Tular di media sosial kes kehilangan duit dari akaun bank milik isteri penyanyi Zahid Baharudin atau lebih dikenali dengan panggilan Zahid AF (Akademi Fantasia). Lebih menyedihkan apabila duit yang hilang itu merupakan gaji pertama yang diperoleh isterinya dan ingin digunakan untuk membuat persiapan Hari Raya.
Menurut Zahid, isterinya, Nurul Shuhada Osman kehilangan wang sebanyak RM4,250 di dalam akaun bank yang dipautkan dengan aplikasi popular, Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet).
Kehilangan wang tersebut mula disedari pada hari Sabtu (30 Mac) selepas bangun daripada tidur. Transaksi pengeluaran wang daripada eWallet tersebut dikatakan dibuat bermula awal lewat malam Jumaat sehingga awal pagi Sabtu.
Menerusi perkongsian video di Instagram, Zahid memberitahu kejadian tersebut telah memberi kesan terhadap emosi mereka semasa kebanyakan umat Islam sedang sibuk melakukan persiapan untuk menyambut Hari Raya.
Kes masih dalam siasatan TNG Digital
Menurut pihak TNG Digital, mereka telah mengadakan pertemuan bersama Zahir dan isterinya untuk menjelaskan hasil penyiasatan berkaitan kes kehilangan wang tersebut.
Berikut adalah ringkasan penyiasatan pihak TNG Digital:
- Pemindahan ke TNG eWallet dibuat daripada akaun bank lain. Untuk pencerahan, segala pemindahan keluar dari bank memerlukan pengesahan mandatori di dalam aplikasi bank tersebut dan pengesahan hanya boleh dilakukan menggunakan peranti yang berdaftar dengan pihak bank.
- Kad debit/Akaun yang dipautkan ke TNG eWallet TIDAK mempunyai kaitan sama sekali dengan transaksi dilaporkan sebagai tidak sah/mencurigakan.
- Transaksi yang dilaporkan tidak sah/mencurigakan tersebut berlaku dalam tempoh satu setengah bulan, dimana ianya tidak konsisten dengan corak penipuan dalam talian & lebih menepati cara penggunaan normal berdasarkan trend penggunaan pengadu sebelumnya.
- Kami mempunyai bukti kukuh yang mengesahkan bahawa transaksi yang dilaporkan tidak sah/mencurigakan semuanya dilakukan melalui peranti milik pengadu sendiri beserta pengesahan transaksi yang tepat.
Pihak TNG Digital turut memaklumkan bahawa siasatan bagi kes ini akan diteruskan untuk mendapatkan penyelesaian masalah dengan adil.
Lindungi eWallet dengan WalletSafe
Mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat. Bagi pengguna TNG eWallet anda boleh melindungi duit anda dengan melanggan pelan perlindungan WalletSafe.
Melalui pelan 6-bulan yang ditaja jamin oleh AIA General Berhad ini, jika berlaku sembarangan transaksi tidak sah melalui akaun TNG eWallet, seperti dalam kes isteri Zahid, anda akan mendapat semula duit yang hilang tersebut.
Walau bagaimanapun, jumlah yang dibayar semula akan dihadkan pada RM25,000. Berikut contoh senarionya:
- Jika kehilangan RM4,200 disebabkan transaksi tidak sah melalui akaun Touch ‘n Go eWallet, Touch ‘n Go eWallet akan membayar RM4,200 di bawah Money-back Guarantee (MBG)
- Sekiranya hilang RM7,500 disebabkan transaksi tidak sah melalui akaun Touch ‘n Go eWallet anda, AIA akan membayar RM7,500
- Untuk kehilangan duit RM30,000 disebabkan oleh beberapa transaksi tidak sah melalui akaun Touch ‘n Go eWallet, AIA akan membayar anda maksimum RM25,000
Terdapat 2 pelan pilihan di bawah perlindungan WalletSafe ini, iaitu Basic RM1/bulan atau Pro RM6/bulan.
Bagi anda yang berminat untuk melanggan WalletSafe, boleh mengikuti langkah berikut:
- Buka aplikasi TNG eWallet, klik pada Goprotect
- Kik WalletSafe
- Pilih sama ada pelan Basic atau Pro
- Kemudian klik Purchase WalletSafe Basic/Pro untuk melanggan
- Anda boleh memilih untuk membolehkan ‘Auto Payment’ supaya pembaharuan polisi secara automatik atau klik Pay Now untuk pembaharuan secara manual
- Selesai, kini TNG eWallet anda dilindungi polisi WalletSafe.
Hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)
Selain membuat laporan polis atau melanggan perlindungan WalletSafe, bagi mereka yang mengalami kes sebegini perlu menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam penipuan berlaku. Dengan melaporkan penipuan kepada NSRC, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh bertindak untuk menyekat aliran wang dengan segera.
Kita kalau dah hilang duit puluhan ringgit pun akan bising, apatah lagi kalau jumlahnya sampai beribu ringgit. Kena pula duit yang hilang itu adalah gaji pertama dan dah dekat nak sambut raya pulak ni, memang akan terkesanlah pada yang mengalaminya. Harap adalah penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.
Pada pendapat anda, apa penyelesaian terbaik untuk menangani isu ini? Kongsikanlah pandangan anda di ruangan komen.
[Sumber: Zahid, Touch ‘n Go Digital, WalletSafe]