Huawei memiliki barisan tablet yang pelbagai, dari kelas permulaan bawah RM1,000 sehinggalah harga lebih RM3,000 berprestasi tinggi. Untuk kelas pertengahan, ia adalah MatePad 10.4 dan tahun ini Huawei mengemaskini tablet ini dengan perkakas yang sedikit berbeza dari model tahun lepas.
Harga dan tarikh jualan
Jika tahun lepas Huawei mengemaskini MatePad 10.4 dengan storan lebih besar 128GB, MatePad 10.4 2022 ditambah ciri sambungan LTE. Ia akan dijual di Malaysia pada harga:
- Huawei MatePad 10.4 LTE 2022 (RAM 4GB + Storan 128GB) – RM1,599
Tempahan awal dibuka mulai 22 April sehingga 2 Mei 2022 di Stor Online Huawei Malaysia, Lazada dan Shopee serta di Harvey Norman dan Senheng. Hadiah percuma bernilai RM898 disediakan untuk pembeli dalam tempahan awal iaitu Huawei Smart Keyboard (bernilai RM499) dan Huawei M Pencil gen-2 (bernilai RM399).
Spesifikasi Huawei MatePad 10.4 2022
Sama seperti nama dan model sebelumnya, Huawei MatePad 10.4 2022 memiliki skrin IPS LCD seluas 10.4-inci, dan resolusi tinggi 2K (2000×1200). Skrin ini memiliki tahap kecerahan setinggi 470 nits. Ia juga sangat nipis, dengan tebal hanya 7.35mm dan berat cuma 450 gram.
Perubahan terbesar di tablet ini adalah pada cip SoC. Tahun lepas, MatePad 10.4 menggunakan cip Kirin 820 dengan keupayaan WiFi 6, MatePad 10.4 2022 menukar cip kepada Kirin 710a. Melihat namanya, dengan mudah boleh dirumuskan bahawa Kirin 710a adalah turun taraf daripada Kirin 820.
Apa tidaknya, cip Kirin 710 dilancarkan pada tahun 2018 dan huruf ‘a’ ditambah kerana ia bertukar pengeluar kepada Semiconductor Manufacturing International Corp (SMIC) yang terletak di Shanghai pada tahun 2020. Cip Kirin 710a pernah digunakan di telefon pintar Huawei Y7a yang dilancar pada tahun 2020, dan tablet kelas permulaan MatePad T10 yang dilancar pada tahun 2020 juga.
Seterusnya, Huawei memperbaharui sistem operasi di Matepad 10.4 2022 kepada HarmonyOS 2. Ia masih tiada sokongan perkhidmatan dan aplikasi Google tetapi ada fungsi yang lebih menarik. Dengan HarmonyOS 2, pengguna boleh menggunakan Huawei Super Device untuk fungsi pelbagai paparan peranti bersambung, serta penghantaran fail.
Dari segi tenaga, ia tidak berubah. Bateri di dalamnya berkapasiti 7,250mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 22.5W melalui USB-C.
Sistem bunyi juga masih sama. Ada empat pembesar suara stereo di sisi yang ditala oleh pakar audio Harman Kardon. Bagaimanapun, tiada lagi jek audio 3.5mm pada tablet ini.
Kamera juga masih ada dua, di belakang adalah kamera 13MP dengan autofokus manakala di hadapan kamera 8MP yang terletak di bingkai skrin. Pengimbas capjari masih tiada di tablet ini. Satu lagi turun taraf di tablet ini berbanding model tahun lepas ialah ketiadaan sokongan WiFi 6.
Agak mengejutkan melihat Huawei mengambil langkah untuk menurun taraf spesifikasi model baru Huawei MatePad 10.4, malah menaikkan pula harganya kepada RM1,599. Dalam julat ini, pilihan lain yang lebih menarik adalah raja tablet Apple iPad yang dijual bermula dari RM1,499 tanpa LTE, atau Xiaomi Pad 5 yang jauh lebih perkasa dengan Snapdragon 860 berharga dari RM1,399 tetapi tiada LTE.
Bacaan Berkaitan
- Huawei MatePad 10.4 lebih besar dan MateStation S akan mula dijual pada 20 Mac
- Huawei MatePad T10 kini ada varian storan lebih besar, varian sedia ada diberi diskaun RM300
- Huawei umum penjualan MatePad dan MatePad T 10, harga bermula RM799
- Huawei MatePad T & MatePad: Tablet Terbaru Ini Dijual Pada Harga Bermula RM599