Bagi mereka yang mahu mencari perkakas rumah asas tanpa perlu berbelanja besar, MR D.I.Y. kini memperluas lagi pilihan produk mereka. Pengeluar dan peruncit barangan rumah terkenal ini telah memperkenalkan 13 produk baharu, di samping menurunkan harga beberapa barangan terpilih di semua cawangannya di seluruh negara.
Rangkaian baharu ini memfokuskan barangan keperluan harian untuk kategori dapur, pembersihan, dan penjagaan diri.
Menurut MR D.I.Y., langkah ini diambil selepas syarikat mencatatkan jualan lebih 900,000 unit perkakas rumah dalam tempoh dua tahun lalu. Ia sekali gus mencerminkan komitmen mereka untuk menawarkan produk yang praktikal, selamat, dan berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.
Perkakas rumah baharu MR D.I.Y. bermula RM27.90

Antara produk baharu yang diperkenalkan adalah termasuk cerek elektrik, periuk nasi, periuk masak perlahan, seterika wap, pengering rambut dan pembersih vakum.
Harga yang ditawarkan bermula RM27.90 untuk cerek elektrik, bermula RM27.90 untuk pengering rambut, bermula R39 untuk seterika wap, bermula RM53 untuk periuk nasi dan bermula RM79 untuk pembersih vakum. Berikut adlaah senarai penuh harga dan produk baharu ditawarkan MR D.I.Y:
- Cerek elektrik 1.7L – RM27.90
- Pengisar 1.5L – RM63
- Pembersih vakum 600W – RM79/RM99
- Pembersih vakum 1000W – RM135
- Pembersih vakum tanpa wayar 120W – RM239
- Periuk elektrik – RM55
- Pengisar keluli tahan karat 1.75L – RM139
- Pembakar roti – RM39
- Pemproses makanan 0.5L – RM45
- Periuk masak perlahan 1.5L – RM55
- Periuk masak perlahan 135L – RM79
- Periuk nasi – RM95
Ciri keselamatan untuk kegunaan harian

Bagi memastikan aspek keselamatan dan ketahanan, semua perkakas rumah dalam rangkaian ini didatangkan dengan pensijilan SIRIM serta jaminan selama 1 tahun.
Setiap produk juga dilengkapi ciri keselamatan asas untuk kegunaan harian:
- Cerek elektrik: Mempunyai fungsi tutup automatik serta perlindungan apabila dihidupkan tanpa air dan daripada pemanasan berlebihan.
- Periuk nasi: Menggunakan periuk dalaman aluminium tanpa salutan, yang tahan calar serta perlindungan beban haba berlebihan.
- Seterika wap: Dilengkapi kawalan suhu boleh laras, fungsi pembersihan kendiri dan perlindungan pemanasan melampau.
Alex Goh, Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., berkata pengalaman lebih 20 tahun berkhidmat kepada isi rumah di Malaysia membuatkan syarikat memahami keperluan pelanggan. Menurutnya, pelanggan mahukan produk yang boleh dipercayai, dilengkapi ciri yang penting dan berharga berpatutan.
Beliau menambah bahawa dengan rangkaian yang lebih luas dan harga yang lebih rendah, pelanggan lebih mudah mencari perkakas yang sesuai dengan keperluan dan bajet mereka. Waranti satu tahun pula memberi keyakinan tambahan.
Untuk maklumat lanjut mengenai barangan dan tawaran terbaharu ini, anda boleh layari laman web rasmi MR D.I.Y. Malaysia atau kunjungi mana-mana cawangan berdekatan.






