Saya pasti ramai pengguna di luar sana yang menyampah dengan Sony. Sudah masuk tahun ke-4 PlayStation 5 dilancarkan, kita masih belum boleh berjalan masuk ke Sony Center untuk beli konsol generasi terbaharu itu dengan mudahnya. Lebih parah, harganya pula telah dinaikkan dek inflasi.
Masalah stok Sony PS5 belum selesai, kini harganya naik 10% di Malaysia
Sampai bila PS5 akan dijual secara pre-order? Sudahlah tak dapat beli PS5 yang lama, kini sudahpun ada PS5 yang baharu di luar sana. Varian PS5 terbaharu yang dilepaskan pengeluarnya ke dalam pasaran adalah yang mendukung kod CFI-1202. Sebagai rujukan, dua varian PS5 yang sudahpun ada dalam pasaran sebelum ini adalah CFI-1000 dan CFI-1001.
Apakah perubahan yang dibawakan pada varian baharu ini?
Daripada sigi fizikaliti, kesemua varian yang ada setakat ini masih sama. Perbezaannya adalah di bahagian dalamnya. CFI-1202 dikesan menggunakan cip pemproses yang lebih baharu. Dua varian sebelum ini dilaporkan menggunakan cip AMD Oberon yang ditempa menggunakan proses N7 TSMC (6nm) manakala cip CFI-1202 katanya ditempa menggunakan proses N6 TSMC (6nm), AMD Oberon Plus.
Proses N6 TSMC katanya menawarkan kepadatan transistor 18.8% lebih tinggi berbanding N7. Selain kepadatan transistor tinggi, ia juga lebih cekap tenaga yang bermakna Sony boleh merendahkan voltan operasi tapi dalam pada masa yang sama, mengekalkan prestasi. Apabila voltan operasi diturunkan, haba yang terhasil juga akan menurun dan ia mengakibatkan Sony boleh menggunakan heatsink yang lebih kecil dan akhirnya jisim konsol secara keseluruhannya juga dikurangkan sebanyak 200g.
Bagaimana Oberon Plus boleh perbanyak penghasilan PS5 dan menangani masalah ketandusan stok?
Menerusi video konsol diuraikan, cip Oberon Plus didapati 15% lebih kecil daripada segi luas permukaan berbanding Oberon biasa. Jika anda masih tak nampak lagi, satu kepingan wafer cip Oberon Plus boleh menghasilkan 20% lebih banyak cip berbanding Oberon biasa dan lebih menarik, pada kos yang sama.
Untuk perspektif, untuk setiap 100 unit PS5 yang menggunakan Oberon biasa, Sony boleh hasilkan 120 unit jika menggunakan Oberon Plus.
Tidak terhenti di situ, apabila TSMC menghentikan pengoperasian proses N7 dan mengoptimumkan N6 kelak, 20% itu dilaporkan boleh dipertingkat kepada 50% yang bermakna lebih banyak PS5 boleh dihasilkan.
Microsoft juga dijangkakan akan menggunakan solusi yang sama bagi mempertingkat penghasilan konsol Xbox Series X.
Sumber: WCCFTECH, Gambar Pemuka