Hari ini, Huawei Malaysia akhirnya telah melancarkan siri telefon pintar Huawei Pura 80 untuk pasaran tempatan, lebih daripada sebulan selepas ia diumumkan di China. Hanya dua model dibawa masuk, iaitu Pura 80 Pro dan Pura 80 Ultra.
Berbeza dengan pelancaran di China yang diperkenalkan dalam empat model, pasaran Malaysia tidak menerima model Pura 80 biasa dan Pura 80 Pro+.
Harga dan ketersediaan siri Huawei Pura 80 di Malaysia

Jika anda berminat untuk memiliki Huawei Pura 80 Pro dan Pura 80 Ultra, berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- Pura 80 Pro (12GB + 512GB) – RM4,599
- Pura 80 Ultra (16GB + 512GB) – RM6,599
Bagi meraikan pelancarannya, Huawei akan mengadakan Kempen Jualan Pertama dari 2 Ogos hingga 31 Disember, di mana pembeli kedua-dua model dalam tempoh ini layak menebus hadiah bernilai sehingga RM2,978, tertakluk kepada siapa cepat dia dapat.

Promosi tempahan awal untuk siri Pura 80 yang diumumkan sebelum ini juga masih berjalan, dengan Huawei menawarkan hadiah bernilai sehingga RM1,428 kepada pembeli, termasuk fon putik Huawei FreeBuds Pro 4 dan 1 tahun jaminan Huawei Care+.
Anda boleh membuat tempahan untuk Pura 80 Pro dan Pura 80 Ultra dengan meletakkan deposit RM80, melalui stor dalam talian Huawei di bawah:
Huawei Pura 80 Pro
Huawei Pura 80 Ultra

Pura 80 Pro tersedia dalam tiga warna iaitu merah, hitam dan putih. Manakala, Pura 80 Ultra pula tersedia dalam dua warna, emas dan hitam.
Spesifikasi Pura 80 Pro

Huawei Pura 80 Pro dan Pura 80 Ultra berkongsi spesifikasi yang hampir serupa. Kedua-duanya didatangkan dengan panel paparan LTPO OLED bersaiz 6.8″ dengan resolusi FHD+ (2848×1276). Skrinnya turut menyokong kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 3,000 nits, tahap PWM setinggi 1440Hz, serta dilindungi kaca Kunlun generasi kedua yang dikatakan 16 kali lebih tahan calar dan 25 kali tahan jatuh berbanding generasi sebelumnya.

Kedua-dua model juga diperkasa cip yang sama, iaitu Kirin 9020. Varian Pura 80 Pro tersedia dengan RAM 12GB dan storan 512GB, manakala model Pro Ultra tersedia dengan kapasiti RAM lebih besar 16GB, tapi storan dalaman sama 512GB.

Perkara yang membezakan kedua-dua model ini adalah kamera. Pura 80 Pro menggunakan kamera telefoto 48MP f/2.1 mampu menyokong zum optikal 4x dan digital 100x, manakala 80 Ultra pula menggunakan kamera telefoto 50MP menggunakan sensor 1/1.28″ yang boleh berubah antara dua lensa. Satu lensa ada apertur f/2.4 dengan zum optikal 3.7x, manakala satu lagi ada apertur f/3.6 dengan zum optikal 9.4x.


Selain daripada itu, kedua-dua berkongsi perkakasan kamera sama, iaitu kamera utama 50MP dengan sensor 1″ dan apertur yang boleh berubah di antara f/1.6-f/4.0. Kamera ini dikatakan Huawei menawarkan julat dinamik 15x lebih tinggi berbanding kamera telefon pintar biasa. Kamera ketiga adalah kamera ultralebar 40MP f/2.2. Untuk selfie, terdapat kamera 13MP yang boleh anda gunakan.

Membekalkan tenaga pada kedua-dua model adalah bateri 5,170mAh yang sokong pengecasan 100W USB-C dan wayarles 80W. Tambahan pula, Pura 80 Pro dan Pura 80 Ultra juga diiktiraf kalis air dan debu IP69 serta lengkap dengan butang AI Smart Controls untuk akses mudah ke aplikasi kamera atau aktifkan lampu suluh. Dari segi sambungan, iamenyokong sambungan wayarles seperti Bluetooth 5.2, NFC, WiFi 6.

Seperti biasa bagi telefon Huawei, peranti ini akan menjalankan EMUI15.0 berasaskan HarmonyOS.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari halaman laman produk Huawei Pura 80 Pro dan Pura 80 Ultra.