Siri Redmi K mungkin tidak dilancarkan di luar China, tetapi ia sering menjadi asas untuk model telefon pintar Xiaomi berkuasa tinggi yang murah di pasaran antarabangsa. Baru-baru ini, Xiaomi China telah melancarkan barisan baru untuk keluarga Redmi K60. Terdapat 3 model diperkenal dalam keluarga ini iaitu Redmi K60E, Redmi K60 dan Redmi K60 Pro.
Untuk jenama Redmi, ada beberapa ciri serba baharu diperkenalkan yang tidak pernah ada sebelum ini. Antaranya sokongan pengecasan wayarles dan pengimbas capjari di dalam skrin. Paling menarik, ini mungkin dinamakan semula di peringkat antarabangsa sebagai siri Xiaomi 13T ataupun Poco F50 kelak.
Spesifikasi Redmi K60 Pro
Telefon terbaik dalam siri ini adalah Redmi K60 Pro dan ia menampilkan cip terbaru dan terbaik, Snapdragon 8 Gen 2 seperti yang digunakan di Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Di samping itu, ia juga dilengkapi RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 512GB. Tetapi varian terendah RAM 8GB dan storan 128GB menggunakan teknologi UFS 3.1.
Skrin telefon ini jenis OLED 6.67-inci, menggunakan resolusi tinggi 2K (3200×1440) bersama kadar penyegaran 120Hz dan kadar sentuhan 480Hz. Kecerahan pula mampu pergi sehingga 1,400nits. Selain itu, panel paparan ini memiliki nisbah kontras 5,000,000:1, warna DCI-P3 dan menyokong HDR10+ serta HDR Vivid.
Di belakang, ia dipasang tiga kamera iaitu kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX800 1/1.49-inci, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapannya 16MP, terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Tenaga disalurkan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W melalui USb-C. Perkara baharu adalah sokongan pengecasan wayarles 30W.
Selain itu, Xiaomi turut menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin untuk Redmi K60 Pro. Lain-lain perkara yang turut ada padanya seperti pemancar infra merah, speaker stereo, NFC, WiFi 6E, 5G dan Bluetooth v5.3. Sistem operasi pula adalah MIUI 14.
Terdapat empat pilihan warna disediakan iaitu putih, hitam dan hijau. Warna keempat adalah edisi khas yang dipanggil Champion Performance, dilapisi kaca di belakang dengan kemasan ala-kevlar.
Spesifikasi Redmi K60
Versi bukan Pro ini menerima sedikit penurunan taraf. Antaranya, ia menggunakan kuasa cip Snapdragon 8+ Gen 1, RAM LPDDR5 sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB.
Di bahagian skrin, ia masih serupa dengan versi Pro iaitu skrin OLED 6.67-inci, resolusi 2K (3200×1440), kadar penyegaran 120Hz, kadar sentuhan 480Hz dan kecerahan setinggi 1,400nits. Pengimbas capjari juga di dalam skrin.
Kamera juga sedikit berbeza, dengan kamera utama di belakang menggunakan sensor 64MP dan digandingkan bersama kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapannya 16MP.
Bagusnya, bateri lebih besar 5,500mAh dipasang di dalam tetapi ia menyokong pengecasan pantas 67W melalui USB-C. Sokongan pengecasan wayarles juga ada, sehingga 30W.
Selain speaker stereo, Redmi K60 turut dilengkapi WiFi 6E, Bluetooth v5.3 5G dan NFC. Sistem operasi MIUI 14 digunakan. Ada empat pilihan warna iaitu belakang kaca antara biru, hijau dan putih, serta belakang kulit berwarna hitam.
Spesifikasi Redmi K60E
Ini adalah model terendah, tetapi Xiaomi masih mengekalkan skrin yang serupa iaitu paparan OLED 6.67-inci, resolusi 2K (3200×1440), kadar penyegaran 120Hz, kadar sentuhan 480Hz dan kecerahan setinggi 1,400nits.
Kuasa penggerak ditukar kepada cip MediaTek Dimensity 8200, dikatakan setanding cip Snapdragon 888. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB.
Di bahagian kamera pula, ia gabungan kamera utama 48MP sensor Sony IMX582, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP di belakang. Kamera hadapannya 20MP, resolusi lebih tinggi daripada dua model sebelum ini.
Bateri besar 5,500mAh dipasang di dalam Redmi K60E dan menyokong pengeasan pantas 67W USB-C. Bagaimanapun, pengecasan wayarles tidak disokong.
Satu lagi perbezaan adalah pengimbas capjari terletak di sisi. Tidak juga dinyatakan jika ia ada speaker stereo. Manakala pemancar infra merah dan NFC disokong, bersama WiFi 6 dan Bluetooth V5.3. Xiaomi mengenakan MIUI 13 di Redmi K60E. Pilihan warna ada tiga iaitu putih, hitam dan hijau.
Harga siri Redmi K60
Berikut adalah harga untuk kesemua model Redmi K60 di China:
- Redmi K60 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – CNY3,299 (~RM2,091)
- Redmi K60 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – CNY3,599 (~RM2,282)
- Redmi K60 Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – CNY3,899 (~RM2,472)
- Redmi K60 Pro (RAM 12GB + Storan 512GB) – CNY4,299 (~RM2,725)
- Redmi K60 Pro (RAM 16GB + Storan 512GB) – CNY4,599 (~RM2,916)
- Redmi K60 (RAM 8GB + Storan 128GB) – CNY2,499 (~RM1,584)
- Redmi K60 (RAM 8GB + Storan 256GB) – CNY2,699 (~RM1,711)
- Redmi K60 (RAM 12GB + Storan 256GB) – CNY2,999 (~RM1,901)
- Redmi K60 (RAM 12GB + Storan 512GB) – CNY3,299 (~RM2,091)
- Redmi K60 (RAM 16GB + Storan 512GB) – CNY3,599 (~RM2,282)
- Redmi K60E (RAM 8GB + Storan 128GB) – CNY2,199 (~RM1,394)
- Redmi K60E (RAM 8GB + Storan 256GB) – CNY2,399 (~RM1,521)
- Redmi K60E (RAM 12GB + Storan 256GB) – CNY2,599 (~RM1,647)
- Redmi K60E (RAM 12GB + Storan 512GB) – CNY2,799 (~RM1,774)