Minggu lepas, kami melaporkan bahawa penyedia perkhidmatan rangkaian 5G tunggal di Malaysia, Digital Nasional Berhad (DNB) kelihatan lewat dalam perancangan mereka. Pelan asal mereka menyatakan bahawa mereka mahu mencapai liputan 5G di kawasan populasi (COPA) sebanyak 40% menjelang akhir 2022.
Tetapi laporan JENDELA pada 31 September 2022 menyebut, DNB hanya berjaya membina 1,915 pemancar daripada 4,018 menara yang dirancang. Hari ini, DNB mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjawab beberapa persoalan sambil memberi penerangan lebih jelas.
40% COPA masih dicapai dengan tapak berkurangan
Menurut DNB, mereka telah melaksanakan pembangunan rangkaian 5G lebih awal dari dijadualkan dan bakal menjangkau 40% liputan di kawasan berpenduduk (COPA) di seluruh negara menjelang Disember 2022. DNB juga masih berada di landasan untuk mencapai komitmen mereka yang seterusnya, iaitu 80% COPA pada 2024 atau lebih cepat lagi.
Bagaimanapun, DNB boleh mencapai sasaran 40% COPA sebelum akhir tahun dengan membina sekitar 3,500 tapak pemancar berbanding 4,018 tapak pada rancangan awal. Jumlah tapak yang berkurang dimaklumkan berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini, dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak.
Disebabkan kelewatan itu, DNB mengubah perancangan mereka dengan melaksanakan pembangunan 5G ke negeri-negeri yang sepatutnya dijadualkan dibina pada tahun 2023. Ini membantu DNB mencapai 40% COPA untuk tahun ini. Rangkaian 5G DNB kini telah meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan serta sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Setakat ini, lima syarikat telekomunikasi di Malaysia, dengan lebih daripada 20 juta pelanggan iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES ), telah mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.
Maxis Bhd pula masih menunggu kelulusan daripada para pemegang saham untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G yang dijangka akan berlangsung sekitar Januari 2023. Kerana itu, pelanggan Maxis masih belum dapat mengakses perkhidmatan 5G buat masa ini.
Sementara itu, pengguna iPhone masih perlu menunggu pihak Apple memulakan pelan runcit dengan rakan telco mereka sebelum perkhidmatan 5G sedia digunakan. Untuk Android, 12 jenama peranti dengan lebih daripada 100 model serasi 5G telah sedia digunakan dalam pasaran Malaysia. Pengguna juga masih menikmati akses 5G percuma menerusi pelbagai pelan prabayar dan pascabayar serasi 5G yang disediakan lima telco.