[ PROMO ] Nikmati tambahan rebat RM200 ke atas harga telefon siri Samsung Galaxy S23 apabila anda beli menggunakan kod promosi SYGS23R eksklusif untuk pembaca SoyaCincau BM di kedai dalam talian Samsung Malaysia. Tawaran sah sementara stok masih ada.
==========
Samsung sudahpun lancarkan siri Galaxy S23 yang terbaharu. Walaupun naik taraf signifikan tidaklah kita boleh cerap pada generasi kali ini, ada beberapa perkara yang mungkin anda rasakan menarik untuk diketahui. Berikut adalah 10 perakara tentang siri Galaxy S23 yang perlu anda tahu.
1. SoC Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy
Siri Galaxy S23 menggunakan SoC Snapdragon 8 Gen 2 khas yang ada frasa “For Galaxy” selepas namanya.

Daripada maklumat yang dikongsikan Qualcomm sendiri, Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy mempunyai clockspeed CPU 5% lebih tinggi berbanding biasa (3.32Ghz vs 3.20Ghz) serta clockspeed GPU 5.7% lebih tinggi (719Mhz vs 680Mhz). Adakah ia akan berikan kesan signifikan?

Saya rasakan tidak kerana SoC itu masih perlu menelan bateri telefon dan pengeluar senantiasa mencari titik tengah antara hayat bateri dan prestasi. Saya tak rasa yang S23 akan beroperasi pada clockspeed setinggi itu dalam jangka masa panjang. Makanya, kalau anda ada peranti Snapdragon 8 Gen 2 daripada jenama lain, tiada sebab untuk anda berasa tergugat dengan Samsung.
2. Vapor chamber 2.7x lebih besar, telefon lebih sejuk, prestasi kekal optimum
Tiadalah gunanya SoC dengan clockspeed tinggi sekiranya cepat panas. Bagi membasmi masalah jejal, mereka memperkenalkan kebuk penyejuk paling besar dalam telefon Galaxy setakat ini ataupun 2.7x lebih besar berbanding yang ada di Galaxy S22 Ultra.

Makanya, Galaxy S23 boleh kekalkan kelajuan pemproses yang tinggi dalam jangka masa lebih panjang sebelum jejal berlaku.
3. Bateri lebih besar, teknologi pengecasan lapuk
Kapasiti bateri Galaxy S23 dan Galaxy S23+ telah diperbesar sebanyak 200mAh berbanding generasi terdahulu manakala Galaxy S23 Ultra kekal pada 5,000mAh. Malangnya, tiada sebarang naik taraf pada ciri pengecasan siri kali ini.

Seperti biasa, blok pengecas dijual secara berasingan dan Galaxy S23 Ultra menyokong sehingga 45W pengecasan berkabel yang katanya mengisi 1% kepada 65% dalam masa 30 minit.
Dua lagi varian S23 yang lebih rendah masing-masing menyokong pengecasan 25W.
4. Storan 1TB Ultra UFS 4.0
Pasaran Malaysia buat kali pertama menikmati varian storan 1TB melalui Galaxy S23 Ultra. Bukan itu sahaja, walaupun siri Galaxy S22 juga ada varian 1TB, tapi untuk generasi ini, ia mengguna pakai modul storan UFS 4.0 berbanding UFS 3.1 generasi terdahulu.

UFS 4.0 menawarkan lebar jalur perpindahan data sehingga 23.2 Gbps, dua kali ganda berbanding UFS 3.1. Jalur perpindahan yang lebar bermakna pemerosesan data boleh dilakukan dengan lebih pantas seiring dengan meningkatnya clockspeed SoC masa ini. Ia mengurangkan risiko jejal berlaku disebabkan kemampuan sistem storan yang terhad.
Bukan setakat jalur perpindahan data dilebarkan, kelajuan membaca dan menulis data jenis sequential read turut meningkat sama. Misalnya, UFS 4.0 menawarkan kadar baca sehingga 4.2GB/s sedangkan UFS 3.1 dan NVME berada pada sekitar 2.0GB/s.
5. Kamera 200MP
Galaxy S23 Ultra menggayakan sensor pengimejan terbaharu Samsung iaitu ISOCELL HP2 yang mendukung resolusi 200MP. Bukan setakat gambar yang cantik, kemampuan membidik fokus juga adalah antara yang terbaik melalui teknologi Adaptive Pixel.

Semua ini dimungkinkan dengan penggunaan Cognitive ISP pertama seumpamanya dalam sebuah telefon pintar. Siri Galaxy S23 boleh mengakses teknologi Semantic Segmentation untuk memperbaik gambar yang diambil melalui lensa-lensa kameranya.

6. Ciri Astro Hyperlapse yang baharu
Samsung sudahpun ada ciri Space Zoom 100x untuk beberapa generasi. Pada siri Galaxy S23, Astro Hyperlapse pula diperkenalkan. Kali ini, ia menukarkan latar langit malam anda menjadi video dedahan panjang yang cantik.
7. Kamera selfie kini berautofokus
Kamera depan siri Galaxy S23 telah ditambah baik. Pertama kalinya dalam telefon Galaxy S, kamera selfie mempunyai ciri autofokus. Tidak setakat autofokus, anda juga boleh aktifkan fungsi Super HDR yang kini menyokong kadar bingkai sehingga 60fps untuk video swafoto yang lebih tajam.

8. S23 guna komponen daripada bahan kitar semula lebih banyak. 12 vs 6 di S22
Buat anda yang katanya sayangkan alam sekitar, siri Galaxy S23 kini gunakan lebih banyak materi sumber kitar semula di dalam badannya. Berbanding 6 komponen di siri Galaxy S22, kini 12 komponen siri Galaxy S23 dihasilkan daripada plastik kitar semula bersumberkan jaring ikan, botol PET, dan tong air.

Tambah menarik, kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 yang menyelaputi telefon ini, juga adalah 22% dihasilkan daripada materi kitar semula.
9. Telefon pertama dengan Gorilla Glass Victus 2
Gorilla Glass Victus 2 adalah bahan komposit kaca terbaharu dibangunkan Corning dan siri Samsung Galaxy S23 adalah yang pertama gunakannya. Iterasi kali ini membawakan ketahanan lebih baik daripada jatuhan di atas konkrit dan dalam pada masa yang sama, mengekalkan tahap kekalisan daripada calar.

10. Tiada naik taraf komponen S Pen tapi ada ciri baharu
Samsung tidak langsung menyentuh tentang sebarang naik taraf pada S Pen sewaktu Unpacked 2023. Makanya, bolehlah anda anggap yang ia menggunakan teknologi yang diwarisi daripada Galaxy S22 Ultra.

Pada telefon itu, Samsung telah pun membawakan perubahan seperti latensi 3x (2.8ms) lebih baiik berbanding Note 20 yang membawa maksud menulis di atas Galaxy s23 Ultra akan rasa seperti menulis menggunakan pen sebenar. Tapi S Pen ada didatangkan dengan ciri baharu iaitu kolaborasi dengan laptop. Maknanya, anda boleh gunakan S23 Ultra sebagai pad menulis dan lihat hasilnya di komputer.
Bacaan berkaitan
Ini tawaran terbaik untuk pembaca SoyaCincau kalau nak beli telefon Galaxy S23
Samsung Galaxy S23, S23+ & S23 Ultra: Ringkasan yang anda perlu tahu
Galaxy S23, S23+ & S23 Ultra Malaysia: Harga rasmi dan apa kelebihan menempah sekarang
Samsung Galaxy S23 & S23+: SoC baharu dengan bateri lebih besar merentasi generasi