spektrum yang dianugerahkan oleh SKMM.
Menara MOCN pertama di Malaysia dibangunkan di Sarawak di bawah program Menara SMA 300 yang membenarkan pelbagai rangkaian seperti Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile berkongsi infrastruktur untuk liputan 4G dalam kos yang lebih efektif. Tahun lepas, syarikat termasuk Maxis, Celcom, TM dan U Mobile telah menjalankan ujian MOCN 5G untuk pembangunan 5G yang lebih pantas dan kos lebih efektif menerusi perkongsian rangkaian. Ujian MOCN antara Celcom dan Maxis di spektrum 3.5GHz pada Januari 2021 adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Dengan MOCN, DNB menyatakan bahawa SKMM telah memberikan semua jalur spektrum 5G kepada DNB untuk membolehkan mereka membina satu “lebuhraya super” yang selamat dan mudah digunakan kerana ia boleh diuruskan meliputi semua pelanggan DNB. Mereka menambah, pembangunan lebuhraya super 5G menerusi satu infrastruktur meliputi unit radio, kuasa, dan sambungan fiber yang menyediakan perkhidmatan borong yang saksama untuk semua MNO.
Mereka mengeaskan bahawa dengan mengumpulkan spektrum 5G di bawah DNB dan mengurangkan duplikasi tapak infrastruktur, DNB akan dapat membangunkan rangkaian 5G kebangsaan lebih cepat daripada jadual, hanya 5 bulan selepas melantik Ericsson.
DNB mensasarkan untuk menyediakan 80% populasi liputan 5G menjelang 2024. Pada akhir Disember 2021, mereka mensasarkan untuk menyediakan liputan 5G di kawasan terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.