Samsung Malaysia kini mengesahkan bahawa telefon pintar terbaru mereka, Galaxy A35 dan Galaxy A55 akan tersedia dijual di Malaysia pada hari Jumaat ini, 22 Mac 2024. Kedua-dua telefon pintar yang tergolong dalam kelas pertengahan ini, akan dijual di Kedai Pengalaman Samsung, Pengedar Sah Samsung, serta atas talian di laman web rasmi Samsung Malaysia, Lazada dan Shopee.
Harga Galaxy A35 dan Galaxy A55
Bagaimanapun, Samsung Malaysia masih belum berkongsi tentang harga rasmi Galaxy A35 dan Galaxy A55. Mungkin ia akan diumumkan pada hari pertama jualan, bersama promosi pembelian awal.
Untuk rujukan, Galaxy A35 dan Galaxy A55 telah terjual di Indonesia sejurus pelancaran antarabangsa. Harga rasminya di sana adalah:
- Galaxy A35 (RAM 8GB + storan 128GB) – IDR4.999.000 (~RM1,508)
- Galaxy A35 (RAM 8GB + storan 256GB) – IDR5.499.000 (~RM1,659)
- Galaxy A55 (RAM 8GB + storan 256GB) – IDR5.999.000 (~RM1,808)
- Galaxy A55 (RAM 12GB + storan 256GB) – IDR6.899.000 (~RM2,080)
Jangkakan harga di Malaysia tidak akan berbeza jauh dengan harga di Indonesia. Tetapi, jika merujuk laman web Samsung Malaysia, ia menyenaraikan hanya satu varian iaitu (8+256GB) untuk Galaxy A35 dan (12+256GB) bagi Galaxy A55.
Mungkin kita akan melihat harga Galaxy A35 dan Galaxy A55 lebih tinggi berbanding harga pelancaran model sebelumnya. Tahun lepas, Galaxy A34 dilancar pada harga RM1,599 manakala Galaxy A54 pula berharga RM1,899.
Spesifikasi Galaxy A35 dan Galaxy A55
Samsung mengekalkan ciri kalis air IP67 pada Galaxy A35 dan Galaxy A55. Selain itu, kedua-dua telefon ini datang siap dengan sistem operasi One UI 6.1 berasaskan Android 14, serta dijamin akan menerima kemaskini OS sebanyak 4 kali dan kemaskini keselamatan 5 tahun. Samsung turut mewar-warkan fungsi keselamatan Knox Vault yang terdapat di telefon ini.
Galaxy A35 dikuasakan cip Exynos 1380, bersama RAM 8GB dan storan 256GB. Ia memiliki skrin Super AMOLED seluas 6.6-inci HD Penuh 120Hz, dengan lubang kecil di dahi memuatkan kamera hadapan 13MP. Di belakang, ia dipasang tiga kamera dengan kamera utama 50MP OIS.
Bateri masih berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan 25W sahaja. Terdapat tiga warna Galaxy A35 ditawarkan di Malaysia kelak iaitu Awesome Lilac, Awesome Navy, dan Awesome Iceblue.
Galaxy A55 pula menggunakan cip lebih baru, Exynos 1480 bersama RAM 12GB dan storan 256GB. Ia juga dipasang skrin Super AMOLED 6.6-inci HD Penuh 120Hz di hadapan. Kamera hadapannya 32MP manakala di belakang ia menggandingkan tiga kamera iaitu kamera utama 50MP OIS, kamera ultralebar 12MP dan kamera makro 5MP.
Bingkai badan Galaxy A55 kini diperbuat daripada besi dan belakangnya dilapisi kaca. Baterinya juga 5,000mAh dengan sokongan pengecas 25W. Tiga warna ditawarkan untuk Galaxy A55 di Malaysia iaitu Awesome Iceblue, Awesome Navy, dan Awesome Lilac.
Sementara menantikan ketibaan 22 Mac, anda boleh dapatkan maklumat lanjut tentang telefon baru ini di laman web Samsung Galaxy A35 dan Galaxy A55.