Acer Malaysia hari ini memperkenalkan dua produk rumah pintar terbaharu di bawah jenama Acerpure, iaitu siri penapis udara mesra haiwan peliharaan Acerpure Pro P5 dan kipas pengedar udara pintar Acerpure Cozy F6.
Penapis udara Pro P5 direka untuk rumah dengan haiwan perliharaan, menampilkan sistem penapisan membantu memerangkap bulu haiwan dan mengurangkan bau. Sementara itu, Cozy F6 menawarkan pelarasan kelajuan kipas secara automatik berdasarkan suhu persekitaran.
Kedua-dua produk turut dilengkapi Teknologi Pinokio Ion Acerpure yang direka untuk membantu mengekalkan kualiti udara dalaman yang lebih baik.
Harga Acerpure Pro P5 dan Cozy F6 di Malaysia

Acerpure Siri Pro P5 ditawarkan dalam tiga varian, Pro P5 Max, Pro P5 dan Pro P5 Mini, manakala kipas Acerpure Cozy F6 Smart Circulator Fan pula pula tersedia satu varian.
Acer turut menawarkan promosi dari 25 November hingga 12 Disember 2026, menawarkan diskaun sehingga RM500 untuk siri Acer Pro P5 dan diskau sehingga RM100 untuk Acerpure Cozy F6. Berikut adalah harga jualannya ketika promosi:
Siri Acerpure Pro P5
- Acerpure Pro P5 Max –
RM1,899RM1,399 - Acerpure Pro P5 –
RM1,299RM999 - Acerpure Pro P5 Mini –
RM799RM499
Acerpure Cozy F6
- Acerpure Cozy F6
RM799RM699

Selain itu, pembeli yang membeli siri Acerpure Pro P5 dalam tempoh 25 November hingga 12 Disember turut akan menerima penapis HEPA gantian bernilai RM159 secara percuma, dan kredit eWallet Touch ‘n Go sehingga RM100.
Manakala, pembeli kipas Cozy F6 pula akan menerima kredit eWallet Touch ‘n Go RM40 dan Kipas Tangan Acerpure HF1 bernilai RM199 secara percuma.
Bagi yang berminat, anda boleh dapatkan Acerpure Cozy F6 sekarang di Malaysia menerusi penjual rasmi Acer serta stor dalam talian Acer Malaysia.
Acerpure Pro P5

Acerpure Pro P5 merupakan penapis udara yang direka untuk rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, khususnya bagi menangani masalah bulu yang berterbangan, bau dan alergen. Siri ini ditawarkan dalam tiga pilihan saiz untuk kegunaan bilik tidur hingga ke ruang tamu yang luas.
Ia dilengkapi lubang kemasukan udara lebar yang menurut Acer mampu memerangkap bulu haiwan berterbangan sehingga 37% lebih cekap. Dari segi ketahanan, badannya direka kalis calar dan kalis air supaya lebih tahan apabila berada di sekeliling haiwan peliharaan yang suka bermain, selain terdapat kunci kanak-kanak bagi mengelakkan tetapan ditekan secara tidak sengaja.

Untuk sistem penapisan, siri Pro P5 menggunakan sistem berbilang lapisan yang terdiri daripada pra-penapis boleh tanggal dan boleh dibasuh, penapis utama HEPA atau HEPA gred H13, penapis karbon aktif serta lampu UVC terbina. Dengannya, penapis udara dikatakan mampu memerangkap zarah halus sekecil 0.3 mikron seperti habuk, kelemumur haiwan dan debunga, di samping mengurangkan bau serta gas bawaan udara.


Dengan memerangkap bulu haiwan pada peringkat pra-penapisan, ia juga membantu mengurangkan beban pada penapis utama dan memanjangkan hayat penapis utama.
Dari segi prestasi, ia menawarkan kadar penghantaran udara bersih (CADR) sehingga 370 m³/jam. Ia juga menyokong Mod AI yang melaras kelajuan penapisan secara automatik mengikut tahap kualiti udara semasa, manakala Mod Tidur beroperasi pada paras bunyi senyap di bawah 29 dB. Pengguna turut boleh memantau dan mengawal peranti ini dari jauh menerusi aplikasi Acerpure HOME.

Kesemua model ditawarkan dalam warna putih, manakala varian Pro P5 Mini hadir dengan dua pilihan warna tambahan iaitu merah jambu dan perang.
Acerpure Cozy F6

Acerpure Cozy F6 pula ialah kipas pintar yang direka untuk mengekalkan keselesaan udara dalam sesuatu ruang. Ia dilengkapi sensor suhu AI terbina dalam yang mengesan suhu persekitaran secara masa nyata dan melaraskan kelajuan kipas secara automatik. Pengguna juga boleh memilih antara 32 tetapan kelajuan yang jitu.
Dengan teknologi aliran udara berputar, kipas ini mampu menghembus angin sejauh 25 meter, meliputi keluasan sehingga 100 m² dengan sudut putaran melintang selebar 120 darjah. Ia turut dilengkapi penapis karbon aktif bagi membantu mengurangkan bau yang tidak diingini ketika udara diedarkan.Kipas ini dikuasakan motor BLDC yang cekap tenaga dan beroperasi secara senyap pada paras bunyi serendah 30 dB.

Reka bentuknya juga minimalis dengan ketinggian boleh laras. Manakala untuk pembersihan, gril belakangnya bermagnet dan gril hadapan hanya menggunakan satu skru, jadi lebih mudah dicuci. Ia juga lengkap dengan alat kawalan yang boleh dilekat secara magnet pada atas kipas, selain boleh dikawal melalui panel pada pendirinya.
Kedua-dua Acerpure Siri Pro P5 dan Acerpure Cozy F6 dilengkapi Teknologi PINOKI Ion berpaten daripada Acerpure. Teknologi ini menggunakan aloi berasaskan nikel bertaraf aeroangkasa bagi menjana ion positif dan negatif secara seimbang untuk membantu menyegarkan udara dalaman
Menurut Acer, teknologi ini menawarkan empat fungsi utama, iaitu membantu meneutralkan alergen bawaan udara seperti debunga, spora kulapuk dan kelemumur haiwan peliharaan, selain menguraikan sebatian organik meruap (VOC) serta molekul yang menyebabkan bau kurang menyenangkan.
Ia juga direka untuk membantu menghalang pembiakan mikrob seperti virus dan bakteria bawaan udara. Selain itu, teknologi ini dikatakan mampu meneutralkan cas elektrostatik dan membantu mengekalkan kelembapan udara.
Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Acerpure Pro P5 dan Acerpure Cozy F6.






