Oppo baru sahaja memperkenalkan tablet flagship terbaru mereka, Oppo Pad 3 Pro, dengan pelancarannya berlangsung di peringkat antarabangsa. Pun begitu, sejurus pengumuman antarabangsanya dibuat, ia juga telah memasuki pasaran tempatan dan boleh mula dipratempah rakyat Malaysia sekarang.
Ketibaannya ke pasaran lebih meluas adalah selepas hampir dua bulan, kerana Pad 3 Pro dilancarkan di China pada hujung Oktober lepas. Ia berkongsi rupa paras yang sama seperti Oppo Pad 2 terdahulu, tetapi didatangkan dengan skrin lebih besar, cip lebih berkuasa serta dimuatkan speaker dua kali ganda lebih banyak.
Harga dan ketersediaan Oppo Pad 3 Pro di Malaysia
Di Malaysia, Oppo Pad 3 Pro ditawarkan dalam satu varian dengan RAM 12GB dan storan 256GB pada harga RM3,299. Tempahan awalnya sudah dibuka bermula hari ini, 21 November sehingga 29 November 2024, dengan Oppo menyertakan hadiah bernilai RM1,198 seperti sarung papan kekunci dan pen stailus Pencil 2 Pro kepada pembeli.
Kalau berminat, anda boleh dapatkan Oppo Pad 3 Pro di Lazada dan Shopee.
Untuk perbandingan, tablet flagship Oppo Pad 2 sebelum ini dilancarkan pada harga RM2,599 untuk konfigurasi RAM 8GB dan storan sama 256GB. Tetapi kini, Oppo telah menyelaraskan harganya untuk lebih murah, boleh didapati pada RM1,999.
Spesifikasi Oppo Pad 3 Pro
Oppo Pad 3 Pro merupakan tablet paling berkuasa Oppo setakat ini. Ini kerana, ia diperkasa cip Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version 4nm yang mempunyai kelajuan clockspeed mencecah 3.4GHz. Cip itu dipadankan dengan RAM LPDDR 5X 12GB dan storan UFS 4.0 seluas 256GB. Tiada slot mikroSD disediakan.
Di hadapan tablet, ia menampilkan paparan LCD berukuran 12.1-inci dengan resolusi 3K, sokong kadar penyegaran 144Hz dan kecerahan puncak 900 nits. Panel paparannya turut menyokong Dolby Vision serta memenuhi piawaian TUV Rheinland dalam penghasilan tahap cahaya biru rendah.
Sistem bunyi Oppo Pad 3 Pro agak mengagumkan, kerana ia didatangkan dengan lapan unit speaker stereo dengan sokongan audio HiRes. Sebagai perbandingan, Oppo Pad 2 terdahulu menggunakan sistem empat speaker.
Untuk pengimejan pula, kamera yang digunakan pada tablet ini tidak berubah daripada Oppo Pad 2. Ia adalah kamera belakang 13MP dan satu lagi kamera depan 8MP. Menghidupkan segala komponen tablet adalah bateri berkapasiti 9,510mAh dan Oppo dakwa ia mampu berikan masa main video sehingga 12 jam. Untuk mengecas, ia menyokong pengecasan SuperVOOC 67W.
Tahap produktiviti tablet juga boleh ditambah baik dengan adanya sokongan pen stailus Pencil 2 Pro. Menurut Oppo, ia boleh mengesan sebanyak 16,000 tahap tekanan berikan maklum balas realistik dan pengalaman seakan menulis menggunakan pen di atas kertas. Tambah baik, sarung papan kekuncinya juga memiliki trackpad dan sokongan NFC untuk kemudahan penghantaran fail daripada telefon pintar Oppo.
Sejurus keluar kotak, tablet ini menjalankan ColorOS 15 berasaskan Android 15, yang turut didatangkan dengan pelbagai ciri AI. Contohnya AI Eraser, AI Summary, AI Writer dan AI Speak. Ciri ketersambungan yang ada pada tablet termasuk Bluetooth 5.4, WiFi 5 dan juga 5G. Pad 3 Pro ditawarkan dalam satu warna sahaja iaitu biru.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Oppo Pad 3 Pro.