Bukan GoPro sahaja yang ingin mengumumkan produk baharu. DJI juga melancarkan produk baharu dalam masa yang hampir serupa. DJI Osmo Action 3 adalah kamera aksi yang tidak lagi meneruskan konsep modula DJI Action 2, sebaliknya pulang ke rekaan DJI Osmo Action yang asal.
Daripada keupayaan pengimejan, tidak banyak benda baharu yang diperkenal kecuali ia adalah kelengkapan pengimejan yang diambil daripada DJI Action 2 seperti sensor 1/1.7” yang berada di belakang lensa 155 darjah. Mode-mode rakaman pula masih seperti dulu iaitu sehingga 4K@120 ataupun 1080p@240fps.
Perkara yang ditambah baik adalah pada kehadiran sistem penstabil yang dipanggil RockSteady 3.0. RockSteady ada fungsi seakan Horizon Lock milik GoPro apabila garis ufuk dikunci walaupun kamera dipusingkan pada paksi ia berfungsi pada resolusi sehingga 4K@120.
Saya lihat Osmo Action 3 ini sebagai naik taraf daripada segi kepraktikalan dan ia bukanlah ingin bersaing dengan GoPro untuk siapakah yang ada spesifikasi lebih tinggi. Salah satu bahagian yang menarik adalah sistem pengecasan pantas. Bateri kamera ini diisi daripada 0 kepada 80% dalam masa 18 minit sahaja dan baki 20% diisi secara perlahan dalam masa 32 minit kemudian.
Ciri ini sangat berguna sekiranya pengguna cuma ada satu bateri dan tidak punya banyak masa antara sesi rakaman. Lebih menarik, DJI ada sediakan Multifunctional Battery Case untuk pengguna mengecas 3 bateri sekaligus. Tak terhad di situ, port USB-C yang sama juga boleh diguna sebagai powerbank.
Kemudian, Osmo Action 3 ini tahan suhu ekstrim antara -20° hingga 45° Celsius Di GoPro, anda perlu beli bateri khas Enduro untuk menerima manfaat ini.
Kekalisan air kamera ini juga ditambah baik. Tanpa sebarang aksesori tambahan, ia boleh pergi sedalam 16 meter dan untuk rakaman di dalam air, DJI memberikan sensor warna khas untuk melakukan penyesuaian white balance kepada video yang dirakam.
Sejak Osmo Action pertama lagi kamera ini ada dua paparan, satu di depan dan satu lagi di belakang. Tapi, untuk iterasi kali ini, kedua-dua paparan itu peka sentuhan dan ia memudahkan navigasi antara muka dilakukan.
Sistem tambat daripada Action 2 diwariskan kepada Osmo Action 3. Ia boleh ditanggalkan dengan pantas tanpa perlu membuka skru. Sekiranya pengguna ingin merakam secara menegak kandungan vertical, bingkai khas dengan sistem penambat yang sama boleh didapatkan.
DJI Osmo Action 3 dijual dalam dua pilihan. Standard Combo dijual pada harga USD329 (RM1,492) yang merangkumi 1 Extreme Battery, Horizontal-Vertical Protective Frame, dan beberapa aksesori lain. Pada harga USD439 (RM1,990) pula, DJI memberikan 3 Extreme Battery, Battery Case, Extension Rod 1.5m, dan beberapa aksesori lain.