Melangkah ke tahun 2026, Oppo secara rasmi melancarkan siri Reno 15 untuk pasaran Malaysia. Ia menggantikan Reno 14 yang diperkenalkan pada Julai tahun lalu, dan merupakan siri telefon pintar kelas pertengahan dengan fokus kepada reka bentuk premium, kamera dan prestasi, walaupun spesifikasi tidaklah banyak berubah.
Untuk pasaran tempatan, siri ini hadir dalam tiga model, iaitu Reno 15 Pro, Reno 15 dan Reno 15F. Berbeza dengan pasaran antarabangsa yang turut menerima model Pro Max berskrin besar, Malaysia hanya ditawarkan versi Pro bersaiz lebih kompak.
Harga dan ketersediaan siri Reno 15



Siri Reno 15 boleh didapatkan di Malaysia pada harga seperti berikut:
- Reno 15 5G (12GB + 256GB) – RM1,999
- Reno 15 5G (12GB + 512GB) – RM2,399
- Reno 15 Pro 5G (12GB + 512GB) – RM2,999
- Reno 15F 5G (8GB + 256GB) – RM1,499
- Reno 15F 5G (12GB + 256GB) – RM1,599
Sekiranya berminat, pembelian boleh dibuat melalui gedung rasmi Oppo di:
Shopee
Lazada
TikTok Shop
Spesifikasi Reno 15 dan Reno 15 Pro

Walaupun merupakan model paling premium dalam barisan, Reno 15 Pro kini tampil sebagai model paling kompak dengan skrin bersaiz 6.32 inci. Ia menggunakan panel dengan resolusi FHD+, menyokong kadar segar semula 120Hz serta tahap kecerahan puncak sehingga 1,800 nits.

Sementara itu, Reno 15 hadir dengan skrin lebih besar bersaiz 6.59 inci, sama seperti Reno 14 sebelum ini. Ia turut menyokong resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz, namun dengan kecerahan puncak yang lebih rendah pada 1,200 nits. Untuk ketahanan, kedua-dua model dilindungi Gorilla Glass 7i+ dan turut menerima pensijilan kalis air IP69.
Dari segi pilihan warna, Reno 15 Pro ditawarkan dalam Aurora Blue dan Dusk Brown, manakala Reno 15 hadir dalam pilihan Aurora Blue, Twilight Blue dan Aurora White.

Reno 15 Pro dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 8450, manakala Reno 15 pula menggunakan Snapdragon 7 Gen 4. Kedua-duanya dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB.
Untuk bateri, Reno 15 Pro dilengkapi bateri 6,200mAh, manakala Reno 15 menggunakan bateri lebih besar iaitu 6,500mAh. Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas SUPERVOOC 80W melalui USB-C, namun model Pro kali ini tidak lagi menyokong pengecasan tanpa wayar, berbeza dengan generasi sebelumnya.

Dari segi pengimejan, model Pro menerima kamera utama 200MP, kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto 50MP yang mampu zum optikal 3.2x. Bagi Reno 15 pula, ia berkongsi kamera telefoto 50MP yang sama dengan model Pro, tapi menggunakan kamera utama 50MP dan ultralebar 8MP.

Untuk swafoto, kedua-dua model dilengkapi kamera hadapan 50MP, dan sistem kameranya menyokong rakaman video sehingga 4K 60fps.
Lagi perkara yang dikongsi untuk model Reno 15 dan Reno 15 Pro adalah sokongan WiFi 6, 5G, Bluetooth 5.4, dan NFC.
Spesifikasi Reno 15F
Sebagai model paling mampu milik, Reno 15F tampil dengan spesifikasi yang lebih sederhana. Malah, ia tidak membawa perubahan besar berbanding Reno 14F, selain daripada kemasan baharu yang ditawarkan dalam warna Aurora Blue, Twilight Blue dan Afterglow Pink.

Skrinnya masih jenis AMOLED berukuran 6.57″ beresolusi 2372 × 1080 dan kadar segar semula 120Hz. Panel ini menyokong kecerahan puncak 1,400 nits, cakupan warna DCI-P3 100% dan kaca AGC DT-STAR D+ digunakan sebagai pelindung skrin. Dari segi prestasi, Reno 15F menggunakan cip Snapdragon 6 Gen 1, sama seperti generasi sebelumnya, dipadankan dengan RAM LPDDR4X 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 512GB.
Sistem kamera belakang pada Reno 15F juga masih sama, dilengkapi kamera utama 50MP f/1.8, kamera utlralebar 8MP dan kamera makro 2MP. Selfie boleh diambil mengguna pakai kamera 50MP. Kalau ada perubahan ketara adalah dari segi bateri, dengan Reno 15F hadir dengan tangki bersaiz 7,000mAh, peningkatan dari 6,000mAh di Reno 14F. Ia juga kalis air IP69 dan sokongan sambungan yang boleh anda temukan pada telefon termasuk WiFi 5, 5G, Bluetooth 5.1 dan NFC.
Kesemua model dalam siri Reno 15 juga akan menjalankan sistem operasi ColorOS 16 berasaskan Android 16 sejurus keluar kotak.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Reno 15, Reno 15 Pro dan Reno 15F.






