Walaupun sudah mula ada sinar untuk rangkaian 5G mula beroperasi di Malaysia, ia sebenarnya masih jauh daripada selesai. Ini kerana Digital Nasional Berhad (DNB) selaku syarikat tunggal pembangun dan penyedia rangkaian 5G di Malaysia, masih belum mendapat persetujuan daripada mana-mana syarikat penyedia telekomunikasi (telco) di Malaysia.
Episod dilema 5G ini mungkin akan lebih panjang apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa hari ini menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan model tunggal 5G.
Portal Free Malaysia Today melaporkan, Annuar ketika bercakap kepada media di majis tandatangan kerjasama antara CS Cloud Sdn Bhd and Cloocus Co Ltd hari ini berkata, selepas menerima pelbagai pandangan dan pendapat daripada pemain industri, kabinet sedang mempertimbangkan semula model borong tunggal di bawah DNB. Telco juga berterusan mempersoalkan langkah kerajaan dalam model pembangunan 5G.
Isu 5G dan DNB sering ditimbulkan di dalam Parlimen dan kerajaan kini akan mengkaji semula sama ada mahu membenarkan semula model berbilang penyedia dan persaingan di antara pemain industri. Annuar menambah, kerajaan berharap untuk mencapai kata putus pada bulan hadapan.
DNB semalam baru sahaja mengumumkan bahawa mereka akan menyediakan perkhidmatan 5G secara percuma kepada semua telco, di lokasi terpilih Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur. Perkhidmatan percuma ini akan diberikan selama 3 bulan, sehingga 31 Mac 2022.
Tetapi jika telco bersetuju untuk menandatangani perjanjian jangka panjang 5G bersama DNB sebelum 31 Mac, DNB akan melanjutkan lagi tawaran percuma 5G ini kepada lokasi baru yang akan mula beroperasi selepas 1 Januari 2022.
Tawaran ini dilihat sebagai cubaan DNB untuk menarik minat telco supaya segera untuk bersetuju bekerjasama untuk menggunakan perkhidmatan 5G oleh DNB. Ia juga penting memandangkan DNB mengatakan mereka akan memiliki 500 tapak sedia 5G menjelang hujung tahun ini. DNB juga mensasarkan untuk menyediakan 40% liputan 5G di kawasan berpopulasi pada tahun 2022, termasuk negeri Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. Sebanyak 80% liputan 5G di kawasan berpopulasi disasarkan menjelang tahun 2024, menjadikan Malaysia sebagai penyedia 5G kedua terbaik di rantau Asia Tenggara.
Buat masa ini, hanya Telekom Malaysia (TM) telah bersetuju untuk menjalankan ujian rintis 5G bersama DNB. Ia disediakan untuk pengguna pelanggan pascabayar Unifi Mobile dengan peranti 5G yang diperakui di mana mereka akan dapat menikmati perkhidmatan 5G di kawasan terpilih di dalam Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.
Telco lain seperti Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Yes masih belum mengeluarkan kenyataan untuk bersetuju menjalankan ujian 5G kepada pengguna. Untuk itu, DNB meminta pengguna untuk bertanyakan kepada telco masing-masing, sama ada akan turut serta dalam ujian 5G yang disediakan percuma oleh DNB ini.
[Sumber: FMT]