Hari ini, 23 Februari adalah hari terakhir promosi tempahan awal untuk siri Galaxy S23 di Malaysia. Selepas ini, Samsung Malaysia menyediakan tawaran yang baru iaitu pemberian jam pintar Galaxy Watch 5 40mm (bernilai RM1,099) percuma, untuk pembelian mana-mana siri Galaxy S23 dari 24 Februari sehingga 31 Mac 2023.
Jika anda memiliki telefon pintar Samsung Galaxy yang lama, anda boleh menukarnya kepada Galaxy S23 yang baru apabila membeli Galaxy S23 Ultra selepas ini. Samsung Malaysia kini mengumumkan program beli 1 percuma 1 dengan menukar tebus model terpilih Galaxy Ultra.
Dari 24 Februari sehingga 31 Mac 2023, selain menerima jam pintar Galaxy Watch 5 40mm percuma, pembeli berpeluang menerima satu lagi Galaxy S23 128GB (bernilai RM3,899) percuma apabila membeli Galaxy S23 Ultra 256GB (bernilai RM5,699) jika menukar tebus Galaxy S22 Ultra bersama.
Selain Galaxy S22 Ultra, Samsung juga menerima dua lagi model Ultra lain untuk ditukar tebus tetapi dengan menambah wang. Untuk Galaxy S21 Ultra, perlu menambah RM199 manakala Galaxy Note 20 Ultra, kena tambah RM399.
Tiada Galaxy S20 Ultra di dalam program ini. Manakala pembelian hanya untuk model Galaxy S23 Ultra 256GB sahaja, tidak untuk 512GB dan 1TB.
Dalam bahagian terma dan syarat pogram, ia menyatakan peranti lama yang diterima adalah Gred A (cantik, tiada masalah), Gred B (calar sikit) dan Gred C (calar teruk, lekuk). Telefon yang tidak diterima adalah Gred D (retak/tercabut) dan Gred R iaitu tidak berfungsi atau skrin tidak hidup. Pendek kata, ia menerima telefon dengan rupa yang buruk tetapi tidak boleh jika ada retak atau tidak berfungsi.
Program beli 1 percuma 1 ini hanya terdapat di beberapa lokasi. Jika berminat, boleh pergi ke tempat-tempat berikut:
- Stor Pengalaman Samsung (SES)
- Best Denki (One Utama, Selangor)
- Urban Republic (Gurney Plaza, Pulau Pinang)
- SenQ (AEON Tebrau, Johor)
- SenQ (Vivacity Megamall, Sarawak)
Adakah berbaloi menukar Galaxy S22 Ultra yang lama kepada Galaxy S23 128GB yang baru? Ia bergantung kepada anda. Jika telefon lama itu tidak digunakan lagi, lebih baik ditukar kepada telefon yang baru sebagai telefon ganti atau telefon kedua.
Tetapi lebih bagus lagi jika anda mahu memberi telefon lama kepada orang lain seperti isteri, anak atau ibubapa, tetapi penerima tidak mahu telefon sebesar Galaxy S22 Ultra. Maka memberi Galaxy S23 adalah pilihan terbaik.
Untuk mengenali siri Galaxy S23 dengan lebih lanjut, tonton video penerangan kami di bawah:
Bacaan Berkaitan
- Samsung Galaxy S23 sudah ada kemaskini keselamatan pertama walaupun belum dijual di Malaysia
- Beli Galaxy S23, dapat Galaxy Watch 5 secara percuma
- Siri Samsung Galaxy S23: 10 perkara yang perlu anda tahu tentangnya
- Galaxy S23, S23+ & S23 Ultra Malaysia: Harga rasmi dan apa kelebihan menempah sekarang
- Samsung Galaxy S23 Ultra: Naik taraf terbanyak di kamera dengan Astrofotografi, Dwi-Piksel PDAF & 200MP
- Samsung Galaxy S23 & S23+: SoC baharu dengan bateri lebih besar merentasi generasi