Asus Malaysia telah mengumumkan laptop Vivobook S14 dan S16 yang dikemas kini untuk tahun 2026. Kedua-dua model ini mengekalkan penggunaan pemproses Qualcomm Snapdragon X, paparan OLED, serta keupayaan Copilot+ PC, namun kini didatangkan dengan tanda harga yang lebih tinggi sebanyak RM600.
Menariknya, di sebalik kenaikan harga tersebut, siri baharu ini hanya menawarkan separuh daripada kapasiti storan asal, saiz bateri yang lebih kecil, serta sambungan USB-C yang lebih perlahan. Walau bagaimanapun, komputer riba ini kini tampil dengan rekaan casis yang lebih nipis dan ringan berbanding model terdahulu.
Harga dan ketersediaan Asus Vivobook S14 dan S16 2026 di Malaysia

Seperti sebelum ini, kedua-dua Vivobook S14 dan S16 2026 ditawarkan pada harga yang sama dengan satu konfigurasi. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Asus Vivobook S14 (S5408QA) RAM 16GB + SSD 512GB – RM4,299
- Asus Vivobook S16 (S5608QA) RAM 16GB + SSD 512GB– RM4,299
Sebagai perbandingan, model terdahulu dijual pada harga RM3,699. Ini bermakna harga model baharu meningkat sebanyak RM600, walaupun kapasiti SSD kini hanya 512GB berbanding 1TB sebelum ini. Pun begitu, kenaikan ini bukanlah sesuatu mengejutkan jika mengambil kira krisis kekurangan bekalan RAM di pasaran ketika ini.
Model Vivobook S16 sudah tersedia dibeli di Malaysia sekarang, dan anda boleh dapatkannya menerusi Shopee. Manakala, model lebih kompak Vivobook S14 pula masih disenaraikan sebagai akan datang.
Kedua-dua model turut hadir dengan waranti global selama dua tahun serta ‘Perfect Warranty’ bagi perlindungan kerosakan tidak sengaja selama dua tahun waranti.
Spesifikasi Asus Vivobook S14 dan S16

Siri Vivobook S yang dikemas kini ini masih dikuasakan pemproses sama Snapdragon X X1-26-101 daripada Qualcomm. Pemproses ini mempunyai CPU lapan teras dengan kelajuan jam sehingga 2.97GHz, grafik Adreno bersepadu dan NPU Hexagon dengan kuasa sehingga 45 TOPS.
Kapasiti memori kekal tidak berubah dengan RAM LPDDR5X 16GB. Namun, kapasiti storan SSD NVMe PCIe 4.0 yang diberikan kini menurun ke 512GB berbanding 1TB pada model sebelumnya.

Dari segi paparan, Vivobook S14 menggunakan panel OLED 14″, manakala Vivobook S16 mendapat skrin OLED 16″ yang lebih besar. Kedua-duanya beresolusi 1920 x 1200 piksel, kadar segar semula 60Hz, kecerahan 300 nits dan ada liputan gamut warna DCI-P3 100%.
Spesifikasi paparan ini hampir sama dengan model 2025, walaupun Asus telah meningkatkan liputan DCI-P3 yang dinyatakan daripada 95% kepada 100%. Siri Vivobook S yang dikemas kini ini juga tidak lagi hadir dengan paparan antisilau, hanya tersedia dalam kemasan skrin berkilat.
Dari segi reka bentuk, kedua-dua laptop menggunakan casis aluminium yang memenuhi piawaian ketahanan gred tentera AS MIL-STD-810H. Vivobook S14 yang lebih kecil seberat 1.28kg, berbanding 1.35kg sebelum ini, manakala S16 yang lebih besar kini seberat 1.60kg berbanding 1.74kg. Kedua-dua model juga 1mm lebih nipis pada bahagian paling tebal, dengan ketebalan antara 14.9mm dan 16.9mm.

Seperti yang dijangka bagi laptop 16″, Vivobook S16 menawarkan susun atur papan kekunci yang lebih besar dengan pad nombor. Kedua-dua model mempunyai papan kekunci berlampu latar dengan jarak tekan 1.7mm, butang kekunci Copilot dan pad sentuh.
Walaupun badan laptop agak nipis, Asus mengekalkan pilihan port yang lengkap. Kedua-duanya menawarkan dua port USB-A 3.2 Gen 1 pada 5Gbps, dua port USB-C 3.2 Gen 2 pada 10Gbps, satu port HDMI 2.1 TMDS dan jek audio kombo 3.5mm.

Malangnya, port USB-C ini merupakan turun taraf daripada model tahun lalu, yang menawarkan sambungan USB4 dengan kelajuan pemindahan data sehingga 40Gbps. Port USB-C ini masih menyokong output paparan dan USB Power Delivery.
Untuk sambungan wayarles, kedua-duanya menyokong Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3. Ciri lain termasuk kamera web IR Full HD dengan pengecaman wajah Windows Hello, pembesar suara dengan teknologi Smart Amp dan mikrofon tatasusunan.
Dari segi bateri, kedua-dua model dilengkapi bateri 50Wh, yang lebih kecil daripada bateri 70Wh pada model terdahulu 2025.
Walaupun bateri lebih kecil, Asus mendakwa Vivobook S14 dan S16 yang dikemas kini ini boleh bertahan sehingga 30 jam dengan sekali cas. Sebagai perbandingan, model tahun lalu dinyatakan sehingga 32 jam dengan sekali cas.
Kedua-dua laptop disertakan penyesuai kuasa USB-C 68W yang boleh mengecas sehingga 60% dalam 49 minit.
Vivobook S14 dan S16 ini menjalankan Microsoft Windows 11 Home, dan Asus turut menyertakan langganan Google AI Pro selama tiga bulan. Langganan ini memberi akses lebih luas kepada alat AI Gemini Google serta storan awan 5TB.






