Infinix Malaysia hari ini menyingkap rahsia yang sudah lama dinanti ramai. Telefon pintar gaming mereka yang baru, Infinix GT 10 Pro disahkan akan datang ke Malaysia tidak lama lagi. Pelancarannya akan diadakan dengan kerjasama pasukan e-Sport, Homebois.
Homebois adalah pasukan e-Sport tempatan dan kini sedang bersaing dalam liga MPL Malaysia Musim ke-12, yang akan bermula pada 18 Ogos 2023. Infinix Malaysia akan bekerjasama dengan pasukan Homebois dalam pelancaran Infinix GT 10 Pro tidak lama lagi.
Di Facebook Infinix Malaysia, mereka telah memuat naik gambar yang menunjukkan kerjasama Infinix dan Homebois, serta tema “Outplay The Rest” dan nombor 12.09.23. Tema ini digunakan oleh Infinix GT 10 Pro semasa pelancaran di India sebelum ini. Manakala nombor tersebut, pastinya merujuk kepada tarikh pelancaran di Malaysia iaitu 12 September 2023.
Untuk rujukan, Infinix GT 10 Pro dijual di India dalam satu varian sahaja iaitu:
- Infinix GT 10 Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – INR19,999 (~RM1,113)
Bagi pasaran Malaysia, harganya dijangka tidak jauh berbeza. Kita mungkin akan melihat ia dijual di bawah RM1,200.
Spesifikasi Infinix GT 10 Pro
Rekaan Infinix GT 10 Pro penuh dengan tarikan untuk peminat permainan video. Antaranya dengan menampilkan dua pilihan warna, dikenali sebagai Mirage Silver dan Cyber Black. Kedua-duanya mengenakan kemasan futuristik separa lutsinar di belakang, bersama beberapa barisan LED yang boleh berfungsi sebagai notifikasi.
Prestasi tinggi pada Infinix GT 10 Pro dihasilkan melalui cip Mediatek Dimensity 8050 6nm. Ia memiliki 8-teras CPU, gabungan 1-teras Cortex-A78 3.0GHz dan 3-teras Cortex-A78 2.6GHz berkuasa tinggi, serta 4-teras Cortex-A55 2.0GHz yang cekap tenaga. GPU pula dikuasakan oleh 9-teras Mali-G77.
Kuasa ini bergandingan dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 seluas 256GB. Infinix menyatakan, GT 10 Pro beroleh markah AnTuTu sebanyak 703,932. Dari laman kedudukan AnTuTu, ia menyamai markah peranti yang dikuasakan cip Snapdragon 870.
Skrin yang digunakan GT 10 Pro adalah jenis AMOLED 6.67-inci 120Hz, dengan kadar sentuhan 360Hz dan kecerahan setinggi 900nits. Tambah Inifinix, sistem operasi yang digunakan bebas dari iklan, digelar juga sebagai Clean OS dan sangat hampir dengan pengalaman Android asli. Tetapi nama sebenarnya ialah XOS for GT v13, dibina daripada asas Android 13.
Meningkatkan pengalaman bermain game di GT 10 Pro adalah sistem bunyi stereo, dikuasakan DTS Audio dan diiktiraf Hi-Res Audio. Jek audio 3.5mm masih dikekalkan. Ia ditambah lagi dengan getaran 4D menggunakan motor haptik linear paksi-Z. Menariknya, kotak Infinix GT 10 Pro boleh digunakan sebagai perkakas menguatkan bunyi.
Bateri berkapasiti 5,000mAh dipasang di dalam GT 10 Pro. Ia menyokong pengecasan pantas PD3.0 45W, bukan lagi pengecas khas Infinix. Ini membolehkan ia menggunakan pelbagai pengecas pantas universal, tidak terhad kepada pengecas Infinix sahaja. Fungsi ‘Bypass Charging’ turut ada, membolehkan pengguna menguasakan terus peranti tanpa mengecas bateri, agar peranti tidak terlalu panas.
Untuk kamera, ia dikenakan tiga kamera belakang iaitu kamera utama 108MP bersama kamera makro. Di hadapan, ia dipasang kamera 32MP yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.