Selari dengan pelancaran siri Infinix Note 40 di peringkat antarabangsa yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Infinix Malaysia pada hari ini telah memperkenalkan siri tersebut secara rasmi untuk pasaran tempatan dan mendedahkan harganya di Malaysia. Seperti yang dijangka, daripada empat model, pasaran Malaysia menerima dua model iaitu Note 40 dan Note 40 Pro 5G.
Harga dan ketersediaan Infinix Note 40 Pro 5G di Malaysia
Walaupun telah dilancarkan, Infinix Note 40 dan Note 40 Pro 5G hanya akan mula dijual bermula 25 Mac ini. Tetapi bermula hari ini 19 Mac, Infinix telah membuka pratempah untuk kedua-dua Note 40 dan Note 40 Pro 5G. Terdapat satu varian yang ditawarkan untuk kedua-dua model dan berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- Infinix Note 40 Pro 5G (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM1,098
- Infinix Note 40 (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM898
Yang menariknya, Infinix turut menyediakan hadiah menarik dengan setiap pembelian siri Note 40. Pembeli akan menerima pek bateri MagPower dan Magcase bernilai RM69, sementara stok masih ada. Sekiranya anda berminat, Note 40 dan Note 40 Pro 5G boleh didapatkan di stor rasmi Infinix di Lazada dan Shopee atau boleh juga dapatkannya di TikTok Shop Infinix.
Spesifikasi Note 40 Pro 5G
Infinix Note 40 Pro 5G dilengkapkan dengan skrin AMOLED melengkung 6.67-inci beresolusi FHD+ dengan kadar penyegaran 120Hz. Panel paparan ini ada kecerahan puncak pada 1,300 nits dan memiliki cakupan warna gamut luas DCI-P3, serta tahap PWM setingga 2160Hz. Melapisi komponen skrin adalah kaca Corning Gorilla.
Merupakan model 5G, telefon ini dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 7020 yang dipadankan dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan UFS 2.2 seluas 256GB. Keupayaan RAM maya membolehkan kapasiti RAM diperluas lagi 8GB menjumlahkan 16GB yang boleh digunakan.
Bateri berkapasiti 5,000mAh dimuatkan di dalam badan telefon ini. Walaupun adalah model lebih mewah, Note 40 Pro 5G ini sokong pengecasan pada sama dengan Note 40. Ia juga boleh dicas secara wayarles pada kelajuan 20W dan hadir dengan teknologi magnetik MagCharge dan sokong pengecasan terbalik.
Cip Cheetah X1 turut boleh anda temui dalam Note 40 Pro 5G. Tugas utama cip ini adalah untuk menguruskan sistem pengecasan pantas, di samping mengurangkan suhu telefon dan tawar perlindungan peraliran kuasa ketika mengecas.
Di belakang telefon, terdapat tetapan tiga kamera di belakang. Kamera-kamera tersebut adalah kamera utama 108MP F.75 OIS, kamera makro 2MP F2.4 dan juga kamera depth 2MP. Di hadapan, ia ada kamera selfie yang menggunakan sensor 32MP F2.2.
Pada ruang modul kamera juga, ia ada rekaan lampu Active Halo yang boleh menotifikasikan pengguna untuk panggilan masuk, notifikasi, pengecasan dan banyak lagi.
Ia akan datang lengkap bersama sistem operasi XOS 14 berasaskan Android 14 dan Infinix memberikan jaminan kemas kini OS dua kali dan tiga tahun kemas kini keselamatan. Ciri lain yang terdapat pada Note 40 Pro 5G adalah pengimbas cap jari dalam skrin, speaker stereo, WiFi 5, NFC dan 5G. Terdapat tiga warna yang ditawar iaitu hijau, emas dan hitam.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Note 40 Pro 5G.