Siri Samsung Galaxy S24 dah dilancarkan. Dengarnya ia laku keras dalam banyak pasaran. Tentulah, sebab ada Galaxy AI kot. Biarlah orang kecoh dengan Galaxy AI. Tapi saya perasan yang ada satu bahagian ini, nak kata upgrade pun tak, nak kata downgrade pun tak.
Ada kamera pada Galaxy S24 Ultra dinaik taraf 500% di satu bahagian, diturun taraf 50% di bahagian lain.
Spesifikasi kamera Galaxy S24 Ultra
Samsung Galaxy S24 Ultra ada empat kamera belakang dan satu kamera depan. Bula dengan kamera belakang, ia ada kamera utama dua ratus megapiksel. Kemudian ia ada dua kamera telefoto, satu kamera sepuluh megapiksel dengan tiga kali zum optikal.
Satu lagi kamera telefoto lima puluh megapiksel dengan lima kali zum optikal.Kamera nombor empat adalah kamera ultralebar dua belas megapiksel dengan kosong perpuluhan enam kali zum daripada kamera utama tadi. Di bahagian depan, ia ada kamera dua belas megapiksel untuk anda ambil gambar selfie.
Spesifikasi kamera Galaxy S23 Ultra
Sekarang kita pergi ke model generasi yang lepas iaitu Galaxy S23 Ultra. Telefon ini ada kamera utama dua ratus megapiksel. Kamera telefoto pertama sepuluh megapiksel dengan sepuluh kali zum optikal. Kamera telefoto kedua sepuluh megapiksel dengan tiga kali zum optikal. Kamera ultralebar dua belas megapiksel dengan kosong perpuluhan enam kali zum. Kamera selfie dua belas megapiksel. Apa yang sama apa yang lain?
Sebahagian besar komponen kamera Galaxy S24 Ultra didapati sama spesifikasi, KECUALI. Kamera telefoto pertama yang bilangan megapiksel telah naik daripada sepuluh kepada lima puluh. NAMUN, jarak zum optikalnya kurang daripada sepuluh kali zum optikal kepada lima kali. Di laman rasmi Samsung, mereka katakan Galaxy S24 Ultra masih ada zum 10 kali tapi bukannya optical zoom sebaliknya optical quality zoom yang bermakna kualiti setara zum optikal.
Adakah perubahani ni positif ataupun negatif? Untuk itu, saya pergi keluar dan tangkap beberapa keping gambar untuk saya kongsikan kepada anda.
Beza sudut pandang 10x dengan 5x zum
Gambar pertama ini saya nak kongsikan berapa banyak perbezaan sudut pandang antara sepuluh kali zum dengan lima kali zum. Memang besar perbezaannya. Saya talakan pada bangunan Merdeka 118 nampak pelantar pemerhati sangat hampir.
Satu lagi contoh saya halakan pada bangunan Berjaya Times Square. Di S24 Ultra, lebih daripada 20 tingkat boleh kita nampak di dalam bingkai. Pada S23 Ultra, sekitar 10 tingkat saja saya muatkan dalam bingkai.
Beza S24 kedua-dua set gambar ini adalah di S24 Ultra, saya gunakan telefoto 5 kali zum optikal. Di S23 Ultra saya gunakan 10 kali zum optikal. Apa kata saya gunakan zum 10x pada S24 Ultra yang kita tahu, adalah zum digital.
Beza kualiti kamera 10x dengan 5x zum
Ada tak perbezaan daripada segi kualiti. Kelihatan tiada perbezaan ketara antara kualiti. Dua-duanya hasilkan gambar yang jelas, malahan tajam juga. Kalau saya crop secara digital pula, masih tidak ada perbezaan ketara diperhatikan. Paras noise adalah baik. Mungkin kalau ada bezapun adalah post-processing ketara pada hasil S24 Ultra yang jadikan garisan di cermin nampak lebih kontras dan tajam.
Hasil yang sama juga saya perhatikan pada set kedua. Kontras pada banggunan lebih tinggi pada hasil S24 Ultra lantas jadikannya lebih tajam. Bila zum masuk, kelihatan proses de-noise juga ada apabila anda lihat permukaan dinding bangunan nampak licin.
Beza 100x Space Zoom & Video
Saya juga periksa beza kualiti gambar 100x Space Zum. Ya, memang ada perbezaan pada butiran. Contoh yang sama pada papan tanda bangunan ini. Kesan tampalan retak hampir tidak kelihatan pada sampel S24 Ultra berbanding S23 Ultra.
Selain daripada beza jarak fokal. Anda juga boleh nampak beza profil warna antara generasi. S23 Ultra ada sedikit tint hijau sementara S24 Ultra ada sedikit tint magenta. Namun ia bukanlah satu isu yang besar dan mudah boleh diubah sewaktu penyuntingan.
Selain daripada gambar, saya juga cuba rekod video pada jarak zum 10x untuk kedua-dua telefon. Saya dapati yang hasil video di S24 Ultra nyata lebih stabil berbanding hasil di S23 Ultra. Mungkin disebabkan sensor telefoto 50MP lebih besar buatkan EIS lebih dominan berbanding OIS sementara di Galaxy S23 Ultra, OIS lebih dominan.
Video ketika saya berdiri statik masih menunjukkan hasil yang sama. S24 Ultra lebih stabil pada 10x zum. Daripada segi kualiti, saya boleh katakan hasil antara mereka adalah hampir sama kecuali pada profil warna.
Kamera telefoto Galaxy S24 Ultra: Naik taraf atau turun taraf?
Teori saya, Samsung turun taraf lensa telefoto daripada 10x zum optikal kepada 5x zum optikal mungkin disebabkan kepraktikalan. Saya sukakan zum optikal 10x sewaktu mengambil gambar, namun apabila mengambil video, lensa ini sangat tidak berguna.
Sudut pandang terlalu rapat dan sangat terdedah kepada gegaran jadikannya kurang praktikal. Satu-satunya cara untuk manfaatkannya adalah dengan menggunakan tripod. Sementara itu, pada 5x optikal S24 Ultra, video masih mempunyai sudut pandang praktikal, gegaran pun minimum dan saya masih boleh crop masuk kepada 10x digital tanpa korbankan kualiti terlalu ketara.
Penggunaan lensa 5x mungkin memberi peluang kepada Samsung untuk kenakan sensor lebih besar saiz fizikalnya. Spekulasi ada menyatakan yang mereka bertukar daripada sensor Sony 10MP kepada Samsung 50MP. Sekiranya benar, tentu sekali mereka mampu jimatkan wang kerana gunakan komponen berjenama sendiri.
Saya ingin dengar pendapat anda. Mana satu lebih praktikal? 10x zum optikal ataupun 5x zum optikal? Ujian apa lagi yang anda ingin saya jalankan?
Bacaan berkaitan
Jangan beli Galaxy S24 hanya kerana fungsi AI, ini sebabnya
Ini cara lebih tepat dan cepat untuk mencatat nota di telefon pintar
Samsung Galaxy Fit 3 bantu kekalkan motivasi tahun baru, ada pengesan terjatuh dan pemantau tidur