Rakyat Malaysia boleh mendapatkan peranti 5G bersama pelan 5G dengan harga lebih murah tidak lama lagi apabila Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil mengumumkan pakej 5G RAHMAH. Pelan ini boleh dilanggan oleh semua rakyat Malaysia, tidak terhad kepada golongan B40 atau warga emas sahaja, mulai 31 Ogos 2023.
Apa yang ditawarkan dalam pakej 5G Rahmah ini adalah telefon pintar 5G jenama Samsung Galaxy A14 5G (berharga RM949) dan Honor 90 Lite 5G (berharga RM1,099) serendah RM240, serta pelan data 5G 60GB berharga RM60/bulan. Pelanggan pakej ini akan diikat kontrak pelan selama 24-bulan, tetapi peranti akan turut diberikan jaminan selama 2 tahun.
Nampak agak murah dan rahmah bukan? Mungkin tidak.
Tinjauan kami di laman web beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi menunjukkan, ada yang telah menawarkan pakej yang mirip seperti pakej 5G RAHMAH. Ia bukannya di Yes 5G atau U Mobile sahaja, tetapi ada di Celcom juga.
Tawaran Celcom Xpax paling menarik
Menerusi pelan Xpax Postpaid 60, Celcom menawarkan telefon pintar Samsung A14 5G pada harga RM199 sahaja bersama kontrak 24-bulan. Harga pelan sama, tapi harga telefon lebih murah.
Tetapi pelan Xpax Postpaid 60 memberikan data berkelajuan tinggi 50GB, dan data tanpa had untuk YouTube HD 720p serta Facebook dan Instagram dengan kelajuan 6Mbps. Terdapat juga panggilan tanpa had ke talian tempatan. Tetapi akses 5G perlu tambahan RM10, menjadikan harga pelan kepada RM70/bulan.
U Mobile rahmah kuota
Tawaran U Mobile hampir serupa. Samsung Galaxy A14 5G ditawarkan pada harga RM219 bersama pelan U Postpaid 68 dan kontrak 24-bulan. Harga pelan mahal RM8 tetapi harga peranti murah sedikit.
Tetapi pelan U Postpaid 68 jauh lebih menarik. Ia memberikan 100GB data 5G yang boleh digunakan juga sebagai hotspot. Ada juga panggilan tanpa had. Tetapi lebih menarik adalah pemberian data perayauan antarabangsa 15GB dan menjawab panggilan di luar negara percuma.
Yes 5G tanpa had tetapi terlalu lama
Untuk Yes 5G, penawaran mereka lebih ekstrem. Ini kerana mereka memberikan telefon Samsung Galaxy A14 5G atau Honor 90 Lite percuma, bersama langganan pelan Yes Infinite+ Basic berharga RM58/bulan serta kontrak selama 36-bulan. Ya, kontrak lebih panjang selama 12-bulan. Yes juga menawarkan banyak jenis telefon 5G dalam tawaran ini, seperti Vivo Y55+ 5G, OPPO A78 dan Redmi Note 12 5G.
Pelan Yes Infinite+ Basic paling lumayan kerana ia menyediakan data 5G tanpa had dan tiada FUP, serta panggilan tanpa had. Tetapi data hotspot diasingkan, dengan kuota sebanyak 20GB. Masih agak lumayan.
Pakej 5G RAHMAH kurang berbaloi?
Daripada tiga contoh telco ini, boleh disimpulkan bahawa pakej 5G RAHMAH memberi diskaun RM10 berbanding pelan Celcom dan U Mobile, tetapi harga telefon 5G RAHMAH lebih mahal. Tawaran Yes 5G pula pasti sukar dilepaskan jika ia tidak terlalu panjang. Pasti tiada masalah untuk Yes 5G menawarkan telefon 5G dengan kontrak 24-bulan dan bayaran sekitar RM150 sahaja.
Boleh dikatakan, pakej 5G RAHMAH tidak jauh berbeza dengan tawaran sedia ada. Mungkin kerajaan boleh mengkaji semula tawaran ini dan berbincang dengan semua pihak yang melibatkan diri untuk menyediakan pakej lebih RAHMAH, seperti pelan 5G RM50 dengan data 50GB. Memandangkan angka 5 sangat sinonim dengan pakej RAHMAH selama ini. Ia supaya rakyat Malaysia boleh mula menggunakan 5G dengan harga lebih rendah. Jika ada yang perlukan lebih data, mereka boleh membeli add-ons daripada telco masing-masing.
Harga telefon 5G RAHMAH agak berbaloi dengan kontrak 24-bulan. Jaminan lebih panjang 2-tahun juga sangat menarik, tetapi ia sebenarnya adalah standard yang sudah ada di telefon Samsung. Bagi telefon Honor, ia adalah tambahan. Dengan ini, pengguna tidak perlu risau kerosakan akibat pengeluar dalam tempoh kontrak pelan mereka.
Kerajaan masih ada masa sebelum 31 Ogos tiba, untuk membincangkan lebih lanjut bersama semua pihak yang terlibat untuk penawaran pakej 5G RAHMAH. Ini supaya ia benar-benar dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, tidak lagi tertakluk kepada golongan tertentu sahaja. Malah, tawaran ini pastinya memberi manfaat besar buat golongan M40 yang sering dipinggirkan dalam bantuan kerajaan.
Semoga cadangan ini dapat diperhalusi lagi oleh semua pihak. Jika anda sudah ada telefon 5G tetapi mahu pelan 5G yang lebih rendah, boleh rujuk senarai pelan 5G murah di sini.
Bacaan Berkaitan
- Honor 90 Lite: Dilengkapi kamera 100MP dan skrin 90Hz pada harga sekitar RM1,000
- Galaxy A14 5G, solusi Samsung untuk telefon 5G paling mampu milik
- Pakej 5G RAHMAH tawar telefon serendah RM240 dan pelan telco RM60/bulan untuk semua
- Senarai pelan 5G termurah di Malaysia, dari RM15 sebulan
- Insentif Postpaid RAHMAH: Rebat RM10 untuk penjawat awam untuk pelan pascabayar