Flagship terbaru Honor, iaitu Magic 7 Pro telah dijadualkan akan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Pelancarannya akan berlangsung pada 9 Januari, selepas hampir dua bulan ia dilancarkan Di China. Menjelang pelancarannya di Malaysia, kami menerima seunit Magic 7 Pro dan berpeluang untuk mencubanya. Disebabkan telefon ini masih belum rasmi dilancarkan di Malaysia, maklumat spesifikasinya masih lagi belum boleh didedahkan buat masa ini.
Jadi, dalam artikel ini saya nak kongsikan pendapat saya mengenai rekaan dan beberapa ciri baharu yang dibawakan pada Magic 7 Pro setelah menggunakannya buat beberapa ketika.
Rekaan “Lunar Shadow Grey” nampak premium
Bermula dengan rekaan, Magic 7 Pro menerima pembaharuan besar pada estetik luarannya. Meskipun masih menggunakan pepulau kamera berbentuk bulat, Magic 7 Pro kini memiliki empat modul kamera berbanding tiga. Pepulau kameranya juga dah diwarna hitam sepenuhnya, tawarkan rupa yang lebih kemas.
Untuk kemasan panel belakang, Magic 7 Pro ini didatangkan dengan kemasan baharu yang nampak seakan marmar dalam warna kelabu, yang Honor gelarkan sebagai “Lunar Shadow Grey”. Ia katanya diinspirasi daripada bayangan cahaya bulan. Di China, ia tersedia dalam empat lagi warna lain iaitu emas, biru, hitam dan putih. Tidaklah pasti warna apa yang akan dilancarkan ke pasaran antarabangsa dan juga Malaysia nanti.
Secara jujurnya, saya agak suka dengan kemasan panel belakangnya. Kerana ia bukan sahaja nampak cantik dan terasa premium, tetapi juga mengguna pakai kemasan jenis matte yang tak mengutip sebarang kesan cap jari. Selain itu, sisi Magic 7 Pro juga kini lebih rata berbanding generasi terdahulu membuatkan telefon ini ada lebih banyak ruang untuk digenggam dan lebih sedap dipegang.
Kedudukan butang kuasa dan kelantangan masih kekal di bahagian kanan telefon, tetapi butangnya kini lebih lebar dan diposisikan sedikit lebih tinggi berbanding Magic 6 Pro. Daripada segi ketahanan pula, Honor telah menambah baik Magic 7 Pro untuk ada tahap kekalisan air dan debu IP69.
Saiz skrin masih sama, tapi lebih rata
Di hadapan, saiz skrinnya kelihatan masih sama seperti generasi terdahulu. Namun, disebabkan ia gunakan sisi lebih rata, Magic 7 Pro kini tak lagi memiliki lengkungan yang ketara di sisi kiri dan kanan skrin, sebaliknya ada sedikit lengkungan yang sekata pada semua sudut skrin. Terdapat juga kamera hadapan berbentuk pil di dahi skrin sama seperti generasi sebelumnya.
Secara keseluruhan, saya boleh katakan yang kualiti paparan Magic 7 Pro sangat baik. Skrinnya terasa lancar serta boleh pergi agak cerah juga untuk penggunaan di bawah cahaya matahari. Selain itu, saya juga dapati yang pengimbas cap jari pada Magic 7 Pro ini juga dapat mengecam jari sangat pantas, tak sampai satu saat untuk unlock telefon.
Boleh dilihat terdapat juga grill speaker pada bingkai atas telefon telefon Magic 7 Pro ini. Ini bermakna, ia masih menggunakan speaker stereo yang menembak ke bawah dan ke atas telefon, sama seperti generasi sebelumnya. Pada ujian saya, kualiti bunyi yang dihasilkan Magic 7 Pro memang cukup sedap dengan ada kelantangan kuat.
Sepanjang saya gunakan telefon, telefon terasa lancar dan responsif tanpa sebarang lag. Ini bukanlah perkara yang mengejutkan bagi sebuah peranti flagship. Disebabkan ini hanyalah pandangan awal, saya akan mengulas lebih lanjut tentang prestasinya untuk reviu penuh nanti, selain juga akan menyentuh beberapa aspek lain termasuk bateri dan kamera.
Untuk memberi perspektif pada anda tentang prestasi kameranya pula, saya boleh kongsikan ia antara kamera telefon pintar terbaik pada masa kini. Gambar yang dihasilkan nampak cantik tidak kira siang atau malam, serta tangkapan Portrait cukup memuaskan dan prestasi zum pun agak baik.
Dilengkapi pelbagai fungsi AI, termasuk teknologi AI Deepfake Detection
Macam biasa, ada banyak juga fungsi AI baharu yang Honor dah tambah pada Magic Pro 7. Antaranya adalah, ia kini dilengkapi dengan teknologi AI Deepfake Detection yang boleh mengesan sekiranya muka di dalam skrin diubah dengan AI semasa dalam panggilan video. Dikatakan Magic 7 Pro adalah telefon pintar pertama yang dilengkapi teknologi tersebut.
Tambahan pula, Magic 7 Pro turut menampilkan Magic Portal 2.0 terbaharu membolehkan anda untuk membuat carian, navigasi, membeli dan banyak lagi dengan hanya membulatkan kandungan di skrin.
Bukan itu sahaja, Magic 7 Pro juga didatangkan dengan pelbagai fungsi AI Notes seperti yang ada di Magic V3. Ini termasuk AI Summary yang boleh bantu pengguna merumuskan teks, AI Minutes untuk tukarkan rakaman suara mesyuarat kepada teks yang lebih ringkas dan juga AI Format untuk mengubah ringkasan teks kepada format berbeza. Terdapat juga fungsi AI translate untuk terjemahan secara bersemuka dan anda boleh hasilkan karakter maya tersendiri dengan Magic Avatar.
Magic 7 Pro akan dilancar pada 9 Januari 2025
Setakat itu sahaja yang saya boleh kongsikan mengenai Magic 7 Pro pada ketika ini. Maklumat spesifikasinya akan didedahkan apabila ia dilancarkan di Malaysia pada 9 Januari 2025 nanti. Ia akan berlangsung pada jam 2 petang Jadi, nantikan pelancarannya yang akan diadakan tidak lama lagi di mana kita dapat mengetahui maklumat harga serta varian yang ditawarkan.
Sebagai perbandingan, Honor Magic 6 Pro terdahulu dijual pada harga RM4,499 untuk RAM 12GB dan storan 512GB.