Sebagai satu inisiatif untuk promosikan keselamatan remaja di Internet, Instagram akan lancarkan Alat Pengawasan Ibu Bapa dan Pusat Keluarga (Family Center and Parental Supervision Tools). Melaluinya, ibu bapa dan penjaga boleh akses artikel, video dan tips berkaitan topik seperti cara berkomunikasi dengan remaja tentang media sosial serta cara gunakan ciri pengawasan yang disediakan di Instagram.
Pusat Keluarga dilancarkan susulan rundingan meluas dengan ibu bapa, penjaga, golongan muda, pakar daripada organisasi-organisasi kerajaan dan akademik serta badan NGO di Asia Pasifik termasuklah Malaysia. Menurut Philip Chua, Ketua Dasar Awam Instagram, APAC, kemas kini terbaru ini adalah sebagai inisiatif penambahbaikan yang dilakukan sepanjang tahun lepas. Ini termasuklah membantu remaja dapatkan pengalaman yang lebih selamat, hadkan jangkauan ikaln kepada golongan muda, fahami usia sebenar pengguna dan sediakan lebih banyak alat untuk remaja bagi membolehkan mereka dapatkan pengalaman lebih baik di Instagram.
Ada apa dalam Alat Pengawasan Ibu Bapa?
Alat pengawasan baru ini boleh diakses di Malaysia bermula 16 September 2022. Ciri yang tersedia di dalamnya ialah:
- Hubungan di Instagram – Ibu bapa boleh lihat siapa yang diikuti dan mengikuti anak remaja mereka
- Waktu Penggunaan di Instagram – Had masa harian dan rehat yang dijadualkan sepanjang minggu untuk bantu remaja imbangi masa mereka di Instagram
- Pelaporan remaja kepada ibu bapa – Anak remaja anda boleh beritahu anda sekiranya mereka buat laporan di Instagram. Jadi, anda bolehlah bincangkan perkara tersebut bersama mereka.
Bolehkan remaja diawasi sepenuhnya dengan ciri ini?
Walaupun Alat Pengawasan Ibu Bapa dan Pusat Keluarga ini merupakan usaha yang sangat bagus untuk pengguna remaja, tapi ia mungkin tidak dapat digunakan dengan baik jika anak remaja menolak permintaan ibu bapa untuk awasi akaun mereka.
Lebih membimbangkan jika pengguna remaja ada akaun lain yang tidak diketahui ibu bapa. Malah, jika anda ingin gunakan alat ini secara rahsia tanpa diketahui oleh anak anda, ianya mungkin mustahil.
Daphne Iking dan Aaron Aziz, yang tampil dalam pengumuman ciri ini ada mempersoalkan jika mereka boleh aktifkan ciri ini melalui akaun anak mereka sendiri. Namun, Philip Chua mengatakan bahawa anak-anak tetap akan dapat pemberitahuan di pihak mereka juga. Jadi, mereka akan tahu jika mereka diawasi dan mereka juga ada keupayaan untuk hentikan ibu bapa dari awasi mereka.
Saya tidak pasti sejauh mana ciri ini dapat bantu memastikan golongan remaja selamat di media sosial, kerana ia hanya awasi sedikit sahaja aktiviti anak, bukanlah sehingga ke tahap awasi dan pantau individu yang mesej (DM) mereka.
Bagi saya, jika remaja benar mahu kongsi cerita dengan ibu bapa mengenai media sosial, mereka boleh lakukannya sendiri tanpa perlukan ciri ini. Sebaliknya, jika remaja tidak mahu bercerita, mereka akan usaha sembunyikannya sebaik mungkin dari ibu bapa dan tentunya gunakan pelbagai cara untuk lari dari diawasi ibu bapa. Ia termasuklah dengan mencipta akaun media sosial baru tanpa pengetahun anda.
Namun, apabila alat ini dilancarkan kepada umum kelak, anda boleh cuba gunakannya dahulu. Tapi, janganlah sehingga mereka rasa dikongkong dan cuba lari dari pantauan anda. Selain itu, saya cadangkan agar anda tidak bergantung pada ciri di aplikasi ini sahaja. Sebaiknya, luangkan masa bersemuka dengan anak-anak untuk berbincang tentang kawalan Instagram ini.
Saya yakin, ramai ibu bapa yang pentingkan keselamatan dan disiplin anak-anak ketika menggunakan peranti serta media sosial. Oleh itu, bagi pengawasan dan kawalan yang lebih ketat, anda boleh aktifkan Family Link di Android atau Parental Control untuk iOS atau macOS.