Samsung kini memperkenalkan barisan tablet generasi terbaharunya, siri Galaxy Tab S12 yang terdiri daripada dua model iaitu Galaxy Tab S12 Ultra dan Galaxy Tab S12+.
Kedua-dua tablet ini tidak membawakan perubahan signifikan pada segi spesifikasi dan reka bentuk, namun Samsung memberikan beberapa peningkatan termasuk prestasi lebih berkuasa dengan cip Dimensity 9500, sistem pembesar suara yang dipertingkatkan serta dapat percuma S Pen dalam kotak.
Selain itu, siri Galaxy Tab S12 juga jadi antara tablet pertama yang hadir dengan Adobe Photoshop diprapasang. Menariknya Samsung turut menawarkan harga khas pendidikan kepada pelajar dan staf pendidikan yang layak.
Harga dan ketersediaan Galaxy Tab S12 di Malaysia

Meskipun sudah diumumkan, siri Galaxy Tab S12 ini hanya akan tersedia di pasaran Malaysia bermula 7 Oktober 2026. Kali ini, siri ini hanya ditawarkan dalam satu varian storan, iaitu 256GB. Berikut harga jualan Galaxy Tab S12+ dan Tab S12 Ultra di Malaysia:
- Galaxy Tab S12+ WiFi – RM4,999
- Galaxy Tab S12 Ultra 256GB WiFi – RM5,999
- Galaxy Tab S12+ 5G – RM5,649
- Galaxy Tab S12 Ultra 256GB 5G – RM6,649
Samsung Malaysia turut memaklumkan, dari 7 Oktober hingga 8 November, pembeli yang layak boleh mendapatkan siri tablet baharu ini serendah RM127.75 sebulan, sambil menikmati pelbagai hadiah tambahan.
Antara hadiah yang disertakan termasuk akses kepada aplikasi seperti Gemini, Adobe Photoshop, Notability dan iQIYI, bernilai sehingga RM1,123.58, serta aksesori percuma seperti sarung papan kekunci dan S Pen bernilai sehingga RM1,208. Turut ditawarkan rebat sehingga RM500 bagi pembelian menggunakan kad debit atau kredit bank, atau menerusi SPayLater.
Kedua-dua Galaxy Tab S12+ dan S12 Ultra boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu kelabu dan perak.
Tawaran harga pelajar
Menariknya, pelajar dan staf pendidikan yang layak boleh mendapatkan diskaun sehingga 20% menerusi Samsung Education Store. Berikut adalah harga yang ditawarkan untuk pelajar dan staf pendidikan:
- Galaxy Tab S12 Ultra WiFi – RM4,799.20
- Galaxy Tab S12 Ultra 5G – RM5,319.20
- Galaxy Tab S12+ WiFi – RM3,999.20
- Galaxy Tab S12+ 12GB + 256GB 5G – RM4,519.20
Untuk mendapatkan tawaran harga pelajar ini, menurut Samsung, pengguna perlu log masuk menggunakan Samsung Account dan mengesahkan e-mel pelajar yang layak dengan domain .edu untuk mendapatkan harga pendidikan.
Samsung turut menawarkan diskaun tambahan 5% untuk pembelian pertama menerusi program pendidikan tersebut.
Spesifikasi Galaxy Tab S12 Ultra

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, perubahan pada siri Galaxy Tab S12 kali ini tidak begitu ketara. Model Galaxy Tab S12 Ultra dibekalkan skrin 14.6 inci jenis Dynamic AMOLED 2X dengan kecerahan puncak sehingga 1,600 nits, sama seperti model sebelumnya. Namun, ia kini menyokong Vision Booster yang dipertingkat, dengan pelarasan kecerahan yang lebih baik.
Dari segi binaan, model baharu ini turut tampil lebih nipis, iaitu 5.1mm, berbanding 5.2mm pada generasi sebelumnya.

Peningkatan utama terletak pada komponen dalamannya. Tablet ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9500 (3nm), yang menurut Samsung menawarkan peningkatan NPU sehingga 61%, prestasi CPU sehingga 19%, dan GPU sehingga 17% berbanding Galaxy Tab S11 Ultra. Ia dipadankan dengan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB, yang mana storan boleh diperluas menerusi kad mikroSD sehingga 2TB.
Kedua-dua tablet turut dilengkapi sistem penyejukan 3D Vapor Chamber yang direka semula utnuk melesapkan haba dengan lebih efisien.

Untuk sistem kamera, ia ia menggunakan tetapan dua kamera belakang, iaitu kamera utama 13MP dan ultralebar 8MP, manakala kamera depan pula 12MP. Membekalkan tenaga kepada tablet ini adalah bateri 11,600mAh, kapasiti sama dijumpai pada Galaxy Tab S11 Ultra. Samsung mendakwa pengecasan daripada 0% hingga 100% mengambil kira-kira 95 minit menggunakan pengecas 45W.
Lagi yang dinaik taraf adalah pada bahgian audio, di mana ia menggunakan sistem kuadspeaker dengan 4-saluran Spatial Audio yang dikatakan memberikan bunyi lebih kaya dan pengalaman mendengar yang lebih imersif. Ciri-ciri lain termasuk sokongan Wi-Fi 7, penarafan kalis air dan debu IP68, serta jaminan kemas kini sistem operasi dan keselamatan sehingga 7 tahun.

Sejurus keluar dari kotak, tablet ini menjalankan sistem operasi One UI 9 berasaskan Android 17, turut menyokong Fungsi Multi Window dengan sehingga tiga bahagian skrin, serta dihadirkan dengan S Pen secara percuma dalam kotak. Dalam masa yang sama, Samsung turut menawarkan langganan Google AI Pro secara percuma untuk pengguna Galaxy Tab S12.
Spesifikasi Galaxy Tab S12+

Jadi, apa perbezaannya dengan Galaxy Tab S12+? Ia kekal menjadi pilihan yang lebih kompak, dengan skrin 12.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 2800×1752 piksel. Tablet ini mempunyai ketebalan 5.3 mm dengan berat 553 gram bagi varian Wi-Fi.
Seperti model Ultra, Galaxy Tab S12+ dikuasakan MediaTek Dimensity 9500, RAM12GB, serta storan 256GB dengan sokongan kad miKroSD sehingga 2TB. Kapasiti baterinya sedikit lebih kecil berada pada paras 10,600 mAh, tapi merupakan naik taraf daripada Galaxt Tab S11 8,400mAh.
Menurut Samsung, tablet mampu menawarkan penggunaan sehingga 21 jam main balik video, dan turut menyokong pengecasan pantas 45W.
Berbeza dengan model Ultra, bahagian kamera belakang Tab S12+ hanya menggunakan satu kamera 13MP sahaja, manakala bahagian hadapan kekal dengan kamera 12MP. Dari segi ketersambungan, ia menyokong rangkaian Wi-Fi 6E dan Bluetooth 6.0.
Sama seperti model Ultra, Tab S12+ turut dilengkapi penarafan kalis air IP68, empat pembesar suara dengan ciri Spatial Audio, perisian Android 17 dengan antara muka One UI 9 berserta sokongan kemas kini OS selama 7 tahun, dan turut hadir bersama stylus S Pen di dalam kotak.
Diprapasang dengan aplikasi Adobe Photoshop

Menariknya, Samsung turut menyertakan Adobe Photoshop secara prapasang pada siri Galaxy Tab S12, yang menurut Samsung merupakan kali pertama Photoshop disertakan secara terbina dalam pada sebuah tablet Android.
Aplikasi ini menyokong penggunaan S Pen serta ciri AI seperti AI Assistant, Generative Fill dan Image to Video. Pengguna turut mendapat akses percuma selama empat bulan kepada Adobe Photoshop Premium mobile. Selain Photoshop, siri Galaxy Tab S12 turut menawarkan aplikasi lain seperti Notability, Goodnotes, LumaFusion, Notion dan Clip Studio Paint, dengan tempoh percubaan atau diskaun tertentu bergantung kepada aplikasi masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Samsung Galaxy Tab S12+ dan Galaxy Tab S12 Ultra.






