Anda ada bajet RM600 untuk sebuah telefon? Terdapat beberapa pilihan telefon menarik yang anda boleh dapat dengan bajet sebegitu di Malaysia. Selain memiliki fungsi asas, telefon-telefon harga bawah RM600 ini ada hadir dengan ciri menarik. Contohnya macam skrin FHD+, pengecasan pantas dan NFC.
Sebelum ini, kami juga ada senaraikan telefon terbaik bawah RM600 di Malaysia. Jadi, senarai ini merupakan kemas kini daripadanya. Jadi, tanpa membuang masa, di sini saya senaraikan 5 telefon terbaik bawah RM600 sekarang.
Selain bawah RM600, anda juga boleh semak senarai 5 terbaik bawah RM2,000 dan RM1,200.
1. Samsung Galaxy A05s (6GB+128GB) – RM599
Samsung Galaxy A05s ini sewaktu dilancarkan pada Oktober tahun lalu, harganya lebih daripada RM600, lebih spesifik RM799. Tapi sekarang boleh dapat jauh lagi murah, tapi jangan silap dengan model Galaxy A05 pula. Galaxy A05s ini didatangkan dengan cip Snapdragon 680 dengan RAM 6GB berserta storan 128GB.
Sistem kameranya biasa sahaja, ada kamera utama 50MP tak ada OIS, dengan kamera selfie 13MP yang diletakkan dalam takuk U di skrin. Kapasiti bateri pun tak hebat mana pada 5,000mAh dan sokong pengecasan 25W. Namun, untuk harga murah, ia ada skrin beresolusi tinggi FHD+ berukuran 6.7-inci dengan kadar penyegaran 90Hz.
Di samping itu, sokongan sistem operasi pun memadai, 2 kali kemas kini OS dan 4 tahun keselamatan.
Anda boleh dapatkan Samsung Galaxy A05s di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman Samsung Galaxy A05s.
2. Realme C53 (6GB+128GB) – RM549
Realme C53 ini bukanlah telefon baru, dilancar pada bulan Jun tahun lepas. Tapi sehingga sekarang, ia masih telefon bawah RM600 yang sangat berbaloi dan harganya juga kini lebih murah. Di sikrinnya, ia ada ciri canggih Mini Capsule, iaitu Dynamic Island versi Realme untuk paparkan notifikasi terus pada takuk U di skrin.
Untuk skirn, ianya berukuran 6.74-inci dengan kadar penyegaran 90Hz, tapi hanya HD. Speakernya juga hanya mono, tapi Realme kata ia ada kelantangan kuat pada 150%. Sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 33W turut ada, dengan bateri 5,000mAh yang menerimanya. Berbanding Realme UI biasa, ia juga akan jalankan Realme UI T Edition yang lebih ringan.
Anda boleh dapatkan Realme C53 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman Realme C53.
3. ZTE Blade V50 Design (8GB+256GB) – RM599
ZTE Blade V50 Design ini dilancarkan pada November 2023. Kelebihannya ia ada skrin resolusi tinggi FHD+ yang menggunakan panel LCD berukuran 6.6-inci. Pengimbas cap jari juga terdapat di butang kuasa di sisi. SoC yang digunakan taklah berkuasa sangat, Unisoc T606, tapi storannya besar 256GB dengan RAM 8GB.
Selain itu, ia turut dilengkapkan dengan fungsi NFC. Jadi, anda boleh gunanya untuk tambah nilai kad Touch n’Go, atau buat pembayaran melalui Google Pay. Untuk pengimejan, terdapat kamera utama 50MP di belakang dan kamera selfie 8MP di hadapan. Bateri pula berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan biasa sahaja pada 22.5W.
Anda boleh dapatkan ZTE Blade V50 Design di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman ZTE Blade V50 Design.
4. Poco C65 (8GB+256GB) – RM549
Poco C65 paling menarik untuk harga dan spesifikasi yang ditawarkan. Cip agak berkuasa MediaTek Helio G85 menjadi tunjang utama telefon ini, dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan besar eMMC 5.1 256GB. Kelebihannya lagi, ia ada fungsi NFC serta mempunyai pengimbas cap jari di butang kuasa.
Skrinnya jenis LCD berukuran 6.74-inci HD 720p dengan kadar penyegaran 90Hz. Tapi, kekurangannya, ia ada speaker mono dan pengecasan 18W. Bateri pula kapasiti biasa 5,000mAh.
Anda boleh dapatkan Poco C65 di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Poco 65.
5. Infinix Hot 40i (8GB+2565GB) – RM519
Untuk peminat Infinix, telefon Infinix Hot 40i ini memang pilihan menarik tanpa jejaskan poket anda. Macam Realme C53, lubang kamera depannya juga ada ciri serupa yang dipanggil Magic Ring. Panel paparan yang digunakan 6.56-inci jenis LCD 90Hz, tapi resolusi hanya HD 720p.
Kelebihannya, ia gunakan rekaan lubang tempatkan kamera depan, dan ada sensor besar 32MP. Sementara itu, kamera belakang pula menggunakan sensor 50MP. Cip yang digunakan tidaklah berkuasa sangat, Unisoc T616, tapi ia ada RAM besar 8GB dan storan 256GB. Seperti telefon lain dalam senarai, ia juga ada bateri 5,000mAh. Tapi pengecasan hanya 18W dan ia menjalankan XOS 13 berasakan Android 13.
Anda boleh dapatkan Infinix Hot 40i di Lazada dan Shopee. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman Infinix Hot 40i.