Vivo Malaysia telah mengumumkan kolaborasi mereka bersama Hap Seng Star untuk mengadakan Hari Pengalaman siri Vivo X100. Kerjasama ini diadakan bertujuan untuk memberi pencerahan kepada pengguna berkenaan inovasi terbaru yang dibawa oleh Vivo pada siri peranti terbaru mereka, siri Vivo X100.
Bagi yang tidak tahu, Hap Seng Star merupakan syarikat pengedar rasmi Mercedes Benz di Malaysia. Oleh itu, acara tersebut diadakan di bilik pameran pengedar Hap Seng dan ia menampilkan inovasi dan keanggunaan siri Vivo X100 bersama-sama memperlihatkan koleksi kereta mewah dari Mercedes-Benz.
Mereka yang hadir turut dapat mencuba dan merasai sendiri pengalaman kehebatan kedua-dua telefon terbaru dalam siri ini iaitu Vivo X100 dan Vivo X100 Pro. Antara perkara yang ditekankan pada telefon siri Vivo X100 ini adalah teknologi fotografinya.
Vivo memperkenalkan sistem kamera multifokal potret ZEISS dan dengannya, ia berupaya untuk mengezum jauh dengan jarak fokal antara 24mm hingga 100mm, menawarkan fleksibiliti untuk pelbagai jenis fotografi.
Siri Vivo X100 ini telah rasmi dilancarkan di Malaysia pada awal Januari lalu. Jika anda berminat, Vivo X100 dijual pada harga RM3,499 dengan RAM 16GB dan storan 512GB, manakala Vivo X100 Pro pula berharga RM4,599 untuk kapasiti RAM sama dan storan 512GB.
Spesifikasi Vivo X100 Pro
Vivo X100 Pro adalah varian paling tinggi di dalam sirinya. Ia adalah sebuah telefon sebesar 6.78” menggunakan panel AMOLED beresolusi FHD+ (2800 x 1260) dengan kadar segar semula setinggi 120Hz.
Atas papan utama, Vivo X100 Pro ditunjangi cip pemproses Mediatek Dimensity 9300 yang bergandingan bersama RAM 16GB dan storan seluas 512GB. Telefon ini menjalankan sistem operasi Funtouch OS 14 berasaskan Android 14.
Di jabatan pengimejan, Vivo X100 Pro ada tiga kamera belakang dan satu kamera selfie. Untuk kamera belakang, kesemuanya mengguna pakai sensor 50MP pelbagai saiz fizikal. Kamera utamanya adalah kamera 50MP F1.75 bersensor 1”.
Kemudian, ia ada kamera telefoto 4.3x zum optikal berteknologi ZEISS APO. Lensa ZEISS APO ini membolehkan kamera telefoto turut bertindak sebagai kamera makro dengan cara menyelaraskan titik fokal secara aktif apabila mode makro dihidupkan.
Kamera ketiga adalah kamera 50MP ultralebar dengan jarak fokal 0.6x berbanding kamera utama. Gambar selfie boleh anda ambil menggunakan kamera 32MP yang terletak di paparan berlubang bahagian depan.
Menguasakan segala kelengkapan elektronik pada telefon ini adalah sistem bateri berkapasiti 5,400mAh dengan sistem pengecasan pantas FlashCharge 100W.
Lain-lain perkara yang perlu anda tahu adalah seperti ia kalis air pada paras IP68 dan telefon ini mempunyai sistem audio stereo.
Spesifikasi Vivo X100
Seperti biasa, varian bukan Pro adalah pilihan yang lebih mampu milik. Vivo X100 adalah telefon dengan paparan 6.78” beresolusi 2800 x 1260. Panelnya jenis AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz.
Atas papan utama, Vivo X100 digerakkan cip pemproses Mediatek Dimensity 9300 bersama kombinasi RAM 16GB + storan 512GB. Seperti varian Pro, Vivo X100 menjalankan sistem operasi Funtouch OS 14 berasaskan Android 14.
Untuk kamera, bilangan unit kamera depan dan belakang adalah sama seperti varian Pro, namun berbeza spesifikasinya. Kamera utama telefon ini menggunakan sensor 50MP manakala kamera telefoto menggunakan sensor 64MP. Akhir sekali, ia juga ada kamera ultralebar 50MP di samping kamera selfie 32MP.
Malangnya, sistem kamera Vivo X100 tidak menggunakan cip pengimejan Vivo V3 yang baharu sebaliknya masih gunakan Vivo V2 daripada siri X90 tahun lepas.
Vivo X100 mempunyai sistem bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecas FlashCharge 120W.
Vivo X100 juga membawakan rupa fizikal berbeza berbanding Vivo X90. Kamera ultralebar juga dinaik taraf daripada 12MP disamping tangki bateri diperbesar daripada 4,810mAh. Ciri yang masih dikekalkan adalah ketiadaan kekalisan air IP68.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk siri Vivo X100 di sini.