Bayangkan anda sedang memandu santai dengan keluarga di lorong paling kanan — tiba-tiba, kereta yang anda pandu membrek secara mengejut dengan sendiri tanpa sebarang amaran dan skrin memaparkan “Power System Failure”, kereta langsung tak boleh digerakan atau ditolak dan nyaris-nyaris dilangar kenderaan lain.
Itulah yang berlaku kepada seorang pemilik BYD Atto 3 Malaysia ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang bersempena dengan cuti panjang pada 1 Mei. Dalam perkongsiannya di Facebook, beliau menyifatkan detik itu sebagai “pengalaman paling mengerikan” buat beliau sekeluarga.
BYD Atto 3 tiba-tiba berhenti, sistem gagal berfungsi
Insiden berlaku di lebuhraya Cheras–Kajang, di mana Atto 3 tersebut berhenti mengejut tanpa sebab atau amaran. “Keempat-empat tayar terkunci,” katanya. Kereta tidak boleh ditolak walaupun gear sudah di masukkan ke ‘Neutral’. Memandangkan ada banyak kenderaan pada masa itu, mujur tidak ada kejadian yang lebih teruk berlaku dan bantuan dari peronda lebuhraya tiba dalam masa 10 minit.
Kerosakan bateri 12V punca sistem gagal?

Pada hari yang sama, kenderaan BYD Atto 3 tersebut telah ditunda ke pusat servis BYD di Glenmarie untuk pemeriksaan lanjut. Pemeriksaan awal mendapati bateri 12V mengalami ‘low voltage’, walaupun usia kereta baru 10 bulan. Lebih membimbangkan, tiada sebarang notifikasi atau amaran sistem tentang keadaan bateri 12V itu.
Apa yang tak masuk akal ialah, pusat servis BYD Glenmarie meminta bateri 12V diganti kepada yang baharu sebelum pemeriksaan lebih lanjut boleh dilakukan. Pemilik tersebut diberitahu harga untuk bateri 12V baharu Atto 3 adalah RM418 dan ia tidak dilindungi waranti kerana kenderaan beliau sudah melebihi 20,000km.

Pengalaman pemilik: layanan pusat servis mengecewakan
Tidak cukup dengan itu, BYD Glenmarie meminta pemilik hubungi BYD Melaka untuk tindakan lanjut. Manakala BYD Melaka pula enggan bertanggungjawab kerana kenderaan beliau telah dihantar ke Glenmarie. Memandangkan pemilik duduk di Melaka dan tiada penyelesaian segera, beliau meminta pihak BYD untuk menyediakan kereta ganti sementara supaya dapat meneruskan perjalanan namun pihak BYD menyatakan tidak ada kenderaan yang tersedia. Pemilik terpaksa membatalkan perjalanan ke kampung dan bermalam di rumah saudaranya sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Melaka bersama-sama keluarga beliau. Yang lebih menyakitkan, ini semua atas kos pemilik itu sendiri.
Ini bukan kali pertama pemilik ini mendapat layanan yang kurang memuaskan dari BYD. Sebelum ini beliau pernah membuat aduan tentang charger BYD yang rosak di rumahnya. Aduan dibuat pada bulan Februari dan sampai sekarang belum selesai. Alasan yang beliau dapat dari BYD? “Kami tak pasti, kami dah memaklumkan kepada pembekal”.
Kenderaan EV masih guna bateri 12V?
Walaupun EV ada bateri voltan tinggi (high voltage bateri) yang lebih besar dan berkuasa tinggi, ia digunakan untuk menguasakan sistem pacuan motor elektrik. Sistem-sistem penting seperti ECU, paparan, lampu dan sistem keselamatan masih dikuasakan bateri 12V. Jadi jika bateri 12V itu gagal, kereta tak boleh dihidupkan langsung dan perlu di lakukan ‘jump start’, walaupun bateri utama penuh.
Pengalaman penulis sendiri: Bateri 12V Kia EV6 diperiksa setiap kali kenderaan diservis.

Saya sendiri pengguna EV Kia EV6 dah hampir 3 tahun, 40,000km, pengasas SoyaCincau.com dan #mrnoqueue pun guna EV6, hampir 3 tahun dan lebih 50,000km, kami masih menggunakan bateri 12V asal.
Kia EV6 memerlukan pemeriksaan berkala setiap 15,000km, dan setiap kali kereta saya dihantar untuk diperiksa pemeriksaan bateri 12V adalah perkara standard beserta laporan lengkap.
Pemeriksaan proaktif seperti ini penting dan boleh dianggap sebagai perkara biasa untuk servis berkala, persoalanya adakah ia tidak dilakukan oleh BYD?
Kami masih menunggu jawapan dari BYD Malaysia
Kami telah menghubungi BYD Malaysia untuk mendapatkan maklum balas rasmi tentang insiden ini, namun pada masa artikel ini ditulis tiada kenyataan yang kami terima setakat ini.
BYD Atto 3 ada isu keselamatan kritikal?

Sebagai salah satu EV paling popular di Malaysia, insiden ini mencetuskan persoalan besar — adakah ini isu keselamatan yang kritikal?
Setakat Mac 2025, 6,300 BYD Atto 3 telah dijual di Malaysia. Editor EV SoyaCincau.com juga adalah pengguna BYD Dolphin sudah lebih dua tahun, lebih 30,000km (bateri 12V asal masih elok). Ini adalah kali pertama kami dimaklumkan tentang insiden seperti ini. Jadi berdasarkan maklumat yang kami ada, ini boleh dikira sebagai kejadian terpencil namun, dalam hal keselamatan pengguna, ia bukanlah perkara yang patut pihak BYD pandang remeh.
Pada masa yang sama, sila kerap periksa status bateri 12V anda terutamanya pengguna BYD Atto 3. Kalau boleh, minta pusat servis periksa voltan dan kondisi fizikal bateri setiap kali anda hantar kenderaan untuk diservis. Mencegah lebih baik dari merawat.