Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga bekas Menteri Kewangan 2 (2016-2018), telah menegaskan di Dewan Rakyat baru-baru ini supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Dia mencadangkan Telekom Malaysia (TM) yang memiliki kepakaran dan kemampuan melaksanakannya untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut.
Perkara ini dibahaskan oleh Johari pada 27 Februari 2023 di dalam Dewan Rakyat. Dia memberitahu bahawa Malaysia harus belajar daripada negara membangun tentang cara untuk mengurus pelaburan atau dana tidak melebihi 5%. Jika pelaburan tidak menghasilkan oulangan yang baik, ia boleh dihapuskan dengan mudah, tetapi menjadi kebiasaan Malaysia membuat pelaburan besar melebihi 40-50%.
Sebagai akibat, Malaysia sering terlibat dengan melabur di dalam syarikat dengan pengurusan bermasalah. Johari mencadangkan supaya Malaysia melabur tidak melebihi 5% tetapi jika ia memberi pulangan yang bagus, bolehlah ditingkatkan lagi tetapi tidak melebihi 10%. Bila ada masalah, kerajaan boleh menjual pegangan tersebut dan tidak perlu mengeluarkan lebih banyak dana untuk menjamin keluar.
Bekas menteri ini menambah, kerajaan tidak sepatutnya terlibat di dalam mencipta entiti baru seperti DNB semata-mata untuk 5G. Katanya, kita sudah ada TM dan boleh terus melantiknya untuk 5G kerana TM telah mengawal 80% jaringan fiber di seluruh negara. Hanya berikan 5G kepada TM dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
Jelasnya, disebabkan kurangnya kepercayaan terhadap TM akibat kesilapan sebelum ini, kerajaan mencipta entiti baru dan ini bermaksud, perlu membina semula dari awal. Entiti baru ini juga menelan kos pengurusan sekitar RM300-400 juta setahun dan lebih mengejutkan, kerajaan Malaysia menjamin sebanyak RM16.5 bilion disebabkan langkah yang diambil ini.
Johari menjadikan Thailand sebagai contoh, pembangunan 5G di sana tidak melibatkan kerajaan dan ia 100% dibuat swasta. Kini, liputan 5G mereka telah mencapai 80-90% tetapi di Malaysia masih sukar untuk mencapai 50% liputan. Katanya lagi, tidak terlambat untuk Malaysia memperbetulkan kesilapan ini dan melantik TM kerana memiliki jaringan fiber luas serta mampu menyelesaikan masalah ini. Dia juga menyebut, jika kerajaan mahu membantu TM sekali pun, ia boleh dibuat dengan pemberian dana yang ditetapkan supaya TM boleh menguruskan 5G dan bekerjasama rapat dengan telco lain.
Sudah pasti, ada yang tidak sependapat dalam hal ini. Bekas Pengerusi MDEC dan Ketua EMIR Research, Dr Rais Husin membantah cadangan Johari. Katanya, jangan ada lagi monopoli dan ia mestilah berasaskan model persaingan. Dengan memberi 5G kepada TM sahaja akan menjadikan telco lain semakin susah dan pelan perubahan diperlukan supaya ia tidak melambatkan lagi pembangunan.
Buat masa ini, kerajaan Malaysia masih belum membuat pengumuman tentang kajian semula mereka tentang pembangunan 5G. Kerajaan merancang untuk mengumumkannya akhir bulan Mac ini. Semasa membentangkan Belanjawan 2023, Perdana Menteri menyatakan DNB akan diuruskan dengan lebih telus supaya pembangunan 5G akan mendapat kerjasama penuh telco. Kerajaan juga mahu mempercepatkan pembangunan 5G supaya mencapai 80% liputan di kawasan berpopulasi pada akhir tahun 2023. Ia adalah setahun lebih awal daripada rancangan asal DNB.
Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil baru-baru ini telah berkongsi bahawa DNB telah membelanjakan sebanyak RM1.89 bilion sehingga 31 Disember 2023 dan telah membina 3,906 daripada 7,509 tapak 5G daripada 80% liputan 5G yang disasarkan. Tetapi untuk akses liputan, rangkaian 5G hanya mencapai 38.2% di kawasan populasi kerana tapak lain masih dalam proses ‘onboarding’. Pembinaan 5G oleh DNB dijangka menelan belanja kira-kira RM16.5 bilion untuk tempoh 10 tahun.
Bacaan Berkaitan
- Fahmi jangka keputusan kajian semula 5G akan diumum suku pertama tahun ini
- DNB langkaui sasaran 2022 dengan liputan 5G hampir 50% di seluruh negara
- DNB maklumkan hanya 38% liputan 5G boleh guna di kawasan populasi selepas ditegur tidak mengesahkannya dahulu
- Sumber industri sangkal dakwaan DNB salahkan telco tentang kelewatan akses 5G kepada pengguna