Digital Nasional Berhad (DNB) telah mengumumkan bahawa mereka telah melepasi sasaran pembangunan 5G 2022 iaitu 40% liputan di kawasan populasi (COPA). Menurut DNB, mereka telah berjaya mencapai hampir 50% COPA di 3,900 tapak seluruh negara pada 31 Disember 2022.
DNB kini memfokuskan untuk mencapai sasaran 80% liputan 5G di kawasan populasi pada akhir tahun 2024, atau lebih awal lagi. Buat masa ini, DNB menyatakan bahawa rangkaian mereka telah mencapai sekitar 15 juta pengguna di seluruh Malaysia dan akan menghubungkan lebih daripada 30 juta pelanggan dan perniagaan apabila rangkaiannya dibangunkan sepenuhnya.
Dari pecahan jadual DNB, rangkaian 5G mereka telah mencapai 47.1% COPA di seluruh negara dengan lebih 97% di Kuala Lumpur dan Putrajaya, hampir 90% di Selangor serta sekitar 50% di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. DNB juga memiliki liputan 5G di seluruh 13 negeri dan 2 Wilayah Persekutuan (KL dan Putrajaya) di Malaysia.
Di Malaysia Timur, liputan 5G telah meliputi 32.4% populasi di Sarawak dan 27.9% di Sabah. Rangkaian 5G di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis masih agak terhad liputannya, dengan kurang dari 15% di kawasan populasi.
Nasution Mohamed, Ketua Pegawai Operasi (COO) DNB, berkata, “Setelah melangkaui sasaran liputan rangkaian 2022, kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) dan pengeluar peranti untuk mempromosikan dan menggalakkan penggunaan 5G di seluruh negara pada 2023. MNO telah memperkenalkan banyak pelan data 5G untuk pelanggan mereka pada harga runcit yang sangat menarik, untuk menggalakkan lagi penggunaan perkhidmatan 5G.”
Selain Maxis Bhd, semua MNO utama iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) – telah menyediakan perkhidmatan 5G runcit kepada lebih 20 juta pelanggan mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.
Pelanggan Maxis masih tidak dapat mengakses perkhidmatan 5G kerana Maxis masih menunggu kelulusan pemegang saham mereka untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G dengan DNB, yang dijadualkan akan selesai pada Januari tahun ini.
Akhir tahun lepas, Apple telah mengeluarkan kemaskini iOS 16.2 dan ia telah membenarkan penggunaan 5G untuk iPhone 12 dan ke atas di Malaysia. Pengguna iPhone bersama rangkaian Celcom, Digi dan U Mobile telah mula menikmati rangkaian 5G jika melanggan pelan serasi 5G.
Rakan teknologi DNB, Ericsson menyatakan bahawa pembangunan 5G di Malaysia adalah yang terpantas di dunia. Walaupun DNB mennyatakan mereka memiliki liputan 5G populasi lenbih tinggi, sebenarnya tapak yang dibangunkan kurang 118 daripada sasaran awal iaitu 4,018 tapak menjelang akhir 2022.
DNB menjelaskan, kekurangan tapak tersebut berlaku akibat masalah sumber dan kelewatan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan tempatan di Selangor dan Sarawak. Untuk itu, DNB telah mengalihkan usaha membangunkan tapak 5G ke negeri lain, yang dirancang untuk tahun 2023.
Selepas PRU15 dan Perdana Menteri baru dilantik, Anwar Ibrahim telah mengumumkan untuk mengkaji semula pembangunan 5G oleh DNB. Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil pula menjamin bahawa pembangunan 5G akan diteruskan seperti yang dirancang, sementara kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya dan pilihan yang ada.
Bacaan Berkaitan
- Liputan 5G kini terdapat di Sabah dan Sarawak
- PMX arah tender 5G yang dianugerahkan kepada DNB dikaji semula
- Fahmi Fadzil beri lampu hijau untuk DNB terus bangunkan 5G, tapi kajian semula tetap dibuat
- Liputan 5G Malaysia akan cecah 40% sebelum akhir 2022, iPhone masih belum boleh guna 5G
- 5G kini aktif untuk iPhone di Malaysia, termasuk Celcom dan U Mobile