Penawaran kandungan di Unifi TV akan menjadi lebih menarik mulai bulan Mei nanti kerana Telekom Malaysia (TM) mengumumkan akan menambah 4 aplikasi penstriman baharu, serta 5 saluran baharu ke dalam penawaran Unifi TV. Tahun lepas, Unifi TV telah menggantikan 17 saluran yang ditamatkan siaran dengan 10 saluran baharu, di samping menawarkan 7 platform penstriman baharu.
Pada 1 Mei 2022, Unifi akan menambah 5 saluran baharu dan 1 aplikasi penstriman baharu ke platform Unifi TV, dengan 3 lagi aplikasi penstriman akan disenaraikan dalam kandungan unifi pada 17 Mei 2022. 5 saluran Definisi Tinggi (HD) baharu tersebut ialah BeIN SPORTS 1, BeIN SPORTS 3, CCTV-4, CGTN serta saluran baharu milik unifi sendiri, DEGUP manakala 4 aplikasi penstriman baharu adalah Disney+ Hotstar, MySing, BeIN SPORTS CONNECT dan SPOTV NOW.
Dengan penambahan saluran dan aplikasi baharu ini, unifi TV akan mempunyai sejumlah 74 saluran premium dan 15 aplikasi penstriman di platformnya, yang boleh dinikmati menerusi kotak media unifi TV atau aplikasi unifi PlayTV di mana-mana sahaja.
Bersempena pelancaran ini, Unifi turut menawarkan tontonan secara percuma untuk semua salurannya buat semua pelanggan unifi Home dari 30 April hingga 8 Mei 2022, menjadikan sambutan Raya anda lebih istimewa.
Disney+ Hotstar & BeIN Sports percuma untuk Ultimate Pack
Semua pelanggan Unifi TV Ultimate Pack boleh menonton Disney+ Hotstar tanpa sebarang caj tambahan, selagi pek mereka aktif. Untuk pelanggan baharu unifi Home 100Mbps tanpa Ultimate Pack, akan diberi akses ke Disney+ Hotstar percuma selama 6 bulan.
Disney+ Hotstar juga akan ditawarkan sebagai tambahan (add-on) pada harga RM16.00 sebulan untuk pelanggan Unifi TV Varnam Plus, Aneka Plus dan Ruby Plus Pack. Pelanggan Unifi Home tanpa sebarang Pek Unifi TV akan diberi pilihan untuk melanggan Disney+ Hotstar secara a-la-carte pada harga RM54.90 untuk 3 bulan, dengan kemudahan membuat pembayaran melalui satu bil unifi.
Pelanggan Ultimate Pack boleh membuat pendaftaran untuk menukar aplikasi penstriman percuma mereka ke Disney+ Hotstar sekarang di laman web https://activate.unifi.com.my/disney dan boleh mula menontonnya mulai 17 Mei 2022.
MySing pula adalah aplikasi OTT karaoke pertama dan beroperasi sepenuhnya di Malaysia. Ia menyediakan lebih daripada 30,000 kandungan karaoke original menggunakan antara muka yang mesra pengguna. Lagu hits terbaharu dan terkini boleh dinikmati dalam kualiti HD. MySing boleh didapati secara eksklusif di unifi Plus Box dan boleh dilanggan melalui unifi mulai 1 Mei 2022 dengan percubaan selama 30 hari untuk masa yang terhad sahaja. Aplikasi ini boleh didapati secara a la carte pada harga RM14.90 sebulan.
2 saluran baharu, beIN SPORTS 1 dan beIN SPORTS 3 – menawarkan liputan secara langsung aksi bola sepak Eropah Liga Juara-Juara UEFA, Liga Europa UEFA, LaLiga, Serie A, Ligue 1 dan banyak lagi. Pelanggan Ultimate Pack juga boleh menonton kandungan ini di beIN SPORTS CONNECT, platform penstriman pelbagai peranti yang boleh diakses di aplikasi atau web, yang datang secara percuma untuk pelanggan Ultimate Pack bermula 17 Mei 2022.
Sementara itu, bagi penonton yang ingin meningkatkan adrenalin mereka, unifi TV melancarkan salurannya yang tersendiri, DEGUP. Ia adalah saluran pertama di unifi TV yang mengetengahkan aksi terbaik dan kandungan seram dari rantau Asia dan banyak lagi.
Bagi peminat hiburan dan berita dari China, saluran baharu CCTV-4 menampilkan pelbagai program termasuk dokumentari, muzik, berita dan siri drama, manakala CGTN, saluran TV Inggeris utama China Global Television Network, menyediakan berita sepanjang masa, rancangan hal ehwal semasa dan program-program yang menarik.
Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang tawaran Unifi TV ini di sini.