PROMOSI: Dapatkan pengecas Samsung Super Fast Charging 45W bernilai RM199 secara percuma, bersama e-baucar RM800, Silicon Cover with Strap dan Lucky Box, serta Camera Filter Mount (S22/S22+) atau Galaxy X Lamy Safari Twin Pen (S22 Ultra), apabila membeli mana-mana siri Galaxy S22 dengan kod promosi: GS22VIPSC di Stor Online Samsung. Tawaran sah sehingga 31 Mac 2022.
Samsung melangsungkan Unpacked 2022 pada 9 Februari 2022 untuk melancarkan siri Samsung Galaxy S22. Berikut adalah 6 perkara menarik yang patut anda tahu tentang siri ini.
1. Siri Samsung Galaxy S22 hadir dalam tiga varian
Sebanyak tiga varian Samsung Galaxy S22 dilancarkan di Unpacked 2022. Daripada spesifikasi terendah hingga tertinggi adalah:
- Samsung Galaxy S22
- Samsung Galaxy S22+
- Samsung Galaxy S22 Ultra
Galaxy S22 Ultra lebih mirip kepada Galaxy Note 20 Ultra sekilas pandang. Manakala Galaxy S22+ dan Galaxy S22 hampir serupa spesifikasi antara satu sama lain kecuali pada saiz skrin, teknologi bateri dan saiz bateri.
2. Semua varian diperkasa Snapdragon 8 Gen 1
Ketiga-tiga telefon yang diumum Samsung untuk pasaran Malaysia adalah yang memperagakan cip Snapdragon 8 Gen 1. Ia tentu sekali menerima penghargaan sebahagian besar pengguna di sini setelah sekian lama memohon untuk Samsung melupakan cip Exynos dek masalah kawal selia haba.
Snapdragon 8 Gen 1 adalah cip 4nm dan yang paling berkuasa dalam kalangan peranti Android.
Untuk pasaran Malaysia, kita beroleh siri Galaxy S22 yang ada RAM 8GB dan pilihan storan sama ada 128GB ataupun 256GB. Galaxy S22 Ultra sedikit unik kerana ia turut ada kombinasi RAM 8GB + storan 128GB serta RAM 12GB + storan 256GB dan 512GB.
3. Samsung Galaxy S pertama yang ada S Pen terbina
Sewaktu Galaxy S21 Ultra dilancarkan dalam tahun 2021, ia memang menyokong S Pen cumanya cara penyimpanannya agak pelik untuk telefon berstailus zaman moden ini. Anda perlukan casing khas yang ada slot penyimpanan dan ia dijual berasingan.
Untuk Galaxy S22 Ultra, ia boleh saya ujarkan sebagai jelmaan Galaxy Note20 Ultra kerana rupanya sangat serupa dan ia ada slot penyimpan S Pen.
Langkah Samsung untuk mempamerkan DNA Galaxy Note pada Galaxy S22 Ultra adalah tepat. Tidaklah dalam satu tahun, mereka perlu lancarkan sehingga 6 peranti flagship. Lagipun, saiz Galaxy S Ultra sudahpun menyamai Galaxy Note Ultra.
Jadi lepas ini, mereka boleh gantikan slot pelancaran Galaxy Note kepada Galaxy Z Fold dan Z Flip.
4. Panel paparan dengan teknologi Vision Booster dan kecerahan mencapai 1,750nits
Bercerita tentang saiz, Galaxy S22 Ultra dilengkapi paparan 6.8” QHD+ menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X yang bermakna kadar segar semulanya mencecah 120Hz. Itu adalah perkara biasa.
Namun, untuk generasi kali ini, Samsung memasukkan teknologi baharu yang dinamakan Vision Booster. Menggunakan AI, komputer akan menganalisis histogram paparan dan menganalisis piksel demi piksel. Piksel yang gelap akan dicerahkan manakala piksel yang sudah sedia cerah akan dipelihara supaya tidak overexpose.
Sekiranya perlu, panel paparan Galaxy S22 Ultra boleh mencapai kecerahan 1,750nits, antara yang paling tinggi dalam industri. Bagi melindungi paparan tersebut, Samsung melapisinya dengan Corning Gorilla Glass Victus+.
5. Kamera macam Galaxy S21 Ultra tapi ada kelainan
Kalau anda bandingkan spesifikasi kamera Galaxy S22 Ultra dengan Galaxy S21 Ultra, anda akan dapati bilangan kamera ataupun paras megapikselnya sama sahaja.
Galaxy S22 Ultra ada:
- Kamera utama 108MP
- Kamera telefoto 10x zum optikal 10MP
- Kamera telefoto 3x zum optikal 10MP
- Kamera ultralebar 12MP
- Kamera selfie 40MP
Samsung katanya menggunakan salutan nano khas pada lensa kamera belakang siri Galaxy S22 ini. Super Clear Glass dikatakan mengurangkan silau dan pantulan dalaman kepada paras serendah mungkin bagi membasmi silau dan mengalirkan foton cahaya lebih baik kepada sensor.
Lagi pembaharuan yang dibawakan Samsung adalah sistem OIS yang ditambah baik. Angka yang dikongsikan adalah sistem OIS Galaxy S22 Ultra kini sudut pembetulan gegarannya 58% lebih luas.
Lagi akan menghasilkan video yang stabil adalah melalui teknologi Video Digital Image Stabilisation (VDIS). Mereka turut berkongsikan dua lagi istilah iaitu Nightography dan juga AI Stereo Depth Map.
Kesemua ciri ini akan kami cuba satu persatu sejurus unit reviu tiba dan laporkan kepada anda apa hasilnya.
6. Kini menyokong pengecasan lebih pantas
Walaupun diberikan kapasiti bateri yang sama berbanding dulu, Samsung Galaxy S22 Ultra kini menyokong pengecasan pantas sehingga 45W berbanding 25W pada generasi terdahulu untuk mengisi tangki sebesar 5,000mAh yang dimilikinya.
Pengecasan berkabel sahajalah yang menerima naik taraf. Kalau anda nak mengecas secara wayarles, ia masih berada di takuk lama iaitu 15W dan begitu juga dengan pengecasan berbalik.
Teknologi pengecasan Galaxy S22 Ultra adalah sama dengan Galaxy S22+. Galaxy S22 adalah paling koman dalam kalangan tiga saudara itu. Untuk sebuah peranti flagship, ia cuma boleh menerima kuasa pada kadar 25W sahaja.
Bacaan berkaitan
Harga rasmi Samsung Galaxy S22, S22+ & S22 Ultra bersama promosi tempahan awal – SoyaCincau.com
Samsung Galaxy S22 Ultra: Jelmaan semula Note 20 Ultra – SoyaCincau.com
Samsung Galaxy S22 dan S22+: Naik taraf kecil yang digemari ramai – SoyaCincau.com