Honor telah mengemaskini tawaran tablet berkuasa lebih tinggi dengan melancarkan Honor Pad 9. Ia dilengkapi kuasa kelas pertengahan, bersama skrin sangat besar dan resolusi tinggi. Bateri juga lebih besar berbanding Honor Pad 8.
Harga dan Promosi Honor Pad 9
Berita baik untuk rakyat Malaysia, Honor Pad 9 terdapat dalam versi WiFi sahaja serta 5G dan WiFi di Malaysia. Tetapi tarikh jualan kedua-dua versi adalah berbeza. Model WiFi akan dijual di Malaysia mulai 28 Mac 2024 manakala versi 5G mulai 19 April 2024.
Harga rasmi Honor Pad 9 di Malaysia adalah seperti berikut:
- Honor Pad 9 WiFi (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,499
- Honor Pad 9 5G (RAM 8GB + Storan 256GB) – akan diberitahu kemudian
Pembeli terawal akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM698 iaitu papan kekunci pintar Bluetooth dan Honor Choice Pencil. Hadiah ini diberikan selagi stok masih ada.
Kepada yang berminat untuk membeli Honor Pad 9, boleh dapatkannya di laman web HiHonor Malaysia, Lazada, Shopee dan TikTok Shop, serta pengedar sah Honor termasuk Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic.
Spesifikasi Honor Pad 9
Tablet ini dikuasakan cip Snapdragon 6 Gen 1 4nm, pemproses kelas pertengahan dan hanya ada dalam versi WiFi, tiada LTE atau 5G. Ia disediakan dengan RAM 8GB bersama storan 256GB sahaja. Tiada slot kad mikroSD untuk storan tambahan.
Honor Pad 9 meneruskan paparan yang agak serupa dengan Honor Pad 8, jenis TFT LCD dengan saiz besar 12.1-inci. Skrin ini memiliki resolusi tinggi 2.5K (2560×1600) dan kadar penyegaran 120Hz. Agak pelik apabila tablet ini masih tiada pengimbas capjari.
Hanya ada dua kamera dipasang pada Honor Pad 9. Kamera belakang dinaik taraf ke 13MP F2.0 dengan autofokus manakala kamera hadapan 5MP F.20 dengan fokus tetap terletak di bingkai atas skrin. Ini menjadikan paparan luas tanpa takuk atau lubang.
Sistem bunyi stereo dihasilkan menerusi 8 pembesar suara. Ia gabungan 4 unit treble dan 4 unit bass, menyokong teknologi bunyi Honor Histen. Bagaimanapun tiada jek audio untuk dicucuk fon telinga berwayar, perlu menggunakan adaptor USB-C ke 3.5mm.
Bateri yang dipasang di dalam Honor Pad 9 agak besar, berkapasiti 8,300mAh. Ia menyokong pengecasan pantas Honor SuperCharge 35W menerusi USB-C. Honor menyatakan, tablet ini mampu memainkan video tanpa henti selama 11 jam.
Sistem operasi pula menggunakan MagicOS 7.2 berasaskan Android 13. Honor Pad 9 memiliki rupa premium kerana menggunakan badan besi, dengan ketebalan hanya 6.9mm dan berat cuma 555 gram.
Pengguna Honor Pad 9 boleh meningkatkan produktiviti kerja dengan menambah aksesori seperti papan kekunci pintar Bluetooth dan Honor Pencil. Ia dijual berasingan tetapi Honor ada memberikannya secara percuma tertakluk kepada promosi yang diadakan.
Honor Pad 9 ditawarkan dalam dua warna, antara Cyan dan Kelabu. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Honor Pad 9.