Garmin Malaysia kini mengumumkan kedatangan jam kecergasan terbaru mereka, Garmin Vivoactive 5. Ia menggantikan tempat Vivoactive 4 yang dilancar tahun 2019, dengan naik taraf skrin AMOLED serta keupayaan menjejak kecergasan dan kesihatan lebih jitu.
Secara ringkasnya, VivoActive 5 adalah adik kepada Venu 3 yang baru sahaja dilancarkan. Harganya juga jauh lebih murah, tetapi ia disebabkan beberapa fungsi dikurangkan daripada Venu 3. Malah, terdapat perbezaan fizikal juga.
Harga dan Ketersediaan
Jika siri Venu 3 berharga lebih RM2,000, Vivoactive 5 yang baru ini harganya tidak sampai RM1,500 iaitu:
- Garmin VivoActive 5 – RM1,480
Jam pintar baru ini telah dijual di Malaysia mulai sekarang menerusi pengedar sah Garmin dan Kedai Jenama Garmin. Ia juga terdapat di atas talian di AECO e-store, Lazada dan Shopee.
Garmin Malaysia kini sedang mengadakan jelajah ‘Know the Real You’ di IOI City Mall, dari 18 hingga 22 Oktober 2023. Di sana, pelbagai aktiviti disediakan dan boleh disertai pengunjung, antaranya Yoga dan Pound. Orang ramai juga boleh menyaksikan sendiri produk terbaru Garmin di sana, termasuk Vivoactive 5 dan Venu 3.
Spesifikasi Garmin Vivoactive 5
Naik taraf ketara pada Vivoactive 5 boleh dilihat jelas pada skrinnya. Ia menyertai barisan terkini jam Garmin yang berubah daripada skrin Memory-in-Pixel (MIP) yang kusam tetapi sangat jelas di bawah cahaya matahari, kepada AMOLED yang jauh lebih cerah dan bertenaga. Skrin ini dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 3 supaya kalis calar.
Saiz skrin ini sebesar 1.5-inci di dalam badan selebar 42mm. Bingkainya diperbuat daripada aluminium, menjadikannya jauh lebih ringan berbanding Venu 3 yang menggunakan bingkai besi tahan karat. Tali jam pula jenis silikon berukuran 20mm dan ia boleh diganti mudah seperti tali jam biasa.
Kekurangan terbesar Vivoactive 5 adalah penggunaan sensor degupan jantung V4, berbanding sensor terkini V5 di Venu 3. Ini boleh dilihat di belakang jam, di mana Vivoactive 5 hanya ada 4 LED dan 2 sensor cahaya, manakala Venu 3 ada 6 LED dan 4 sensor cahaya. Di samping itu, Vivoactive 5 juga tiada penjejak altimeter barometrik, membuatkan ia tidak boleh mengira anak tangga semasa mendaki bangunan. Ia juga tiada keupayaan pengesanan ECG yang hadir di Venu 3.
Walaupun begitu, Vivoactive 5 sudah jauh dari mencukupi untuk menjejak kecergasan dan kesihatan. Ia dilengkapi lebih 30 mod sukan, serta dipenuhi pelbagai fungsi kesihatan seperti Pulse OX, pemantau wanktu tidur, Body Battery dan banyak lagi. Penjejak lokasi menerusi GPS juga terbina di dalam, di samping kalis air sehingga 5ATM.
Hayat bateri Vivoactive 5 juga lebih panjang, kini sehingga 11 hari untuk penggunaan biasa dan sehingga 21 jam menjejak GPS berterusan. Bagaimanapun ia masih menggunakan sistem pengecasan khas Garmin untuk menambah tenaga. Tiada pengecas magnetik atau wayarles.
Satu lagi yang kekurangan pada Vivoactive 5 adalah tiada mikrofon dan speaker, jadi ia tidak boleh digunakan untuk membuat panggilan. Tetapi ia masih menyokong penyimpanan lagu luar talian, antaranya Spotify, Deezer atau Amazon Music. Jadi pengguna boleh meninggalkan telefon dan mendengar lagi dengan memuat turun lagu ke dalam jam. Terdapat 4GB storan dalaman disediakan untuk menyimpan lagu.
Sebagai jam pintar, ia juga dilengkapi fungsi seperti menerima notifikasi, emel dan pesanan ringkas. Vivoactive 5 boleh berhubung ke peranti Android dan iOS menerusi aplikasi Garmin Connect.
Terdapat empat warna disediakan untuk dipilih bagi Garmin Vivoactive 5 iaitu hitam, krim, biru dan ungu. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Garmin Vivoactive 5.
Bacaan Berkaitan
- Garmin lancar Venu 3 & Venu 3S, jam pintar pemantau kesihatan dan kecergasan, dengan fungsi panggilan terbina
- Garmin Instinct 2X Solar: Maklumat penjualannya di Malaysia
- Garmin Forerunner 265 dan Forerunner 965: Maklumat penjualannya di Malaysia
- Garmin Vivomove Trend, jam pintar rekaan anggun yang mampu berikan bacaan kadar jantung