ASUS telah mengumumkan bahawa konsol gaming mudah alih terbaharu mereka, ROG Xbox Ally X20, akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Model baharu ini mengekalkan beberapa ciri daripada ROG Xbox Ally X terdahulu, tetapi hadir dengan beberapa naik taraf, termasuklah skrin OLED yang lebih besar.
Handheld gaming PC edisi khas ini diperkenalkan sempena ulang tahun ke-20 ROG, dengan reka bentuk lutsinar berwarna hitam yang menampilkan aksen emas pada bahagian dalam.
Pada masa yang sama, ROG turut akan membawa masuk ROG XReal R1 Edition 20 Gaming AR Glasses ke Malaysia. Kedua-dua produk ini boleh didapati secara berasingan, atau sebagai sebahagian daripada pakej bundle khas.
Harga ROG Xbox Ally X20

Buat masa ini, ROG Malaysia masih belum mendedahkan harga rasmi atau tarikh tempahan awal bagi pasaran tempatan. Namun, ASUS mengesahkan ROG Xbox Ally X20 Bundle, ROG Xbox Ally X20, dan ROG XReal R1 Edition 20 Gaming AR Glasses kesemuanya akan tiba ke pasaran Malaysia.
Sebagai rujukan, harga global yang diumumkan untuk ROG Xbox Ally X20 secara standalone ialah USD1,299 (~RM5,231), manakala ROG XReal R1 Edition 20 Gaming AR Glasses pula berharga USD799 (~RM3,217). Sementara itu, ROG Xbox Ally X20 Bundle yang merangkumi konsol, cermin mata AR, dan beberapa aksesori khas, berharga USD2,499 (~RM10,064) di pasaran global.
Untuk pasaran global, ketiga-tiga produk ini akan mula tersedia pada 15 Oktober 2026. Maklumat mengenai tempahan awal dan harga tempatan dijangka diumumkan oleh ROG Malaysia tidak lama lagi.
Spesifikasi ROG Xbox Ally X20

Seperti yang dinyatakan pada awal artikel, ROG Xbox Ally X20 mengekalkan beberapa spesifikasi serupa dengan ROG Xbox Ally X. Ia dikuasakan pemproses AMD Ryzen AI Z2 Extreme, dipadankan dengan RAM LPDDR5X-8000 24GB, serta storan SSD M.2 2280 1TB.
Perubahan paling ketara terletak pada skrinnya, yang kini menampilkan panel OLED Nebula HDR 7.4 inci, dengan resolusi 1080p dan kadar segar semula 120Hz. Skrin ini turut menyokong VRR pada 30Hz hingga 120Hz, FreeSync Premium Pro, serta pensijilan VESA DisplayHDR True Black 1400, dengan kecerahan puncak sehingga 1,400 nits.

Dari segi kawalan, handheld ini menggunakan TMR joystick baharu, direka khusus untuk mengelakkan masalah stick drift. Ia turut mempunyai reka bentuk ergonomik berinspirasikan Xbox, grip bergetah, trigger yang dipertingkatkan, dan butang D-pad baharu.

ROG Xbox Ally X20 turut membawa bateri berkapasiti 80Wh, dalam badan seberat sekitar 756 gram. Untuk sambungan, ia mempunyai dua port USB-C termasuk sokongan USB4 dan Thunderbolt 4 selain pembaca MicroSD Express, serta jek fon kepala 3.5mm. Ia menjalankan Windows 11 dan turut membawa integrasi Xbox, termasuk antara muka Xbox yang direka untuk kawalan menggunakan gamepad.
ROG XReal R1 Edition 20
Buat gamer yang mahukan pengalaman skrin besar, konsol ROG Xbox Ally X20 ini boleh digabungkan dengan ROG XReal R1 Edition 20 Gaming AR Glasses.

Cermin mata AR ini mampu menghasilkan paparan maya sehingga 171 inci pada jarak empat meter, dengan medan pandangan 57°. Dengan berat hanya 91g, ia menampilkan dua panel Sony Micro-OLED 0.55 inci, menghasilkan resolusi Full HD 1080p untuk setiap mata, masa respons ultra-pantas 0.01ms, kecerahan puncak sehingga 700 nits, serta liputan gamut warna sRGB 106%.
Untuk permainan yang lebih lancar, ia menyokong kadar segar semula 120Hz, yang boleh ditingkatkan sehingga 240Hz menerusi mod Frame Rate Boost. Ia turut menyokong penjejakan spatial Native 3DoF dan Anchor Mode untuk mengekalkan kedudukan skrin maya dalam ruang. Antara ciri lain termasuk Electrochromic Dimming tiga tahap dengan auto-transparency, penukaran Instant 3D secara masa nyata serta sistem audio yang ditala oleh Bose.

Cermin mata ini juga boleh disambungkan terus kepada ROG Xbox Ally X20 menggunakan satu kabel USB-C, menjadikannya lebih mudah untuk digunakan tanpa memerlukan persediaan yang rumit.
Untuk spesifikasi penuh dan kemas kini tempatan, anda boleh layari laman produk rasmi ROG Malaysia.






