Apple baru sahaja melabuhkan tirai untuk majlis pelancaran besar-besaran mereka yang dinamakan Wonderlust. Di acara tersebut, Apple telah melancarkan beberpa peranti baru terutamanya barisan iPhone 15, serta Apple Watch 9 dan Watch Ultra 2.
Sehubungan itu, Apple telah mengesahkan sistem operasi iOS 17 akan mula dikeluarkan untuk khalayak ramai pada 18 September 2023. Apple juga mendedahkan iOS 17 akan diperkenal bersama mod audio baharu yang dipanggil Adaptive Audio khas untuk AirPods Pro 2 USB-C yang baru dilancar.
Pertama kali diperkenal di WWDC pada Jun lalu, iOS 17 akan membawakan banyak fitur baharu bagi menaik taraf pengalaman pengguna termasuk di aplikasi panggilan, FaceTime, iMessage dan banyak lagi.
Sungguhpun begitu, iOS 17 bukanlah sesuatu perkara baru kerana Apple telah pun mengeluarkan versi betanya pada Julai lalu. Tetapi tidak lama lagi, semua pengguna akhirnya bakal dapat menggunakan fitur baharu yang diperkenalkan pada iOS 17.
Selain barisan iPhone 15 terbaru, iPhone yang akan menyokong iOS 17 adalah seperti berikut:
- iPhone 14
- iPhone 14 Plus
- iPhone 14 Pro
- iPhone 14 Pro Max
- iPhone 13
- iPhone 13 mini
- iPhone 13 Pro
- iPhone 13 Pro Max
- iPhone 12
- iPhone 12 mini
- iPhone 12 Pro
- iPhone 12 Pro Max
- iPhone 11
- iPhone 11 Pro
- iPhone 11 Pro Max
- iPhone XS
- iPhone XS Max
- iPhone XR
- iPhone SE (generasi ke-2 atau lebih baru)
Ini bermakna iPhone yang disingkirkan daripada terima iOS 17 terbaru ini adalah iPhone 8, iPhone 8 Plus dan iPhone X. iPhone yang dilancar pada tahun 2018 iaitu iPhone XR, iPhone XS dan iPhone XS Max adalah yang terakhir untuk menyokong OS ini.
Antara ciri terbaru menarik yang ada pada iOS 17 adalah Contact Poster. Ia membolehkan anda mengbahsuai gambar kenalan yang akan keluar apabila menerima panggilan. Jika panggilan tidak diangkat, ciri Live Voicemail akan mengubah mesej suara kepada bentuk teks.
Fungsi AirDrop juga telah dipertingkatkan di iOS 17 menerusi NameDrop yang mana membenarkan pengguna berkongsi maklumat peribadi dengan hanya mendekatkan kedua iPhone. Siri boleh dipanggil dengan lebih mudah dengan hanya menyebut “Siri” dan bukannya “Hey Siri”.
Di iOS 17, iPhone boleh diubah kepada paparan sentiasa hidup ketika mengecas menerusi “StandBy”, satu ciri seperti always-on-display di iPhone 14 Pro. Dalam kedudukan melintang, ia boleh menunjukkan jam, widget, kalendar dan banyak lagi. Aplikasi IMessage akan ditambah ciri keselamatan iaitu Check In, yang mana ia akan memaklumkan keluarga atau kawan terdekat anda tiba di destinasi dengan selamat.
Untuk ketahui lebih lanjut, anda boleh layari laman rasmi Apple berkenaan iOS 17 di sini.