Pasaran telefon flagship kini disertai oleh sebuah lagi jenama terkemuka, Xiaomi dengan siri Xiaomi 14. Sebenarnya ia bukanlah telefon baru kerana telah dilancarkan di pasaran China sejak Oktober tahun lalu, dengan hanya baru-baru ini ia diperkenal untuk pasaran global dan juga Malaysia. Terdapat dua model yang bernaung di bawah siri ini iaitu Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Ultra bagi pasaran antarabangsa dan Malaysia.
Seperti biasa, antara perkara utama pada siri ini adalah sistem kamera Leica-nya, termasuklah untuk model asas Xiaomi 14. Ia adalah salah satu telefon kompak dalam pasaran yang hadir dengan penggunaan cip flagship Snapdragon 8 Gen 3, serta hadir dengan sistem operasi HyperOS terbaru.
Jadi, adakah Xiaomi 14 ini sebuah telefon kompak yang lebih baik berbanding pesaingnya? Di sini saya nak ceritakan pengalaman serta ulasan saya mengenai Xiaomi 14.
Spesifikasi Xiaomi 14
Sebelum itu, bagi anda yang nak ketahui lebih lanjut spesifikasi penuhnya, berikut saya kongsikan.
- Cipset: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 4nm
- RAM: LPDDR5X 12GB
- Storan: UFS 4.0 256GB
- Skrin: AMOLED 6.36″ FHD+ 120Hz
- Kaca: Corning Gorilla Glass 5
- Kamera Hadapan: 32MP
- Kamera Utama Leica: 50MP OIS F1.6
- Kamera Telefoto Leica: 50MP 32MP F.20
- Kamera Ultralebar Leica: 50MP F2.2
- Speaker: Stereo
- Bateri: 4,610mAh
- Pengecasan: 90W USB-C 3.2, wayarles 50W
- Lain-lain: Kalis air dan debu IP68
Rekaan premium, tapi bonggol kamera besar sangat
Bermula daripada rekaan, Xiaomi masih mengekalkan estetik siri flagship yang sama untuk Xiaomi 14. Ia ada rekaan yang minimalis dengan sisi rata seperti kebanyakan telefon sekarang. Tetapi, perkara paling menonjol pada panel belakangnya adalah bahagian modul kamera. Ia tampil dengan modul kamera besar, malah jauh lebih besar daripada model Xiaomi 13 sebelumnya.
Bonjolan kamera Xiaomi 14 juga terkeluar daripada badannya yang mana membuatkan saya sedikit was-was apabila menggunakannya ataupun letakkan telefon di atas meja sebab takut tercalar. Kalau pakai sarung sekalipun masih rasa lensa boleh terkena pada meja sebab ruang modul kameranya terlalu besar.
Tetapi apa yang menarik, kalau perhatikan betul-betul pada luaran modul kameranya, ia ada rekaan berbintik-bintik kecil, jadi tawarkan estetik yang lebih premium.
Dalam masa sama, disebabkan ruang modul kameranya yang besar juga, telefon ini terasa sedikit berat pada bahagian atas apabila memegang. Namun begitu, keseluruhan badannya tidaklah berat dan rasa cukup selesa semasa berada dalam tangan. Sisi ratanya juga sedap dipegang dan tidak terasa tajam, dengan panel belakangnya ada sedikit lengkungan yang dapat menambah baik genggaman.
Panel belakangnya menggunakan kemasan kaca berkilat dan unit yang ada pada saya ini adalah berwarna Jade Green. Secara jujurnya, saya agak suka dengan warna dan rekaannya yang bersih. Kemasan kaca berkilat pada panel belakang telefon ini juga tidak terasa licin. Tapi, macam biasa, penggunaan kaca berkilat ini akan menyebabkan banyak peninggalan kesan cap jari pada panel belakang. Bagaimanapun, saya suka rekaan panel belakang Xiaomi 14 ini, ia sedap dipegang, serta cukup minimalis dan cantik.
Xiaomi 14 tampil dengan satu speaker yang menembak ke bawah dan satu lagi menembak ke hadapan menerusi earpiece. Apa yang saya boleh kata, audio yang ditawarkan pada speaker ini memang cukup sedap, audio terasa penuh dan ada kelantangan yang kuat, lebih-lebih lagi bila gunakan ciri Dolby Atmos. Kalau tutup, audio memang tak sedap langsung.
Skrin cantik bersaiz cukup kompak
Xiaomi menggelarkan Xiaomi 14 ini sebagai sebuah flagship kompak. Tetapi sebenarnya, saya rasakan ia sedikit besar untuk dipanggil sebagai telefon kompak. Ini kerana ia hadir dengan skrin 6.36-inci, lebih besar daripada Samsung Galaxy S24 yang saya reviu sebelum ini pada 6.1-inci. Walaupun terasa sedikit besar berbandingnya, Xiaomi 14 ini masih selesa untuk digunakan dalam satu tangan dan boleh dianggap kecil jika dibandingkan dengan kebanyakan telefon lain sekarang.
Dari segi panel skrin, ia menggunakan paparan AMOLED dan seperti yang dijangka, warna yang ditawar pada panel memang cukup cantik. Kandungan pada skrin nampak jelas, tajam, dan juga bergerak dengan lancar. Tiada apa yang nak dikeluhkan. Untuk kegunaan menonton video, nak skrol media sosial dan main game, memang berikan pengalaman yang menyeronokkan.
Seperkara menarik lagi pada skrinnya, katakanlah anda nakkan warna yang lagi terang, anda boleh ubah ke mod lain macam vivid, saturated ataupun anda boleh menyesuaikan melalui opsyen warna gamut. Tetapi pada saya, warna pada default pun sudah cukup cantik. Selain itu, penggunaan bawah cahaya matahari bukan satu masalah sebab skrin Xiaomi 14 ini ada tahap kecerahan puncak sangat memberangsangkan.
Selain itu, kalau nak buka telefon, pengimbas cap jari ada dekat dalam skrin dan ia boleh mengecam jari dengan pantas. Tak sampai sesaat dah buka telefon. Sebagai sebuah flagship, Xiaomi 14 ini juga lengkap dengan kalis air IP68, jadi kalau nak rendam dalam air pun tiada masalah.
Kamera Leica terbaik
Selain prestasi, kelebihan lain pada Xiaomi 14 ini adalah pada sistem pengimejannya. Sama seperti sebelum ini untuk siri flagship Xiaomi, Xiaomi 14 dilengkapkan dengan sistem optik Leica di mana ia menggunakan lensa Leica Vario-Summilux 1:1.6-2.2/14-75 ASPH. Sistem kamera ini terdiri daripada tiga tetapan kamera dan semuanya menggunakan resolusi 50MP, merangkumi kamera utama, kamera ultra lebar dan kamera telefoto.
Kamera utamanya berikan hasil sangat memuaskan, penghasilan warna sangat cantik dan kualiti imej baik. Ia juga hadir dengan dua mod iaitu Leica Vibrant dan Leica Authentic dan tidak kisah mana yang anda pilih, hasil yang diperoleh tetap akan cantik. Cumanya, Leica Authentic akan ada hasil yang sedikit lebih gelap berbanding Leica Vibrant, buatkan suasana nampak lagi tenang.
Hasil daripada kamera ultralebar juga tidak mengecewakan dengan kualiti seakan kamera utama. Anda boleh lihat sampelnya di bawah.
Sementara itu, untuk kamera telefoto pula, gambar yang dizum turut ada hasil yang jelas dengan butiran kekal ada. Ia mampu mengezum sehingga 3.2x dengan kualiti optikal dan maksimum zum sehingga 60x untuk zum digital. Tapi, macam biasa kualitinya kabur tapi masih bolehkan anda untuk nampak samar-samar perkataan pada bangunan.
Di samping itu, gambar potret daripada kamera telefoto juga buahkan hasil yang agak baik. Bokehnya baik dan subjek diasing dari latar dengan sempurna. Yang bagusnya, tahap bokehnya boleh juga boleh dilaras selepas gambar telah ditangkap, sama macam iPhone 15. Ia boleh dilaras sehingga ke bukaan F1.0 untuk tawarkan bokeh lebih kuat.
Selain bukaan apertur, tangkapan potret juga ada preset dari 35mm hinggalah 90mm bolehkan anda untuk mendapat jarak yang ideal dengan bokeh tertentu. Tapi untuk bokeh 90mm, ia tak berapa bagus sebab buatkan muka terlalu lembut sampai kaburkan muka.
Beralih pada bahagian depan, tangkapan selfie menggunakan kamera 32MP juga jelas dan hasilkan warna kulit cantik. Hasil yang bagus ini juga ada pada potret selfie, dan macam kamera belakang, bokeh untuk selfie juga boleh diubah dan dilaras sampai F1.0 selepas gambar ditangkap.
Ini pertama kali saya menggunakan sistem kamera dengan Leica dan pendek kata, saya agak kagum dengan apa yang ditawarkan pada Xiaomi 14 ini. Ia antara kamera telefon terbaik saya pernah guna setakat ini. Sistem Leica padanya memang benar-benar beri perbezaan berbanding kamera biasa.
Prestasi flagship dengan HyperOS
Melihat pada prestasi, Xiaomi 14 dikuasakan oleh cip flagship terkini Snapdragon 8 Gen 3. Sewaktu ia dilancarkan di China, ia adalah telefon pertama yang dipasangkan dengan cip ini. Seperti yang semua sedia tahu, prestasi yang ditawar pada cip Snapdragon 8 Gen 3 sudah tentulah antara yang terbaik dan untuk Xiaomi 14, ia juga tidak berbeza. Ia dapat berikan keseluruhan pengalaman yang lancar.
Perkara yang sama juga dapat dilakukan untuk gaming. Bermain game berat macam Genshin Impact langsung tak tersekat-sekat walaupun permainan ditetapkan pada tetapan paling tinggi, serta game boleh kekal lancar dalam sesi gaming lama. Pendek kata memang berkuasa. Namun, sewaktu gaming atau melakukan tugas berat, telefon akan terasa sedikit suam hanya jika bermain dalam sesi panjang. Sungguhpun begitu, ia tidak memberi kesan buruk pada prestasi.
Bagi anda yang berminat untuk tahu hasil ujian penanda aras, berikut saya kongsikan hasil ujiannya di Geekbench 6 dan 3DMark.
Prestasi lancar Xiaomi 14 ini dibantu oleh sistem operasi HyperOS yang ia lengkapi sejurus keluar kotak. Ia adalah sistem operasi yang dikatakan oleh Xiaomi lebih ‘human centric’, kerana Xiaomi menggabungkan platform telefon pintar dan juga platform IoT mereka dalam satu ekosistem. Tetapi sebenarnya, tak macam yang digembar-gemburkan, HyperOS ini terasa masih sama dengan MIUI terdahulu.
Secara jujurnya, tidak ada banyak perubahan pada antaramuka dan susun atur aplikasi. Ruang notifikasi dan control center juga lebih kurang sama tetapi dengan sedikit perubahan yang dikenakan. Malah, aplikasi bloatware juga masih ada sejurus menghidupkan telefon. Tetapi nasib baik ia tidak sebanyak seperti yang terdapat pada MIUI 14 di Redmi Note 13 Pro+ yang saya review sebelum ini, dan mujur ia boleh dipadam.
Berita baiknya, untuk telefon flagship kali ini, Xiaomi memberi jaminan kemas kini Android 4 kali dan 5 tahun kemas kini keselamatan, lebih panjang daripada flagship Xiaomi sebelum ini pada 3 tahun kemas kini. Bermakna Xiaomi 14 ini akan menyokong sehingga Android 18.
Kompak, tapi hayat bateri bagus
Oleh kerana Xiaomi 14 ini ada badan kecil, kapasiti bateri yang dilengkapkan juga sedikit kecil berbanding telefon lain. Ia ada bateri berkapasiti 4,610mAh dan walaupun dengan bateri sedikit kecil berbanding telefon lain, jangka hayat bateri pada Xiaomi 14 ini boleh bertahan agak panjang. Saya boleh menggunakannya sehingga ke akhir hari tanpa masalah, dengan berbaki lebih kurang 15% lagi dalam penggunaan biasa macam gunakan media sosial, gaming, menangkap gambar serta menggunakan navigasi.
Jika kehabisan bateri, ia juga ada ciri ‘Hibernation Mode’ bolehkan telefon menggunakan fungsi asas ketika bateri habis. Nak isi semula bateri pun tidak mengambil masa yang lama. Xiaomi 14 ini menyokong pengecasan HyperCharge 90W dan mengecas dari 0% hingga ke 95%, hanya mengambil masa 35 minit sahaja. Tetapi untuk mencapainya, mod ‘Boost charging’ perlulah dihidupkan terlebih dahulu.
Bukan setakat itu sahaja, nak cas secara wayarles pun Xiaomi 14 ini boleh dengan kelajuan 50W dan lagi menarik, pengecasan wayarles secara terbalik pun ada. Jadi anda boleh cas jam pintar, fon putik atau telefon lain pun boleh dengan letakkan peranti di belakang Xiaomi 14 ini.
Telefon kompak terbaik setakat ini?
Selepas dah gunakan Xiaomi 14 ini, sukar untuk tidak sukakan apa yang ditawar pada telefon ini. Semua perkara yang ada padanya semua terasa betul. Rekaannya nampak premium dan sedap dipegang, prestasi laju, sistem kamera Leica hebat, malah ada jangka hayat bateri bagus. Cuma, walaupun rekaan nampak premium, mungkin ada yang tidak suka dengan bonggol kameranya yang terlalu besar.
Selain itu, pengguna yang nakkan kelainan pada HyperOS juga mungkin akan kecewa dengan Xiaomi 14 kerana ia masih ada blotware dan secara keseluruhannya tiada banyak perubahan berbanding MIUI. Tapi, jika tolak dua perkara itu, Xiaomi 14 ini adalah antara telefon kompak terbaik setakat ini.
Pasaran telefon kompak tidaklah besar dan jika nak dibandingkan Xiaomi 14 dengan telefon lain, ia adalah Samsung Galaxy S24. Tapi melihat pada harga, penawaran Xiaomi 14 ini jauh lebih berbaloi kerana dilancarkan pada harga lebih rendah bermula RM3,499 untuk RAM 12GB dan storan 256GB, dan RM3,799 untuk RAM 12GB dan storan 512GB. Tapi, bukan sahaja lebih murah, Xiaomi 14 juga dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 3 lebih berkuasa, bateri lebih besar dan datang dengan RAM 12GB.
Selain Galaxy S24, iPhone 15 juga adalah pesaing rapat Xiaomi 14 disebabkan ada saiz yang kompak. Namun, walaupun iPhone 15 jauh lebih mahal pada harga bermula RM4,399, ia hanya ada storan 128GB, tak ada kamera telefoto serta pengecasan perlahan, menjadikan Xiaomi 14 pilihan jauh lebih berbaloi.
Jika anda ada bajet bawah RM4,000, pastinya anda tidak akan kecewa dengan Xiaomi 14. Anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee.