Google telah kongsikan carian paling sohor sepanjang tahun 2021. Ia dibahagikan kepada 9 kategori iaitu:
- Atlet
- Bagaimana?
- COVID-19
- Pendidikan
- Hiburan
- Bantuan kewangan
- Acara sukan
- Berita topikal
- Carian paling sohor di Malaysia secara keseluruhan
Oleh kerana kehidupan kini amat memerlukan penggunaan teknologi digital untuk berhubung, ada juga yang carian mengenai platform dalam talian seperti Google Classroom dan Google Meet tersenarai. Pastinya, dua platform ini diguna ramai dari kategori pekerja sehinggalah pelajar. Mungkin ia merupakan perkara baru bagi sesetengah individu, maka carian dilakukan untuk ketahui lebih lanjut mengenainya.
Dalam masa yang sama, carian mengenai vaksin juga berada dalam senarai. Hal ini menunjukkan ramai individu mahukan vaksin dan menyedari keperluannya.
Berikut merupakan senarai carian paling sohor Google 2021 mengikut kategori:
1. Carian paling sohor – Atlet
Penggemar sukan sudah pasti mempunyai atlet kegemaran dan akan mengikuti perkembangan atlet itu, lebih-lebih lagi apabila perlawanan sukan yang melibatkan mereka sedang berlangsung.
Dalam kategori ini, atlet badminton Malaysia iaitu Lee Zii Jia berada di kedudukan pertama. Baru-baru ini dia berjaya mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF. Pada bulan Julai lalu, dia ada mewakili badminton perseorangan lelaki Malaysia dalam Sukan Olimpik 2020. Selain dirinya, seorang lagi pemain badminton Malaysia iaitu Aaron Chia turut tersenarai dalam kategori ini, tetapi berada pada kedudukan ke lima. Dia juga ada menyertai Sukan Olimpik 2020 dan berjaya merangkul pingat gangsa selepas mengalahkan Indonesia dalam sukan badminton beregu lelaki.
Seterusnya, Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang pelumba basikal trek profesional Malaysia berada pada tangga kedua dalam kategori yang sama. Mungkin namanya dicari ramai kerana pada sukan Olimpik Tokyo 2020 yang lalu, dia berjaya membawa pulang pingat Perak dalam acara Keirin yang berlangsung di Velodrum Izu, Tokyo, Jepun.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori atlet tertera pada gambar di bawah:
2. Carian paling sohor – ‘Bagaimana?’
Kategori ini mengetengahkan soalan-soalan yang paling banyak diajukan oleh pengguna di Malaysia. Ada pelbagai jenis soalan berada dalam senarai, antaranya mengenai vaksin COVID-19 dan negara.
Pada kedudukan pertama, soalan yang paling sohor ialah, berapa banyak auns (oz) di dalam satu cawan? Jawapnnya, satu cawan US bersamaan dengan 8 oz. Tidak pasti kenapa carian ini dilakukan, tetapi berdasarkan pengalaman saya, sukatan oz ini dilakukan untuk membancuh susu bayi dan untuk menyediakan bahan membuat roti.
Soalan kedua yang sohor pula ialah bagaimana untuk mengemas kini MySejahtera? Sebelum ini, antaramuka aplikasi MySejahtera ada dikemaskini untuk memudahkan maklumat penting dilihat dengan mudah dan terus dipaparkan apabila aplikasi dilancarkan. Mungkin ada yang tidak terima kemaskini, maka solusinya dicari melalui Google.
Selain itu, berikutan ramai yang bekerja dari rumah untuk bantu kurangkan penularan COVID-19, pastinya medium utama untuk berhubung dengan rakan kerja adalah dengan menggunakan platform di Internet. Pasti ada yang bermesyuarat melalui Google Meet. Oleh kerana tidak mahu terlihat latar belakang asli di rumah, maka ramai yang mencari cara menukar latar belakang di Google Meet. Soalan ini berada di tempat ketiga dalam kategori ini.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori ‘bagaimana?’ tertera pada gambar di bawah:
3. Carian paling sohor – COVID-19
Virus COVID-19 sememangnya membimbangkan ramai individu, lebih-lebih lagi apabila digemparkan dengan varian baru iaitu Omicron. Dalam kategori ini, ia merangkumkan carian mengenai vaksin COVID-19 dan PKP.
Carian CIMS 3.0 mendapat perhatian ramai memandangkan ia berada di kedudukan pertama. Ia merupakan satu platform di bawah MITI untuk individu mendaftar operasi perniagaan sepanjang tempoh PKP.
Selain itu, pada tahun ini juga masyarakat telah disediakan vaksin COVID-19. Ada yang dapatkannya melalui temu janji dan ada juga yang walk-in (jalan masuk). Oleh kerana pilihan walk-in disediakan, maka ada yang membuat carian vaksin Covid-19 berhampiran, untuk mendapatkannya. Hal ini sekaligus menjadikan carian tersebut berada di kedudukan kedua.
Di tangga ketiga pula adalah COVID-19 Malaysia. Carian ini akan membawa individu menemui berita hangat COVID-19 dan jumlah kes baru di Malaysia.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori COVID-19 tertera pada gambar di bawah:
4. Carian paling sohor – Pendidikan
Dalam kategori ini, senarai perkara paling sohor adalah lebih kepada elemen digital. Hal ini mungkin kerana pelajar dikehendaki belajar secara maya dari rumah, berikutan sekolah ditutup akibat perlaksanaan PKP.
Carian Google Classroom berada di kedudukan pertama. Ia merupakan perkhidmatan percuma untuk sekolah dan sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Google peribadi. Melaluinya pelajar dan guru boleh berhubung untuk menjalankan kelas dan mengagihkan tugasan.
Ia diikuti pula oleh aplikasi Blooket di tempat kedua. Blooket ialah platform pembelajaran dengan elemen permainan. Melaluinya, guru boleh menyediakan permainan melalui set soalan dan pelajar perlu menjawabnya menggunakan peranti sendiri.
DELIMa KPM, satu portal yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berada di kedudukan ketiga. Portal ini merupakan usaha mereka untuk mendigitalkan bilik darjah. Antara ciri yang ada di dalamnya ialah akses kepada buku teks versi digital.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori pendidikan tertera pada gambar di bawah:
5. Carian paling sohor – Hiburan
Mula ditayangkan pada 17 September, Squid Game bukan hanya menduduki tangga nombor satu senarai Top 10 Netflix, malah ia juga menduduki tempat pertama carian paling sohor kategori hiburan. Drama bersiri popular Korea Selatan ini menceritakan tentang 456 peserta yang mempunyai masalah hutang direkrut untuk bermain dalam satu siri permainan yang sering dimainkan kanak-kanak.
Selain itu, dalam kategori ini nampaknya hanya dua sahaja drama Melayu berada dalam senarai. Drama TV3 berjudul Takdir Yang Tertulis, arahan Shahrulezad Mohameddin berada di kedudukan keempat. Siapa yang sudah tonton drama ini pasti akan rasa geram dengan jalan ceritanya, lebih-lebih lagi apabila karakter utama dikhianati oleh suami dan rakan baiknya.
Drama Rindu Awak Separuh Nyawa arahan Along Kamaludin pula berada di kedudukan ketujuh. Drama ini ada 48 episod. Anda boleh tontonnya jika anda sukakan cerita sedih.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori hiburan tertera pada gambar di bawah:
6. Carian paling sohor – Bantuan kewangan
Ada banyak bantuan kewangan disediakan kepada rakyat oleh kerajaan, lebih-lebih lagi ketika PKP dikuatkuasakan. Ada bantuan yang dikhaskan kepada keluarga dan ada juga yang disediakan untuk Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) Mikro.
Dalam kategori ini, i-Sinar berada di tempat pertama. Ini merupakan satu inisiatif untuk membantu ahli KWSP yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan untuk teruskan hidup ketika tempoh krisi semasa. Had pengeluaran maksimum adalah sehingga RM60 ribu.
Kedudukan kedua pula ialah i-Citra. Menerusi program ini, ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5 ribu dan ia akan dibayar secara ansuran sebanyak RM1000 setiap bulan.
Ia diikuti pula oleh BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) di tangga ketiga. BPR merupakan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan kepada golongan B40 dan M40 untuk meringankan beban mereka akibat kesan pandemik COVID-19. Individu yang layak boleh menerima maksimum tunai RM500.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori bantuan kewangan tertera pada gambar di bawah:
7. Carian paling sohor – Acara sukan
Dalam kategori sukan, 5 daripada 10 senarai paling sohor adalah sukan bola sepak. Ini menunjukkan masyarakat Malaysia sangat meinati sukan tersebut. Bukan di Malaysia sahaja, sukan bola sepak peringkat Antarabangsa juga ada dalam senarai.
Euro 2021 berada di kedudukan pertama. Kejohanan bola sepak eropah ini berlangsung pada 11 Jun seingga 11 Julai 2021. Itali menjuarai perlawanan ini selepas menewaskan England menerusi sepakan penentuan 3-2 pada aksi final di Wembley.
Liga Perdana Inggeris (English Premier League) pula berada di tempat kedua. Untuk musim 2020/2021, Manchester City berjaya menjadi juara, kejayaan ini merupakan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang kelima dalam sejarah Manchester City.
Satu-satunya perlawanan bola sepak di Malaysia yang berada dalam senarai ini ialah Liga Super. Ia berada pada kedudukan ke tujuh. Pada pusingan akhir Liga Super 2021, peminat dapat menyaksikan pasukan JDT menjadi juara setelah berjaya menewaskan pasukan Kedah.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori acara sukan tertera pada gambar di bawah:
8. Carian paling sohor – Berita topikal
Squid Game sekali lagi berada di kedudukan pertama, mungkin kerana dramanya pernah menjadi fenomena maka ramai yang tertarik untuk membaca berita tentangnya. Drama tersebut pernah diputuskan untuk disunting semula setelah mendapati nombor telefon yang ditunjukkan pada satu kad misteri dalam siri itu, merupakan nombor asli dan ada pemilik.
Tempat kedua adalah milik Palestine. Ada banyak liputan tragis dan sedih diketengahkan mengenainya, contohnya mengenai tahanan Palestin sarat mengandung bebas dengan ikat jamin. Carian mengenai Palestin dilakukan mungkin kerana keperihatinan berterusan dari masyarakat Malaysia.
Isu Sugarbook juga pernah menggemparkan masyarakat pada awal tahun ini. Sugarbook merupakan sebuah paltform untuk individu yang mahu mencari sugar daddy atau sugar baby. Aplikasi ini pernah di siasat berikutan penularan gimik pemasarannya yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut Universiti menawarkan diri sebagai sugar baby di aplikasi tersebut. Isu ini berada di tangga ketiga di dalam senarai.
Senarai penuh 10 carian paling sohor kategori berita topikal tertera pada gambar di bawah:
9. Carian paling sohor di Malaysia
Berdasarkan perkongsian dari Google, i-Sinar merupakan carian yang paling sohor di Malaysia. Pastinya carian ini dilakukan oleh ahli KWSP yang memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Melalui carian ini, individu boleh ketahui tarikh pembayaran i-Sinar dan lakukan semakan. Permohonannya telah ditutup pada 30 Jun 2021.
Selain itu, permainan dalam talian yang sangat santai, Popcat turut tersenarai. Ia berada di tangga ketiga. Walaupun nampak mudah untuk main, tetapi ada 227 Negara dalam senarai yang anda perlu tandingi. Anda hanya perlu klik wajah kucing pada skrin untuk. mengumpul mata bagi Malaysia. Anda papan pendahulu (leaderboard) untuk anda periksa kedudukan masa nyata Malaysia.
Bukan itu sahaja, perkhidmatan komunikasi video yang dibangunkan oleh Google, iaitu Google Meet juga berada di dalam senarai, iaitu di kedudukan ke tujuh. Pasti ramai yang ingin tahu cara menggunakannya, harga dan ciri yang tersedia untuk terus berkomunikasi dengan kenalan jauh ketika COVID-19 mula menular. Ia merupakan salah satu medium yang boleh anda gunakan untuk bermesyuarat dan adakan sebarang kelas.
Senarai 10 carian paling sohor di Malaysia bagi tahun 2021 boleh dilihat pada gambar di bawah:
Platform Google banyak membantu individu menemui sesuatu perkara yang diinginkan, sama ada dari sudut digital, kewangan atau pun pendidikan. Ia juga merupakan satu platform yang anda boleh cari rujukan tentang sesebuah isu. Maka, gunakannya dengan baik dan lakukan carian tentang perkara yang berfaedah.