Jika anda pemilik telefon Nothing Phone (2a), anda tidak perlu risau dengan pengumuman terbaru Nothing. Ini kerana Nothing Phone (2a) Plus yang dilancar hari ini, hanya membawa 5 perkara baru berbanding Phone (2a) yang dilancar bulan Mac lepas.
Dari segi fizikal, tidak ada perubahan ketara diperkenal pada Phone (2a) Plus. Lampu LED Glyph juga masih kekal dan tidak dinaik taraf. Menurut Nothing, mereka memfokuskan kepada 3 perkara iaitu prestasi, kamera dan rekaan.
1. Mediatek Dimensity 7350 Pro
Perkara pertama yang didedahkan Nothing beberapa hari sebelum Phone (2a) Plus dilancar adalah cip baru dan eksklusif, Mediatek Dimensity 7350 Pro. Ia direka khas untuk Nothing, dengan prestasi CPU 10% lebih baik dan prestasi GPU 30% lebih baik.
Cip ini dihasilkan oleh TSMC menerusi proses 4nm Gen 2, memiliki 8-teras iaitu 2-teras Cortex-A715 3.0GHz dan 6-teras Cortex-A510 2.0Ghz. GPU yang digunakan adalah ARM Mali-G610 MC4 dengan kelajuan sehingga 1.3GHz.
2. Tiga kamera 50MP
Sebelum ini, Phone (2a) hanya dilengkapi dua kamera 50MP di belakang dan kamera 32MP di hadapan. Ia kini diubah kepada kamera 50MP di hadapan, menjadikannya gandingan tiga kamera 50MP pada Phone (2a) Plus.
Kamera hadapan 50MP ini memiliki apertur F1.88, dengan sudut pandang seluas 81.2º dan menyokong tangkapan gambar HDR serta rakaman video 4K30.
3. Pengecasan pantas 50W
Nothing mengekalkan konsep tiada kepala pengecas diberi di dalam kotak, hanya kabel USB-C ke USB-C sepanjang 100cm disediakan. Bagi Phone (2a) Plus kali ini, sokongan pengecasnya dipertingkat kepada 50W berbanding hanya 45W di Phone (2a).
Dengan sokongan pengecas lebih berkuasa, Phone (2a) Plus boleh mengecas dari 0 ke 50% dalam masa 21 minit dan mencapai 100% dalam masa 56 minit sahaja. Kapasiti bateri masih kekal dengan 5,000mAh dan Nothing menyatakan, tahap kesihatan bateri boleh kekal melebihi 90% walau selepas 1,000 kitaran mengecas.
4. Warna kelabu metalik
Dari segi rupa, perkara yang boleh membezakan Phone (2a) dan Phone (2a) Plus dalam sekilas pandang adalah warna baru, kelabu metalik. Ini memberikan rupa lebih premium kepada Phone (2a) Plus. Di samping itu, model ini juga diberi sentuhan warna hitam yang berbeza dari sebelumnya.
5. Harga lebih mahal
Seperti kata pakcik Spiderman, dengan lebih kuasa maka datang lebih harga. Nothing hanya mengeluarkan satu varian untuk Phone (2a) Plus dengan kapasiti tertinggi, RAM 12GB dan Storan 256GB. Buat masa ini, harga rasminya diumumkan dalam Dolar US iaitu USD399. Untuk perbandingan, Nothing Phone (2a) dengan konfigurasi serupa berharga USD349 sahaja.
- Nothing Phone (2a) Plus [RAM 12GB + Storan 256GB] – USD399 (~RM1,833)
- Nothing Phone (2a) [RAM 12GB + Storan 256GB] – USD349 (~RM1,603)
Memandangkan harga rasmi Nothing Phone (2a) di Malaysia ialah RM1,699, kami menjangkakan harga rasmi Nothing Phone (2a) Plus nanti sekitar RM1,899.
Buat masa ini, Nothing Phone (2a) Plus diumumkan akan dijual di London mulai 3 Ogos 2024, dan di Amerika Syarikat mulai 7 Ogos 2024. Pasaran lain akan diumumkan pada bulan September 2024. Bermakna, Malaysia perlu menunggu seawal September jika ada yang mahu memiliki Phone (2a) Plus.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Nothing Phone (2a) Plus.
Adakah Phone (2a) Plus lebih berbaloi?
Secara ringkas, Phone (2a) Plus tampil dengan warna baru metalik, prestasi CPU 10% lebih tinggi, pengecas 10% lebih berkuasa, serta kamera hadapan hampir 40% lebih piksel. Harga di Malaysia dijangka naik lebih 10%.
Untuk peningkatan hanya 10% dengan harga tambahan ~RM200, Phone (2a) Plus tidak kelihatan sebagai sesuatu yang perlu diambil berat. Jika berminat dengan kepantasan Nothing OS 2.6, dengan Phone (2a) pun sudah sangat pantas mengatasi iOS.
Kalau anda berminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang Nothing Phone (2a), boleh menonton ulasan kami dalam video ini.
[Sumber: Nothing]