Kes scam yang berlaku sering kali melibatkan perbankan dalam talian, dan ia merupakan isu yang membimbangkan. Untuk bantu menangani dan mengurangkan scam melibatkan perbankan dalam talian, Maybank telah memperkenalkan ciri baharu di aplikasi MAE yang dipanggil sebagai Money Lock.
Dikatakan sebagai ciri keselamatan anti-penipuan pertama di Malaysia, ia bertindak sebagai lapisan keselamatan tambahan untuk memberikan ketenangan kepada pengguna Maybank mengenai keselamatan kewangan mereka.
Sebelum Money Lock dilancarkan di Malaysia, ia telah pun diperkenal oleh Maybank di Singapura pada pertengahan tahun 2024.
Bagaimana Money Lock berfungsi?
Dengan Money Lock, ia membolehkan pengguna untuk mengunci dana di dalam pilihan akaun simpanan atau semasa Maybank mereka, sekali gus mengelakkan dana daripada diakses secara dalam talian dan melindungi pengguna daripada scam. Anda boleh pilih jumlah yang ingin dikunci bermula dari serendah RM10 sehingga baki penuh di dalam akaun.
Anda juga boleh menambah jumlah yang ingin dikunci terus dari aplikasi MAE, tanpa dikenakan yuran dan tiada had pada bilangan kali Money Lock boleh diaktifkan. Anda juga akan terus menerima kadar faedah atau keuntungan yang sama bagi dana yang dikunci, sebagai bahagian daripada baki akaun anda.
Tetapi, jika anda mahu membuka dana atau mengurangkan dana yang telah dikunci di Money Lock, anda perlu melakukan proses pengesahan yang ringkas di mana-mana ATM atau cawangan Maybank seluruh negara. Langkah ini diambil untuk memastikan dana yang dikunci kekal selamat daripada akses tanpa kebenaran.
Selepas pengesahan berjaya, dana akan dilepaskan atau dikurangkan dengan segera, bergantung pada permintaan anda.
Bagaimana Money Lock lindungi dana yang dikunci?
Dana yang dikunci akan dilindungi daripada sebarang aktiviti perbankan dalam talian dan ATM. Ia tidak boleh digunakan untuk transaksi seperti pemindahan dalam talian, pengeluaran ATM, penggunaan kad debit, pembayaran bil/kad kredit/pinjaman, penempatan deposit tetap, arahan tetap dan lain-lain.
Maybank juga telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memerangi scam dan ini termasuk:
- Menggantikan SMS OTP dengan Secure2u, yang secara efektif menghalang penipuan SMS TAC
- Membatasi akses perbankan dalam talian kepada satu peranti bagi setiap pelanggan, yang menghalang penipu daripada mengakses akaun pelanggan pada peranti yang tidak dibenarkan
- Menguatkuasakan tempoh bertenang untuk peningkatan had pemindahan dan pembayaran, serta pengaktifan Secure2u buat kali pertama atau pada peranti baru
- Membenarkan pengaktifan Secure2u hanya melalui ATM Maybank, membolehkan pelanggan meningkatkan pengawasan ke atas akaun perbankan mereka sendiri
- Memperkenalkan Malware Shielding, satu langkah keselamatan pencegahan pada Aplikasi MAE dengan keupayaan untuk mengesan perisian berbahaya pada peranti pelanggan
- Menyediakan talian khidmat pelanggan dan penipuan 24/7 untuk membantu pelanggan yang mengesyaki diri mereka telah ditipu
Dalam masa sama, sebelum mengaktifkan Money Lock, Maybank juga menggalakkan pengguna untuk merancang kewangan dengan teliti untuk pengalaman perbankan yang tidak terganggu. Ini termasuk mempertimbangkan komitmen kewangan akan datang dan memastikan dana yang mencukupi untuk transaksi penting.
Cara aktifkan Money Lock
Untuk mengaktifkan Money Lock, ia hanya memerlukan tiga langkah mudah dan berikut adalah langkahnya:
- Buka Aplikasi MAE, tekan tab ‘Accounts’ dan pilih akaun simpanan atau semasa untuk menggunakan Money Lock.
- Tekan pada ikon ‘Money Lock’ dan pilih jumlah yang ingin dikunci. Halaman ringkasan akan dipaparkan.
- Sahkan melalui Secure2u untuk mengaktifkan Money Lock.
Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai Money Lock melalui laman web Maybank.