Sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026), U Mobile telah memperkenalkan satu pelan prabayar baharu yang direka khas untuk pelancong yang berkunjung ke negara ini.
Dikenali sebagai ULTRA5G Tourist Plan, pelan ini menawarkan 100GB data berkelajuan tinggi selama 7 hari pada harga cuma RM15. Apa yang lebih menarik, U Mobile mendakwa mereka merupakan syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menggabungkan kad SIM pelancong ini bersama pas pelancongan khas, Grab Visit Malaysia 2026 Travel Pass.
Pelan baharu ini diperkenalkan selepas U Mobile melancarkan ULTRA Tourist Trial eSIM secara percuma pada awal tahun ini. Tawaran tersebut memberikan pelancong data sebanyak 100GB untuk tempoh 24 jam sebaik sahaja tiba di beberapa lapangan terbang antarabangsa terpilih.
Menurut U Mobile, pelan berbayar baharu ini diperkenalkan susulan sambutan dan maklum balas positif yang diterima menerusi percubaan tersebut.
Pelan U Mobile ULTRA5G Tourist 100GB

Pelan ULTRA5G Tourist dengan data 100GB kini ditawarkan pada harga promosi RM15, berbanding harga biasa RM20, dengan tempoh sah selama tujuh hari. Ia menyediakan data 5G tanpa had kelajuan dan turut boleh digunakan untuk hotspot.
Selain pelan 100GB tersebut, U Mobile turut menawarkan dua lagi pilihan ULTRA5G Tourist. Pelan 10GB dengan tempoh sah 24 jam ditawarkan pada harga RM6, manakala pelan 500GB untuk tempoh 30 hari pula berharga RM50.

Bagaimanapun, hanya pelan ULTRA5G Tourist 100GB ditawarkan bersama Grab Visit Malaysia 2026 Travel Pass yang memberikan penjimatan sehingga RM186.
Perlu diambil perhatian bahawa tambah nilai minimum RM16 diperlukan untuk mengaktifkan pelan RM15 tersebut. Berdasarkan terma dan syarat, pengguna perlu mempunyai baki kredit minimum RM15.90 untuk membeli pelan berkenaan.
SIM ULTRA5G Tourist boleh dibeli secara dalam talian atau di kedai U Mobile berhampiran.
Penjimatan ekstra RM186 dengan Grab Visit Malaysia Travel Pass

Pelancong yang mengaktifkan pelan ULTRA5G Tourist 100GB akan menerima Grab Visit Malaysia 2026 Travel Pass yang menawarkan penjimatan sehingga RM186.
Menurut U Mobile, pas khas ini mengandungi 22 baucar untuk perkhidmatan pengangkutan, makanan dan membeli-belah. Antara tawaran yang disediakan termasuk:
- Diskaun RM20 untuk tempahan awal kenderaan (Advanced Booking).
- Diskaun untuk perjalanan ke lapangan terbang, GrabExec, GrabRent, dan kenderaan elektrik (Grab EV).
- Diskaun 20% untuk penghantaran GrabFood terpilih dan restoran Grab Dine-out.
- Diskaun 10% untuk pembelian barangan di GrabMart terpilih.
Jangan gunakan nombor U Mobile untuk mendaftar akaun Grab

Selepas mengaktifkan kad SIM ULTRA5G Tourist, pelancong yang layak akan menerima e-mel yang mengandungi kod penebusan unik untuk Pas Grab tersebut. Pas ini sah digunakan selama 30 hari selepas ia berjaya ditebus.
Namun, satu perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah, pelancong wajib menggunakan akaun Grab yang didaftarkan menggunakan nombor telefon luar negara (bukan nombor Malaysia). Ini bagi memastikan mereka boleh menerima kod OTP dan menebus Pas Pelancongan Visit Malaysia 2026 berkenaan.
Selepas mendaftar log masuk ke aplikasi Grab menggunakan nombor antarabangsa tersebut, pelancong hanya perlu menekan butang ‘Buy Travel Pass’ dan memasukkan kod penebusan 8-digit pada ruangan “Have a Promo Code”. Kad kredit atau kad debit yang sah perlu dipautkan pada akaun Grab untuk melengkapkan proses penebusan.
Untuk maklumat lanjut mengenai penawaran ini, anda boleh layari laman rasmi ULTRA5G Tourism SIM U Mobile.






