Sempena nak raya ini, pasti anda ada bajet lebih untuk berbelanja. Mungkin ada juga yang mahu mencari telefon untuk raya nanti. Kalau anda ada bajet bawah RM2,000, saya nak senaraikan 5 telefon terbaik yang anda boleh dapat sekarang.
Kebanyakan telefon dalam senarai ni semua model baru dan yang penting, semua telefon ada prestasi tinggi, sistem kamera baik, skrin AMOLED dan datang dengan sistem operasi Android 14.
1. Oppo Reno 11 (12GB + 256GB) – RM1,799
Oppo Reno 11 dilancar pada pertengahan Januari lalu. Salah satu keunikan telefon ini adalah pada rekaannya. Ia memiliki panel belakang berkilauan dengan bentuk kamera yang anda tak boleh jumpa dekat telefon lain. Kamera- kamera ini adalah kamera utama 50MP OIS, kamera telefoto 32MP dan ultralebar 8MP. Kamera depan juga hebat, dengan beresolusi 32MP.
RAM yang diberikan juga agak besar, 12GB jenis LPDDR4X dan storan UFS 2.2 256GB serta dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7050. Ia sokong pengecasan SuperVOOC 67W dan Oppo dakwa mengecas daripada 0 hingga 100 peratus ambil masa 45 minit sahaja. Bateri yang digunakan adalah berkapaisiti 5,000mAh.
Selain itu, terdapat juga IR blaster pada telefon bolehkan anda kawal TV atau Aircond guna telefon. Paparannya jenis AMOLED 6.7 inci melengkung 120Hz dan lagi bagus, ia datang dengan ColorOS 14 berasaskan Android 14 sejurus keluar kotak.
Anda boleh dapatkan Oppo Reno 11 pada harga RM1,799 di Lazada dan Shopee.
2. Realme 12 Pro+ (8GB + 256GB) – RM1,799
Kelebihan utama Realme 12 Pro+ ada pada sistem kameranya. Ia hadir dengan kamera telefoto periskop 64MP yang mampu mengzum optikal sehingga tiga kali dan zum digital sehingga 120 kali. Lagi hebat daripada Samsung Galaxy S24 Ultra pada zum 100 kali.
Bukan setakat itu sahaja, modul kamera Realme 12 Pro+ juga nampak premium sebab ia menggunakan rekaan ‘crown’ seakan jam tangan mewah. Tambah menarik ia gunakan kemasan kulit pada panel belakang dengan jahitan warna emas dekat tengah-tengah. Skrinnya pun tak kurang premium, jenis AMOLED melengkung 6.7-inci FHD+ 120Hz, dan dikuasakan cip Snapdragon 7s Gen 2.
RAM tersedia sebanyak 12GB dengan storan 256GB. Speaker pula jenis stereo ada sokongan Dolby Atmos dan diiktiraf kalis percikan air dan debu IP65. Untuk bateri, ia berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 67W. Kepala pengecas dapat sekali dalam kotak.
Kalau berminat, anda boleh dapatkan Realme 12 Pro+ pada harga RM1,799 di Lazada dan Shopee.
3. Xiaomi 13T (12GB + 256GB) – RM1,999
Bawah RM2,000, telefon Xiaomi 13T paling berbaloi yang boleh anda dapat sebab spesifikasinya kira dah bertaraf flagship. Prestasi tingginya disumbang oleh cip Mediatek Dimensity 8200 Ultra, dengan RAM LPDDR5 12GB dan storan pantas UFS 3.1 256GB. Sistem kamera pula ditala Leica dengan kamera utama 50MP OIS, kamera telefoto 50MP dan kamera ultralebar pun ada, tapi sensor kecil sikit 12MP.
Lagi ciri flagship yang telefon ini ada adalah, ia diiktiraf IP68 dan menggunakan skrin AMOLED 144Hz dengan kecerahan puncak 2600 nits. Kemudian, ia juga djiamin kemaskini keselamatan 5 tahun dan kemaskini Android 4 kali. Pengecasan yang disokong berkelajuan 67W melalui USB-C dengan bateri 5,000mAh yang menerimanya.
Anda boleh dapatkan Xiaomi 13T pada harga RM1,999 di Lazada dan Shopee.
4. Poco X6 Pro (12GB + 512GB) – RM1,699
Kalau anda pentingkan prestasi tinggi dan nak guna untuk gaming, Poco X6 Pro memang ngam sebab ia guna cip paling hebat Dimensity 8300 Ultra. Tapi selain daripada tu, skrin telefon ni biasa sahaja Flow AMOLED 120Hz berukuran 6.67-inci FHD+, kamera pun tak ada lah hebat sangat sebab tiada telefoto.
Tapi paling menarik, pada harga bawah RM1,700, ia guna storan pantas UFS 4.0 sebesar 512GB dan RAM LPDDR5X 12GB. Tak ada telefon lain yang bagi storan dan RAM sepantas ini. Selain itu, ia turut lengkap dengan sistem operasi HyperOS berasaskan Android 14. Kelebihan Poco X6 Pro ni lagi ia diiktiraf kalis percikan air dan debu IP54, serta ada IR Blaster dan speaker stereo Dolby Atmos.
Anda boleh dapatkan Poco X6 Pro pada harga RM1,699 di Lazada dan Shopee.
5. Galaxy A55 (12GB + 256GB) – RM1,999
Kalau Galaxy A54 dulu ada spec biasa-biasa, tapi tak lagi untuk Galaxy A55 terbaru. Ia baru sahaja dilancar pada 19 Mac lalu dan dikuasakan cip yang lebih berkuasa, tapi Exynos 1480 bukan Snapdragon. Sistem operasinya menggunakan One UI 6.1 berasaskan Android 14 dan macam biasa, Samsung bagi jaminan kemaskini OS 4 kali dan keselamatan 5 tahun. Terdapat juga fungsi Samsung Knox Vault untuk keselamatan.
Di samping itu, nak bawa Galaxy A55 masuk dalam air pun boleh kerana diiktiraf IP67. Skrin Skrin pula Super AMOLED 6.6-inci 120Hz beresolusi FHD+. Bateri agak besar 5,000mAh, tapi pengecasan yang disokong cuma 25W je. Bingkainya kini dah naik taraf diperbuat daripada besi dan ia ada speaker stereo.
Anda boleh dapatkan Samsung Galaxy A55 pada harga RM1,999 Lazada dan Shopee.
Itulah dia telefon terbaik yang anda boleh dapat dengan bajet bawah RM2,000 sekarang. Dari senarai tadi, mana yang paling dekat di hati anda? Jenama Poco ke? Kalau anda nak paling tinggi prestasi untuk buat main game, memang Poco X6 Pro lah jawapannya. Jika anda pentingkan kamera, dapatkan Realme 12 Pro+ sebab ia ada kamera periskop dan boleh zum 120 kali.
Xiaomi 13T pula memang sesuai untuk anda yang nak semua aspek bagus dekat telefon, sebab ia diiktiraf IP68, kamera Leica, dan guna cip flagship Dimensity 8200 Ultra. Nak rupa telefon lain daripada lain? boleh dapatkan Oppo Reno 11. Samsung Galaxy A55 ini untuk anda yang pengguna tegar One UI dan nak telefon ala-ala S24.