Mengesan lokasi tidak lagi mustahil dengan adanya teknologi pada masa kini. Ia juga boleh jadi berguna dalam situasi tertentu kerana membolehkan anda untuk sentiasa sedar tentang keberadaan ahli keluarga atau kawan semasa mereka berada di luar rumah. Selain daripada gajet yang khusus untuk digunakan menjejak lokasi, anda juga boleh gunakan sahaja telefon pintar di dalam poket anda untuk menjejak lokasi.
Terdapat beberapa aplikasi yang hadir lengkap dengan fungsi untuk mengesan lokasi. Berkongsi lokasi boleh dilakukan secara dua hala, bermaksud anda boleh gunakan telefon pintar anda sebagai peranti menjejak dan peranti yang dijejak. Tetapi, perlu diingatkan yang fungsi ini menggunakan lebih banyak bateri kerana GPS akan sentiasa dihidupkan. Bagaimanapun, untuk tahu lebih lanjut apakah aplikasi itu dan cara untuk gunakannya, di sini saya kongsikan.
1. WhatsApp
Bagi yang tidak tahu, aplikasi WhatsApp ada fungsi terbina untuk mengesan lokasi. Untuk ketahui lokasi sesesorang, kenalan atau ahli keluarga anda perlulah berkongsikan lokasi mereka di WhatsApp terlebih dahulu. Cara untuk kongsi adalah sangat mudah.
Pada chat, tekan simbol tambah di bawah kiri dan pilih ‘Location’. Kemudian anda boleh tekan ‘Share Live Location’ untuk kongsikan lokasi nyata anda. Lokasi boleh ditetapkan untuk dikongsikan sama ada dalam masa 15 minit, 1 jam ataupun 8 jam. Dengan itu, kenalan anda boleh mengesan lokasi semasa anda.
Sementara itu, anda juga ada piliihan untuk menghantar lokasi tetap kepada kenalan jika tidak mahu berkongsikan lokasi langsung anda.
Anda boleh muat turun WhatsApp di Apple Apps Store dan Google Play Store.
2. Google Maps
Google turut menyediakan fungsi untuk mengesan lokasi melalui aplikasi Google Maps. Anda boleh berkongsikan lokasi masa nyata anda kepada orang lain mengikut masa yang ditetapkan atau sehingga ia dimatikan secara manual. Untuk lakukannya, selepas melancarkan Google Maps, tekan gambar profil di bahagian atas kanan, dan pilih ‘Location Sharing’.
Setelah menekan ‘Share Location’, anda akan disapa dengan opsyen untuk berkongsikan lokasi kepada siapa yang anda mahu. Kemudian anda boleh tetapkan masa perkongsian lokasi dan tekan ‘Share’. Dengan itu, kenalan yang dipilih akan dapat melihat lokasi masa nyata anda selama mana masa yang ditetapkan. Selain lokasi, pada peta juga akan memaparkan peratus bateri telefon anda .
Selain daripada itu, anda juga boleh meminta lokasi orang yang berkongsi lokasi dan boleh menambah kenalan lain untuk sertai melihat lokasi masa nyata anda.
Anda boleh muat turun Google Maps di Apple Apps Store dan Google Play Store.
3. Apple Find My
Find My merupakan aplikasi untuk menjejak peranti Apple. Disebabkan itu, kekurangannya ia hanya boleh digunakan dan berfungsi antara peranti Apple sahaja seperti iPhone, iPad dan Apple Watch. Untuk mulakan kongsi lokasi di ‘Find My’, anda perlu pergi ke tab ‘People’ yang terdapat di bawah kiri di halaman utama, kemudian tekan ‘Start Sharing Location’ untuk mula kongsi lokasi.
Sesudah itu, anda boleh memilih kenalan yang nak diskongsikan lokasi dan pilih durasi perkongsian sama ada untuk satu jam, sehingga akhir hari atau selama-lamanya. Kenalan anda turut ada pilihan untuk berkongsikan lokasi mereka jika mereka mahu.
Anda boleh muat turun aplikasi Find My di Apple Apps Store.
4. Snapchat
Aplikasi Snapchat merupakan platform media sosial yang juga hadir dengan peta terbina dan fungsi untuk mengesan lokasi. Ia berfungsi sepertimana aplikasi lain, tetapi hanya boleh digunakan bersama kenalan anda yang mempunyai akaun Snapchat.
Untuk gunakannya, di halaman utama aplikasi, tekan ikon peta di bawah kiri untuk membuka peta Snapchat. Dari situ, anda boleh lihat kenalan yang telah berkongsikan lokasi nyata mereka kepada anda. Anda turut boleh menambah kenalan yang lain dengan menekan butang tetapan di atas kanan atau boleh juga matikan tetapan dari situ.
Anda boleh muat turun Snapchat di Apple Apps Store dan Google Play Store.
5. Life360
Life360 adalah aplikasi yang dibina khusus untuk tujuan mengesan lokasi, tetapi lebih ditujukan untuk ahli keluarga. Sebalik boleh berkongsi lokasi dengan kenalan, aplikasi ini berkongsi lokasi dalam kumpulan yang dipanggil ‘Circle’. Semasa mendaftar, anda boleh sertai kumpulan atau mencipta kumpulan baru. Jika anda pilih yang terakhir, anda akan diberi kod dan kod itu boleh dikongsi kepada kenalan yang ingin di jemput.
Yang menariknya, selain tawar ciri untuk mengesan orang, aplikasi ini juga boleh memaklumkan anda secara langsung jika ada ahli keluar atau sampai ke rumah. Dari segi keselamatan, aplikasi ini hadir dengan ciri pengesanan pemanduan di mana ia akan memberi amaran jika berlakunya kemalangan pada ahli kumpulan. Peratus bateri ahli lain juga akan dipaparkan jika ia bawah 10%.
Kalau anda nak memaklumkan sesuatu pada ahli lain, ia boleh dibuat terus di dalam aplikasi kerana aplikasi ini ada ciri chat terbina.
Anda boleh muat turun Life360 di Apple Apps Store dan Google Play Store.