Acara Unpacked 2024 hari ini telah menyaksikan pelancaran barisan fon putik terbaharu daripada Samsung, iaitu Galaxy Buds 3 dan Buds 3 Pro. Generasi ketiga Galaxy Buds kini menerima pembaharuan besar bukan sahaja pada segi rekaan fon putik, tetapi juga pada bekas pengecasnya, selain menerima naik taraf dalam beberapa aspek perkakasan lain dan ditambah ciri AI baharu.
Kedua-dua Buds 3 dan Buds 3 Pro kini didatangkan dengan rekaan stem pada badan pemacu audio dan tidak lagi bulat dengan rekaan tanpa stem seperti siri Buds 2 sebelumnya. Ini menjadikannya sangat mirip dengan fon putik Apple AirPods, malah Samsung juga menggunakan strategi sama untuk khususkan penggunaan tip silikon hanya untuk model Pro sahaja.
Fizikaliti bekas pengecasnya juga kini tidak lagi berbentuk empat segi yang boleh dibaring rata, tetapi ada bentuk seakan bekas AirPods dengan bahagian penutupnya gunakan kemasan lut sinar. Sementara bekas pengecas Buds 3 dan Buds 3 Pro kelihatan serupa, ia tidak boleh ditukar antara satu sama lain.
Kini dikuasakan Galaxy AI
Selain rupa baharu, siri Galaxy Buds 3 juga kini diperkasa dengan Galaxy AI, ciri yang diperkenal pada siri Galaxy S24 sebelum ini. Oleh itu, siri Galaxy Buds 3 juga akan didatangi fungsi Interpreter baharu, membenarkan anda mendengar terjemahan terus dari fon putik, sekiranya fon putik digunakan bersama Galaxy Z Fold 6 dan Flip 6.
Di samping itu, siri Galaxy Buds 3 terbaru ini turut memiliki fungsi Voice Command. Ciri ini membolehkan pengguna menggunakan dua perkataan untuk menghenti atau memainkan lagu tanpa perlu menyentuh fon putik. Hanya menggunakan suara sahaja.
Galaxy Buds 3 Pro
Bermula dengan Buds 3 Pro, seperti yang dinyatakan, ia menggunakan rekaan stem pada badan fon putik. Namun, berbeza dengan Buds 3, model Pro ini memiliki lampu ‘Blade Lights’ pada stemnya yang juga berfungsi sebagai kawalan sentuhan fon putik. Ia juga masih mengekalkan putik silikon yang boleh ditukar ganti untuk kedapan lebih baik dan bunyi yang lebih imersif. Berat fon putik adalah pada 5.4 gram.
Daripada segi audio, bunyi Buds 3 Pro dikeluarkan oleh speaker dua hala yang dipertingkatkan, menampilkan gabungan pemandu dinamik 10.5mm dan pemandu planar 6.1mm. Ia juga menyokong penstriman audio HiFi pada 24-bit menerusi codec SSC, serta hadir dengan ciri panggilan baharu Super-Wideband untuk meningkatkan lagi kualiti suara pemanggil dalam persekitaran bising menggunakan pembelajaran mesin.
Sebanyak tiga mikrofon dimuatkan pada setiap fon putik dan dengannya, Buds 3 Pro ini dilengkapkan dengan fungsi penyaring hingar aktif (ANC) yang telah ditambah baik dengan AI. Ia boleh melaras bunyi hingar pada tahap optimum secara automatik menerusi ciri Adaptive Noise Control, Siren Detect, and Voice Detect.
Misalnya, pada Voice Detect, apabila anda sedang berbual dengan seseorang, fon putik dapat mengenal pasti suara manusia dan mengubah ke mod Ambient serta mengurangkan kelantangan media.
Berkenaan tenaga, Buds 3 Pro boleh berikan masa main sehingga 6 jam dengan ANC dihidupkan atau 7 jam tanpa ANC, manakala lebih panjang bersama bekas pengecas iaitu sehingga 26 jam dengan ANC dan 30 jam tanpa ANC. Untuk mengecas, ia boleh dicas secara berwayar melalui USB-C. Meskipun tidak dinyatakan, bekas pengecasnya juga sepatutnya menyokong pengecasan wayarles Qi jika melihat pada generasi sebelumnya
Tahap kalis percikan air dan debu juga telah ditambah baik pada IP57 berbanding IPX7 dan ia menggunakan sambungan Bluetooth 5.4.
Galaxy Buds 3
Buds 3 pula adalah varian yang lebih rendah. Ia masih ada rekaan hampir sama seakan model Buds 3 Pro, tetapi tanpa lampu pada stemnya dan tip silikon. Berbanding pemandu dua hala, audio Buds 3 dipacu oleh pemandu satu hala, iaitu pemandu Dinamik 11mm. Fon putiknya memiliki berat hanya 4.7 gram.
Bagaimanapun, ia masih ada sokongan penstriman audio HiFi menggunakan codec SSC serta ada ciri panggilan Super-Wideband untuk kualiti panggilan yang lebih baik. Terdapat juga fungsi ANC tetapi dengan ketiadaan mod Ambient dan fungsi Adaptive Noise Control. Ciri ANC ini dimungkinkan dengan tiga mikrofon yang terdapat pada setiap fon putik.
Hayat bateri fon putik pula boleh mencapai 5 jam dengan ANC dan 6 jam tanpa ANC. Bersama bekas pengecas, ia mampu beri masa penggunaan sehingga 24 jam dengan ANC dan 30 jam tanpa ANC. Untuk mengecas, selain melalui USB-C, bekas pengecasnya juga sepatutnya menyokong pengecasan wayarles Qi.
Seperti model Pro, Buds 3 juga diiktiraf kalis percikan air IP57 untuk unit fon putik dan menggunakan sambungan Bluetooth 5.4.
Kedua-dua Buds 3 dan Buds 3 Pro tersedia dalam dua pilihan warna yang sama, iaitu putih dan kelabu. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web Samsung.