Selamat datang ke SoyaCincau Award 2024. Kategori yang akan dipersembahkan dalam artikel ini adalah terbaik dan terburuk dalam dunia tech sepanjang tahun. Sebanyak 3 subkategori telah kami siapkan iaitu:
- Jenama terbaik 2024
- Kekecewaan 2024
- Kejutan 2024
Dalam kategori ini, kami bincangkan jenama tech manakah yang banyak menyumbang kepada kemajuan dalam tahun 2024 sama ada pada segi pelancaran produk menarik ataupun inovasi baru yang mereka ingin bawakan. Ada juga subkategori yang menceritakan perkara hampa yang berlaku dalam tahun ini disamping kejutan daripada berita-berita tech sepanjang tahun.
Senarai kategori SoyaCincau Award 2024
- Telco terbaik 2024
- EV terbaik 2024
- Telefon Pintar Terbaik 2024
- Tablet terbaik 2024
- Gajet terbaik 2024
Jenama Terbaik 2024
Gangsa: BYD
Jenama BYD terus mekar dalam pasaran Malaysia sebagai jenama yang menawarkan EV pada harga mampu milik dalam pelbagai saiz daripada sedan, SUV, hatchback, hinggalah ke MPV. Pendek kata, tak kira siapa anda, ada satu BYD yang seusai untuk anda.
Kekuatan sebenar BYD adalah mereka mampu tawarkan EV pada harga RM100,000 melalui BYD Dolphin. Walaupun pada harga sebegitu, kualiti produk yang mereka bawa boleh dikatakan melebihi opsyen RM100,000 yang ditemui di kenderaan petrol.
Walau bagaimanapun, di bahagian aesthetic, BYD masih perlukan penambahbaikkan. Cuba anda tengok bahagian dalam BYD Atto 3. Lihat pada papan pemuka dengan rekaan seperti otot. Lihat pada pemegang botol di bahagian pintu.
Perak: Samsung
Samsung pada segi pelancaran produk mungkin agak boring. Rekaan yang sama saja mereka bawa untuk siri Galaxy S24 dan Galaxy Z.
Namun, kami masih nampak usaha Samsung pada sudut yang lain. Mereka kini tawarkan sokongan perisian sehingga 7 tahun lamanya iaitu terpanjang dalam industri setakat ini, sama macam yang ditawarkan Google Pixel. Ia lebih baik daripada Apple yang biasanya berikan sokongan sehingga 5 tahun sahaja.
Selain itu, mereka turut cemerlang mengintegrasikan Galaxy AI dalam produk-produk mereka. Sebagai contohnya, Galaxy AI pada papan kekunci OneUI menyebabkan pengguna peranti Galaxy nikmati AI secara universal di hampir semua bahagian peranti. Walaupun di aplikasi pihak ketiga!
Tak seperti di Google Pixel yang hanya terhad pada aplikasi seperti Google Photo dan Messages.
Inisiatif ini melayakkan Samsung untuk terima lencana perak daripada kami.
Emas: Xiaomi
Xiaomi memang jenama tak asing dalam penawaran produk value-for-money. 2024 pun tidak terkecuali Xiaomi menempa nama. Kita ada siri Xiaomi 14T dan 13T yang tawarkan prestasi dalam pakej harga mampu milik.
TV Xiaomi juga tahun ini ada yang masuki Malaysia dengan teknologi QLED pada harga lebih rendah berbanding Samsung. Contohnya, Xiaomi TV Q1 ditawarkan pada harga RM4,599 untuk saiz 75” sedangkan harga promo Samsung QLED QE1D saiz yang sama adalah RM5,299.
Tahun ini juga Xiaomi telah menerokai industri baharu. Mereka lancarkan sebuah kenderaan elektrik, SU7. Walaupun setakat ini tak dijual di luar China, melihat pada bilangan tempahan yang cecah ratusan ribu menyebabkan Xiaomi tewaskan industri automotif Malaysia yang berusia setengah abad.
Kerana Xiaomi jugalah pengguna boleh menikmati teknologi canggih pada harga mampu milik dan sebab itulah ia layak teirma lencana emas.
Kekecewaan tahun 2024
Gangsa: Galaxy Watch Ultra
Kami sedikit kecewa dengan siri Galaxy Watch 7 terutamanya model Ultra. Dulu, Galaxy Watch ada keunikan, seperti bezel boleh berputar. Tapi sekarang, mereka macam ambil jalan mudah dengan meniru Apple sahaja.
Badan bekotak dengan muka jam bulat? Bukan itu sahaja. Warna oren pun inspirasi daripada Watch Ultra! Buat Samsung, sila kembalikan rekaan ikonik Galaxy Watch 4 Classic dan Watch 6 Classic.
Perak: Pangkalan Data Utama (PADU)
Pengkalan Data Utama (PADU) kononnya dilancarkan untuk jadi rujukan kerajaan dalam menyebarluaskan bantuan. Kononnya, subsidi bersasar akan menggunakan data ini dan minta rakyat jangat marah kalau tak dapat bantuan. Sehingga sekarang, aplikasi PADU masih tak kelihatan.
Saluran media sosial PADU juga tak aktif menyebarkan berita. Utusan terakhir di X adalah pada 2 Ogos 2024. Dalam Fasa 1 pendaftaran PADU, dilaporkan purata sebanyak 55.4% penduduk Malaysia telah mendaftar dalam PADU di 16 kawasan iaitu 14 negeri dan 2 wilayah persekutuan.
Rakyat skeptikal dengan PADU kerana sebahagian data yang perlu diberikan sudahpun dipegang agensi kerajaan lain. Kenapa seakan tiada perkongsian data antara agensi kerajaan?
Emas: Penalaan DNS oleh SKMM
Tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ini dah cetuskan kontroversi. Ia adalah penalaan DNS di tahap ISP yang secara langsung memberi kesan kepada akses Internet pengguna di Malaysia. Laman web yang tidak bersalah secara tiba-tiba tidak boleh diakses. Ia sebabkan rakyat Malaysia jadi marah.
Mungkin kerana tiada asas yang kukuh selepas “kantoi”, Menteri Komunikasi membatalkan arahan ini. Walau bagaimanapun, insiden ini sepatutnya membuka mata kepada kerajan supaya jadi lebih telus dalam penguatkuasaan polisi.
Kejutan tahun 2024
Gangsa: Google Pixel di Malaysia
Setelah 7 tahun, akhirnya Google Pixel masuki Malaysia. Walaupun tak semuanya masuk, tapi pengguna masih ada pilihan seperti Pixel 9, 9 Pro, dan 9 Pro XL. Walau bagaimanapun, perkara yang tak best adalah harganya yang agak keras menyebabkan pengguna teragak-agak untuk dapatkan telefon Google ini ataupun siri Galaxy S, iPhone, dan segalam macam flagship lain di Malaysia ini.
Perak: Pelancaran pantas Xiaomi SU7
Khabar angin Xiaomi ingin hasilkan EV bermula dalam tahun 2021 lagi. Namun, tiada siapa sangka produk pertama mereka sedia tembusi pasaran dalam bulan Mac 2024. Lebih menarik, ia bukanlah EV biasa-biasa tapi EV prestasi tinggi.
Pecutan abad SU7 ambil masa 2.78 saat sahaja dan produk EV sulung Xiaomi ini bersaing dengan Porsche Taycan. Prestasi sama dengan Porcshe tapi harga tak sama sebab mereka ambil pendekatan yang sama seperti yang mereka guna sewaktu hasilkan telefon. Jadilah SU7 sebagai EV value-for-money.
Emas: U Mobile bangunkan rangkaian 5G kedua
Penganugerahan tanggungjawab untuk bangunkan rangkaian 5G kedua Malaysia kepada U Mobile agak mengejutkan. Hal ini kerana, ia adalah sebuah telco kerdil yang duduk dibelakang dua lagi telco gergasi lain.
Penganalisis pasaran melihat yang telco jingga ini perlukan rakan niaga yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bangunkan rangkaian baharu ini.
Kesimpulan
Untuk 2024, ada tiga sektor yang dilihat meriah iaitu 5G, AI, dan EV. Pemain-pemain industri dilhat berebut-rebut untuk dapatkan sebahagian daripada pegangan pasaran. U Mobile berjaya dapatkan mandat untuk bangunkan rangkaian 5G kedua, BYD megah menjual EV terbanyak di Malaysia, Samsung dan Xiaomi masing-masing sumbat AI dalam produk mereka.
Tahun 2025 tentunya menarik apabila inisiatif-inisiatif ini masuki fasa matang. Siapa yang akan pateri kedudukan mereka? Mari tunggu dan lihat.